Tuesday, July 28, 2009

Konsensus Honduras dan Perak dalam Politik



“Sejarah tidak akan berulang tetapi perangai dan perilaku manusia di setiap zaman yang berulang”

Menarik untuk diulas tentang ungkapan Buya Hamka ini dan penulis rasa terpanggil untuk berkongsi pandangan berkenaan tentang dua siri episod kudeta yang terpisah dari segi geografi tetapi terangkum dalam satu demografi politik. Mudah-mudahan penguasa di Malaysia dapat memahami bagaimana Honduras, sebuah negara pengeksport nanas cuba menyelesaikan konflik ketidaktentuan negara mereka dengan jalan demokrasi.



Hari ini kudeta di Perak masih lagi menemui jalan buntu yang menyaksikan perlawanan YB Ir Hj Nizar Jamaluddin dan YB Dr Zambry Abd Kadir untuk bergelar status MB yang mempunyai legatimasi sah dalam struktur kepimpinan negeri. Tragedi ini mencalitkan satu lagi kekotoran hitam dalam politik tanah air malah menempangkan beberapa institusi penting dalam negara. Mana tidaknya, kuasa eksekutif telah bercampur aduk dengan kuasa legislatif sehingga usul untuk melantik Speaker baru menggantikan Speaker YB V. Sivakumar telah di’lulus’kan tanpa persetujuan beliau sendiri. Akhirnya, usul pun lulus dan operasi usung pun dilakukan dengan campur tangan ‘mereka yang tidak dikenali’ serta kelibat polis yang tidak diundang kehadirannya. Walaupun, kes ini sudah nampaknya reda di mata khalayak tapi arus untuk memacakkan batu nisan kepada si penderhaka demokrasi mesti dilaksanakan.

Honduras pula lain pula sepak terajangnya pabila Zelaya, Presiden yang diiktiraf perlembagaan telah digulingkan oleh Michelitti dan sekutunya menggunakan kuasa militari. Biarpun beberapa cubaan untuk kembali ke tampuk kuasa beliau gagal dengan sekatan yang dibuat oleh kerajaan boneka sementara namun tekad untuk melaksanakan misi kepimpinan mandat rakyat mesti diteruskan. Penulis tersentak tatkala berita yang merekodkan biarpun Zelaya terpaksa berhadapan dengan cubaan dibunuh tetapi beliau mesti menuntut hak ke atasnya seperti yang terjamin dalam perlembagaan. Nekad seorang pimpinan berjiwa rakyat. Rundingan melalui orang tengan pemimpin Costa Rica juga tiada penyelesaian konkrit dan bantuan AS juga seperti jauh panggang dari api. Terbaru apabila Zelaya telah cuba untuk memobilasi golongan marhaen Honduras untuk bersama beliau memastikan keadilan demokrasi dapat disuburkan kembali.(Rujuk http://hondurascrisis.org/)





Penulis yakin walaupun jalan perlembagaan tiada berfungsi lagi tetapi penguasa akan memahami bahasa jalanan akhirnya. Di sini terdapat relasi yang signifikan untuk diperhati bersama supaya perjalanan sebuah negara dapat diperkasakan:

• Pemahaman asas perubahan. Giatkan penerangan dan penerusan tentang dasar kepimpinan teladan yang mesti berteraskan nilai mulia dalam Islam.
Hikayat Aceh mengisahkan bagaimana Raja-Raja dan kadi-kadi juga segala hulubalang bermesyuarat lalu mencapai kata sepakat menurunkan Sultan Seri Alam dari takhta Kerajaan kerana sifat boros Baginda; demikian juga tindakan yang dilakukan kepada Sultan Zainal Abidin apabila Baginda bersifat zalim. Di Melaka, Sultan mengambil keputusan pahit menitahkan putera kesayangan Baginda dikeluarkan dari negeri Melaka apabila Bendahara Paduka Raja berdatang sembah tidak akan bertuankan Raja Muhammad kerana Raja Muhammad telah membunuh anak Bendahara.

• Keberadaan pemimpin bukan kekal kerana kuasa tetapi kerana pengaruh dan influensi mereka dalam membuat tindakan yang arif menghadapi konflik. Contoh jelas, biarpun Presiden Zelaya dan YB Nizar tiada lagi berkuasa secara sah atas kertas tetapi mereka punyai pengaruh yang mendalam untuk menggerakkan kuasa rakyat. Nabi Yusuf a.s. walaupun belum bergelar pimpinan dalam kerajaan Mesir ketika itu tetapi sudah dipandang tinggi kerana pengaruh dan nilai ilmu tafsiran mimpi Baginda.

• Bahasa demontrasi adalah bahasa diam rakyat tertindas yang punyai kuasa maksimum meruntuhkan takhta hegemonik. Magna Carta,(1215) adalah manifestasi pembebasan kuasa monarki yang mencengkam rakyat feudel dan dokumen yang menghadkan kuasa pemerintah iaitu Raja England pada ketika itu selepas pemberontakan daripada bangsawan untuk mengekang kuasa raja.

• Kuasa luar sememangnya ingin campur tangan dalam memperokperandakan kestabilan pentadbiran yang didokoong oleh nilai demokrasi sejati. NED iaitu dana khas untuk mengkudetakan kerajaan yang ditaja sepenuhnya oleh AS telah berjaya secara empirikalnya terhadap konspirasi kudeta Venezeula selama 48 jam dan akhirnya berjaya diselamatkan. Jadi berwaspadalah dengan ancaman musuh luar yang sentiasa ada propaganda mereka.

• Ramai yang berpendapat bahawa jangan melawan pemerintah tapi lupa bahawa kerajaan ini juga didokong dengan adanya rakyat. Jadi, pembelaan hak-hak rakyat mesti diutamakan dalam menjamin situasi win-win situation.

Akhirnya, buat para pemimpin teliti kata
Sultan ‘Alauddin ketika dalam kegeringan sebelum mangkat, bertitah memperingatkan anakanda Baginda

Hai anak ku,ketahuilah oleh mu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya. Hai anak ku, yang hidup ini sedia akan mati jua sudahnya, melainkan iman seperti itulah yang kekal selamanya. Adapun peninggalan ku ini hendaklah anak ku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anak ku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepada mu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksa baik-baik, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya leher mu....

Petikan Sulalat al-Salatin




Monday, July 27, 2009

Menyemarakkan intelektualisme anak muda.




PM Malaysia, Datuk Seri Najib dalam ucapan penutupnya di Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam telah mengingatkan semua peringkat mahasiswa untuk tidak terpengaruh dengan anasir-anasir fitnah dan cuba memahami nilai ilmu dalam kepimpinan mahasiswa.(Rujuk Berita Harian,27/7/09). Seolah-olah amaran keras yang bersulamkan kata-kata manis si penguasa kepada golongan yang diperintah supaya tidak menjadikan sejarah agung kebangkitan mahasiswa rujukan pendirian sikap. Takut dipergunakan oleh pihak tertentu atau perjuangan parti pemerintah sudah tidak relevan dengan zaman menjadi persoalan di benak pemikiran pemerintah. Tiananmen, 1989 (Rujuk) dan Trisakti, 1998 (Rujuk) dan Tehran, 1979 (Rujuk) menjadi bukti lambang kuasa mahasiswa dalam menentukan sikap mereka berhubung sesuatu isu pada ketika berlakunya memoir tersebut. Mahasiswa boleh berkata mereka non partisan tetapi kini seolah-olah mendongak tinggi tanda hormat dek kerana seorang insan itu bergelar YB dan terpaksa ikut membuta tuli tanpa research. Memang benar mahasiswa mesti berdiri atas kebenaran dan menolak kebatilan tetapi prinsip kebenaran itu mesti jujur dan ada asasnya.

Kampus kini sudah malap dan suram serta ketidakbolehfunsgsian (disfunction) untuk berperanan sebagai medan ilmu berpencak dan gudang berekperimentasi intelektual untuk diadunkan dengan pengalaman sebenar realiti bermasyarakat. Universiti Malaya telah menjadi saksi dimana aparat-aparat mahasiswa memobilasi massa untuk membuktikan suara mereka juga berhak menjadi hakim untuk rakyat tertindas. Peristiwa Baling pada 1974 cukup melegitmasikan kuasa mahasiswa sebagai kuasa kelima dalam menuntut perubahan. Memang benar apa yang dikatakan oleh Ust Taib bahawa hanya perubahan yang tetap berlaku dan pasti berlaku cuma mekanisme dan wasilahnya yang menentukan. Penulis cuba membawa video di bawa untuk diteliti betapa darah muda mahasiswa Indonesia bersumpahsetia.



Teringat kata Bunya Hamka ‘Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya adalah buat berjuang kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, mana sisa boleh berpaling meski besar mana gelombang datang. Biar kemudi patah, biarkan layarnya robek itu lebih mulia daripada berbalik haluan pulang'. Penulis beranggapan kampus sebagai garis pemula untuk kelangsungan tanpa menafikan segelintirnya untuk bergerak dalam bentuk mikro untuk kesan makro. Hari ini biarpun tiada perkumpulan raksasa mahasiswa menyatakan sebarang keluhan dan pendirian walaupun ada suara-suara halus mereka yang bangkit tetapi keterpaksaan disengajakan oleh pelakon aktivis biarpun takuk kefahaman isu yang diperjuangkan tidak dimengertikan. Penguasa sebenarnya bukan risaukan mahasiswa berjaya mobilasi kelompok mereka tetapi apa yang dirisaukan tatkala kesedaran itu sampai kepada setiap lapisan masyarakat bermula daripada jutawan dan marhean.Ala kulli hal, teruskan niat tulus ini.



Apa yang cuba diketengahkan dalam tulisan kali ini adalah usaha konsisten dalam memugar kembali budaya intelek di kampus yang bukan terhad untuk tujuan formaliti belajar, makan dan tempat cari jodoh. Ruh intelek mesti dikembalikan sesegera mungkin dan istilah lesu untuk gerakan mahasiswa zaman kini mesti cuba dimaknakan dengan aktiviti rancak percambahan ilmu yang sihat sesuai dengan kapasiti kampus yang kaya sarjana ilmuan. Penulis khuatir gejala bebalisme seperti yang diutarakan oleh Syed Hussein Al Attas dalam Intelektual Masyarakat Membangun bakal mengambil tempat dalam kampus iaitu ketidakupayaan untuk menghubungkaitkan sesuatu dalam konteks waqie serta terpenjara dalam dunia sendiri dalam membuat tindakan. Antara cadangan untuk menyemarakkan intelektualiti anak muda:

· Persatuan mahasiswa di kampus perlu menggerakan kembali aktiviti pembudayaan ilmu dan perbincangan isu yang konstruktif. Dalam situasi ini, penulis melihat PMIUM perlu merancakkan aspek ini dengan jelas bahawa outcome program ini berpaksikan untuk menyelesaikan isu dan polisi yang bersifat kenegaraan dan antarabangsa. Wacana, seminar atau kolokium boleh dibuat tanpa halangan pihak tertentu dan ini baru dinamakan kebebasan akademik terjamin. Usrah mesti diberi nafas baru dengan perbincangan yang membina daripada terus menancapkan dogma perjuangan. Buku yang universal karya agung negarawan mesti dijadikan bacaan tambahan selain buku dakwah.

· Mengatasi kelemahan diri secara proaktif dengan melibatkan diri dengan perkumpulan perkongsian pintar yang dilatari oleh mereka yang berpengalaman aktif dalam masyarakat dan punyai disipilin pengetahuan yang diverse.

· Minda anak muda mesti digerakkan untuk terlibat dalam membuat dasar penting negara. Sehubungan itu, persiapan mesti dicukupkan dan kesediaan pemerintah untuk melihat anak muda terlibat aktif dalam mana-mana suruhanjaya mesti direalisasikan.

· Keusahawanan sosial anak muda iaitu penglibatan anak muda dalam aktiviti sosial yang dapat meningkat kualiti hidup. Penubuhan NGO atas aspirasi mereka wajar digalakkan. Nilai intelektual bukan bergantung kepada nilaian akademik sahaja tetapi kemampuan berfikir dan faham pokok perbahasan.

· Alternatif relevan suatu permasalahan dapat diketengahkan daripada kelompok mereka. Bukan sekadar membantah yang sifatnya dekstrutif tetapi konstruktif.

Memang benar zaman muda hanya sekali dan dengan sekali juga itulah punca jatuh bangun mereka. Nabi sendiri mempersiapkan anak muda untuk mereka faham perjuangan Baginda dan Saidina Umar juga mengimpikan beberapa pemuka seperti pemuda sahabat Nabi untuk menguasai dunia.

Saturday, July 25, 2009

Mengupayakan tamadun yang lebih sejahtera


Hari ini Malaysia sebuah negara yang dahulu tertakluk dibawah tempoh periodisasi imperalis yang panjang telah bangkit untuk mencipta imej yang tersendiri di mata dunia. Satu pencapaian yang paling kurang harus dibanggakan walaupun terdapat banyak kelompangan dari pelbagai sektor yang harus diperhalusi. Pelbagai dasar dan pelan induk yang dilihamkan melibatkan pelbagai bidang terus merelevankan sesuatu industri untuk terus kompetetif dan produktif dengan pasaran dunia yang terbuka misalnya Dasar Petroleum Negara.(rujuk) dengan penubuhan Petronas sepatutnya rakyat mendapat kelebihan terutamnya hasil anugerah ternilai ini dan akses untuk mengetahui perbelajaan telus dapat dicapai. Hkikinya, Malaysia tidak boleh terlalu dependan kepada sumber minyak memandangkan kuasa besar dunia sedang giat merealitikan kenderaan berjanakuasakan air dan pelbagai sumber renewable lain. (rujuk)

Sejak Pak Lah (kini Tun), mantan PM berada di hierarki tertinggi dalam bidang eksekutif negara pelabagi usaha dilaksanakan bagi menjayakan dasar yang boleh dikira sebagai pemacu enjin prestasi asas tani negara dengan memperkenalkan Dasar Bioteknologi Negara berpaksikan kepada 9 teras utama.(rujuk). Kesinambungan dasar ini kurang ditekankan dan ini seharusnya di’reexamine untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih terurus tanpa mengabaikannya. Penulis bukanlah seorang yang berpengetahuan luas dalam soal pembangunan tetapi berkata soal pengupayaan Malaysia dari sudut agro dan industri memerlukan tindakan yang lebih terpandu:

  • Penyelidikan yang dilaksanakan di institusi penyelidikan telah di’bakulsampah’kan tatkala sikap industri yang tidak mahu mengambil risiko pengkomersilan.
  • Peruntukan kasar untuk pembangunan penyelidikan negara amat sedikit sedangkan negara mengimpikan suatu ekstravanganza malah kalu tidak keterlaluan untuk me’makeup’kan inovasi yang sudah tiada nilai manfaat dalam dunia industri. Liberasasi ekonomi yang cuba ditampilkan 1 Malaysia Guy kurang melihat kepentingan ini. Masih boleh belajar . Nisbah perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan negara ke atas Keluaran Dalam Negara Kasar (K.D.N.K) juga masih rendah, iaitu 0.5 peratus berbanding dengan negara-negara lain seperti Singapura (1.6 peratus), Korea (2 peratus), Switzerland (2.8 peratus), Jepun (2.8 peratus), dan Amerika Syarikat (2.9 peratus). (Rujuk teks ucapan Simposium S&T 2003)

  • Pemerataan program pendidikan dan kesedaran kurang dilakukan dan jika dilakukan hanya menguntungkan pihak. Pedagogi pembelajaran tentang sains dan teknologi harus ditingkatkan.

  • Kajian tentang potensi industri harus dikaji sebaiknya dengan melibatkan partisipasi seuah badan berautoriti sebagi misalnya Mlaysia mempunyai potensi dalam bidang perhutanan dan khazanah flora fauna yang diversiti sifatnya. Kurang penonjolan dalam aspek menaikkan industri dan menjadikan Malaysia sebuah one stop center penyelidikan dan pembangunan.

  • Karenah birokrasi kerajaan dan boleh dikatakan campur tangan kerajaan dalam suatu industri telah men’rimas’kan keupayaan dan mengakibatkan kelumpuhan daya indenpenden. Suatu inisiatif mesti dilakukan dengan menyediakan satu badan swasta. Legasi kerajaan Nabi s.a.w. dahulu telah menyebabkan institusi pendidikan terus ulung dengan independensinya.

  • Kesepaduan ciri Islamik yang menjadikan nilai tambah apabila adunan prinsip tauhidik harus dijadikan sandaran inovasi.

Penulis terkedu melihat paparan berita di Astro Awani tatkala merekodkan kejayaan sebauh negara Afrika Selatan, Namibia berjaya dalam menginovasikan basikal untuk men’caj’ bateri handset.(Rujuk). Nah..tamparan bagi kita yang baru berkepingan dalm bidang teknologi hijau. Ya..memang tiada yang ingin dibanggakan tetapi keberhasilan komuniti ynag dianggap tidak punya pendidikan formal berkenaan erti sains teknologi telah menghasilkan idea untuk manfaat bersama. Adakah kita berupaya menandingi kehebatan ini dan jangan cuba menidakkan potensi kreativiti kurniaan Tuhan atas usaha menjadikan Bumi ini sesuai diduduki tanpa berlakunya pencabulan hak keterlaluan. Kita punya amanah yang harus dilakukan atas prinsip ibadah walaupun esok ketentuan kiamat.

Friday, July 24, 2009

Dunia blog: antara penulisan dan luahan perasaan.

Blog kini telah menjadi media alternatif pada kurun yang masyarakatnya rata-rata tahu tentang perihal teknologi maklumat. Kuasanya pada PRU yang lalu dan pascanya telah mengakibatkan hegemoni pemerintah kian longgar dek kerana tsunami kematangan rakyat berfikir tentang peranan politik dalam merencana sebuah komuniti budiman. Sekarang munculnya pelbagai lagi alternatif gergasi jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter yang menyebabkan dunia pada dewasa ini menjadi perkampungan kecil dan segala informasi yang berlaku di ruang ceruk sarwajagatraya ini dapat disampaikan dengan lebih efektif..


Aku memang akui peranan blog dalam membawa persepsi dan impaknya dalm mengubah persepsi kebanykan orang pabila meneliti isi kandungan penulisan. Dan gaya naratif seseorang banyak bergantung kepada sejauhmana penguasaan ilmu yang digarap dan impianku supaya karya ini dapat dikoleksikan suatu ketika nanti untuk tatapan umum. Skop penulisan tidak terhad asalkan mencakupi perihal isu relevan yang bersandarkan idea dan hujah. Teringat tentang nukilan seorang negarawan Amerika Syarikat, Benjamin Franklin (1706-1790):


If you would not be forgotten as soon as you are dead or rotten, either write things worth reading or do things worth writing


Ramai dikalangan orang hebat dalm lipatan sejarah, menulis dan mencetak kader yang berkualiti dalam mencorak masa depan mereka. Sejarah klasik Islam terdahulu pernah mencatatkan bagaimana ilmuan dan ahli akdemiknya gigih meninta ilmu bagi mewariskannya kepada generasi terkemudian untuk dimanfaati bersama. Sekadar renungan, Al Razi (Abu Bakar Muhammmad Al-Razi) menulis kira-kira 200 buah buku dalm bidang berbeza terutamanya dalam bidang kimia. Apa sumbangan kita selaku umat Islam kini yang rata-rata berpelajaran tetapi kuarng berpendidikan malah buntu dalm mencari pendekatan mendidik umat selain kaedah streotaip, ceramah. Bukan menidakkan peranan ceramah tetapi variasi itu perlu dalam meraikan kepelbagaian,ciptaan Tuhan.


Al-Quran juga dalm wahyu pertama jelas menyuruh untuk membaca dan membaca dan aktiviti ini meliputi seluruh disiplin ilmu yang wujud. Lihat bagaimana adilnya Allah tatkala men’diam’kan apa disiplin ilmu yang mesti dipelajari akan tetapi memberi kebebasan kepada umatNya untuk terus memerhati Alam dengan tidak mengesampingkan sandaran utama Al-Quran As-sunnah. Yang penting, ikatlah ilmu melalui penulisan

Tanpa mengenepikan semua peringkat, penguasaan seorang aktivis tidak bergantung kepada hanya satu ilmu sahaja tetapi mesti intra disciplinary of knowledge dan inter disciplinary of knowledge harus difahami sebaik mungkin untuk menjadi negarawan yang memahami selok belok urusan dunia dan akhirat. Tujuan berblog mestilah menekuni kata-kata Ulama Agung zaman ini iaitu bagi mengasah bakat kewartawanan, salah satu kemahiran yang perlu ada bagi setiap daie bukan sekadar catatan diari semata-mata.(rujuk Thaqafatan Daieah)


Akhirnya, doakan penulis setia dan istiqamah dalam menyebarkan nilai-nilai baik dalm dunia globalisasi. Penulisan juga boleh dimetaforakan sebagai alat yang berguna atau senjata yang berbahaya seperti ungkapan Syed Naquib Al-Attas dalam mentakrifkan sains moden.(rujuk buku ar-Risalah). Semua bergantung kepada diri penulis dalam menentukan penulisan bebas nilai dengan terma kebebasan dan kemerdekaan sejati. Jadilah penyalur ilmu bukan penyebar kesesatan. Selamat berlayari bahtera penuh fitnah dengan upaya iman yang celik dalam liberalisasi maklumat yang buta akan mangsanya.