Tuesday, November 24, 2009

Jom Ber'Mat Jenin'...





Merancang kehidupan selepas bergraduasi telah membuat penulis berkira-kira dan memaksa diri ini meletakkan beberapa garis besar matlamat jangka panjang yang mesti dicapai dalam kehidupan. Bila melihat penting urusan kewangan perlu diuruskan sehabis baik supaya nilaian keluar masuk wang dapat diagihkan kepada jalan yang sepatutnya tanpa mengabaikan keperluan peribadi. Bukan bermaksud ingin terlalu mengejar keduniaan tetapi merancang supaya dunia ini terurus dengan sistem aturan Tuhan.

Bercerita tentang perancangan, hikayat Mat Jenin sangat sinonim dalam masyarakat Melayu dan mempunyai konotasi yang sering ditempelkan bersama iaitu angan-angan. Dan akhirnya, karekter Mat Jenin dibunuh dengan matinya Mat Jenin dek kerana jatuh daripada pokok sebab kuat berangan dan bermimpi yang bukan-bukan. Kuasa imperialis telah berjaya membenamkan kekuatan potensi orang Melayu dan mendoktrinkan persepsi negatif supaya terus terkebelakang dalam memajukan diri serta menanamkan rasa puas hati atas kejayaan yang ada. Asalnya Mat Jenin yang kerja rutinnya mendapat upah daripada mengutip buah kelapa bercita-cita besar untuk menjadi tauke kepada perusahaan besar penternakan ayam dan akhirnya memperolehi laba keuntungan besar sebagai galang ganti untuk bernikah dengan puteri anak raja.

Hakikatnya, jika dinilai dari sudut positif dari naratif Mat Jenin, ia menggambarkan daya perancangan yang jitu yang bermula dengan angan-angan yang begitu strategis. Mat Jenin punyai kebebasan untuk merancang dan masih berpeluang untuk meneruskan impiannya dalam frame work yang lebih tersusun jika cerita ini tidak dimatikan kesudahannya yang bersifat membunuh daya kreativiti dan imaginasi. Perancangna tidak wujud sekiranya tidak bermula dengan angan-angan. Hidup Mat Jenin penuh dengan matlamat jelas yang ingin dicapai .Sebenarnya Mat Jenin berjiwa besar dan punyai impian besar yang telah menjadi sumber inspirasinya untuk bergerak merealisasikannya. Teringat kepada kata-kata Zig Ziglar :

You don’t have to be great to start, but you have to start to be great.

Sekiranya benar pengakhiran cerita dengan matinya Mat Jenin, ia telah menjadi helaian-helaian pengalaman yang tidak akan dapat diubah tetapi kita mampu untuk mengawal tindakan kita pada masa sekarang kerana ia akan menjadi catatan pengalaman kita pada masa akan datang. Jangan disebabkan pengalaman lampau atau jalan cerita Mat Jenin yang sebegitu rupa menjadikan kita terus berkekalan berkarekter negatif. Kita mempunyai kawalan terhad terhadap apa yang kita lalui. Tetapi kita mempunyai kawalan penuh terhadap sikap kita. Segalanya bergantung kepada sikap kita untuk melihat hikayat ini sebagai sekadar hikayat atau sesuatu yang membimbing ke arah masa depan yang lebih optimis yang mesti dirancang.

Perubahan tidak akan berlaku jika hanya sekadar berfikir dan tindakan mesti digerakkan sedaya mampu. Dunia khayalan tidak membawa kita ke mana-mana, tetapi kita yang bertindak atas keinginan supaya benar-benar mencapai impian yang telah diputuskan. Umar Al-Khattab juga berimpian jika berpeluang supaya lahirnya ramai pemuda seperti Mus’ab bin Umair, Abu Ubaidah al Jarrah di bumi Tuhan untuk penerusan dakwah yang lebih berenergetik. Malah tokoh terkenal seperti Martin Luther Jr. dalam ucapan keramatnya pada 28 Ogos 1963 untuk memastikan kesamarataan hak dalam kaum menyatakan, I Have a Dream..!

No comments:

Post a Comment