Monday, November 23, 2009

Mari perbaharui komitmen beragama..




Leaders are learners… ya, pemimpin adalah orang yang sentiasa belajar. Semua orang merupakan pemimpin biarpun tidak kepada sebuah organisasi, tetapi dia secara tidak langsung telah bertindak sebagai pemimpin kepada dirinya sendiri dalm memastikan kehidupannya tidak tersasar daripada rahmatNya. Jadi, keperluan untuk belajar tidak terhenti setakat dalam pengajian formaliti yang telah diprogramkan oleh pemerintah melibatkan institusi pendidikan sahaja malah berterusan sebagai usaha muhasabah dan meningkatkan potensi diri. Dan paling tepat, bila kita berhenti belajar dan berfikir secara automatiknya kita berhenti memimpin.

Penulis pun baru menamatkan pengajian formal di peringkat universiti rasa terpanggil untuk menambah nilai ilmu sedia ada dan pengalaman untuk lebih berfungsi dalam masyrakat dan dalam usaha melengkapkan worldview yang belum sempurna. Sebab itu, kepentingan mempersiapkan diri dengan fikrah yang jitu tentang Islam dan tawaran yang Islam berikan pada masa depan perlu diamati oleh abna harakah dan tidak terlalu simplistik kepada hujah kosong dan retorik luar kemampuan. Paling penting, ukur baju potensi dalaman sebelum bertindak dan terus perkemaskan langkah untuk berperanan proaktif dan agresif dalam mengislah masyarakat berdasarkan kemampuan dan kapasiti masing-masing.

Sebab itu, pentingnya muhasabah dan koreksi diri untuk mengubah dan membuang karat-karat jahiliyah dalam diri kita. Formulanya sudah terbukti pada zaman Rasulullah apabila Baginda sendiri menyelesaikan masalah fundamental masyrakat iaitu persoaln aqidah atau penentuan misi berkehidupan. Akal yang jahil, nafsu yang liar dan hati yang buta mengenal Pencipta adalah punca kejahatan bermaharajalela. Pendekatan yang diambil Nabi sangat efektif iaitu, inside-out, hati yang bersih mampu melahirkan sifat dan perilaku dan tatacara kehidupan yang professional sehingga menampakkan nilai utuh Islam.

Motivasi pun kurang berperanan sepenuhnya sekiranya belenggu jahiliyyah masih menebal dalam diri. Ia hanya berfungsi sebagai panadol sahaja iaitu ubat penenang kepada penyakit yang telah menular teruk dan akan mengganas kembali dengan kuasa penyakit yang berganda dan perlu dos tambahan untuk sembuh sepenuhnya. Kenalpasti simptom penyakit iaitu penyakit dalaman dan berubat dengan dos secukupnya sebagai supplemen utama iaitu dengan pendekatan beragama. Sebab itu, kesedaran dalaman untuk berubah dan tidak hanya berpuas hati dengan keadaan sedia ada menjadi dorongan kuat untuk meningkatkan kuasa revolusi sikap untuk memberi kepada khidmat baik kepada orang lain.

Atas sebab manusia diberi kebebasan memilih,seseorang yang ingin memperbaiki diri menjadi lebih baik boleh membuat pilihan samada untuk bergaul lebih banyak dengan mereka yang akan membantunya memperbaiki diri atau bergaul dengan mereka yang tidak membantu menjadi lebih baik. Seorang yang ingin dirinya menjadi lebih baik mempunyai kuasa memilih untuk melakukan aktiviti yang akan menyumbang kepada pembaikan dirinya ataupun aktiviti yang sebaliknya.

Belajarlah daripada mereka yang berpengalaman dan fakih dan jangan terkebelakang dalam soal ilmu. Jangan hanya tertumpu untuk mendalami sesuatu bidang sehingga kita tertinggal asas-asas ilmu penting untuk bertindak sebagai khalifah Allah yang memakmurkan bumi ini. Tidak pelik, Nabi Adam diajarkan nama-nama penting sebagai asas ilmu sebelum beliau dikirimkan ke dunia. Cuba latih potensi diri yang masih ada dan buka minda untuk belajar benda yang baru. Pulangkan kemahiran dan potensi yang telah dilatih kepada masyarakat luar yang sentiasa dahagakan ilmu dan dan mari sama-sama berkerja ke arah proses tajdid (pemurniaan) iaitu memperbaharui komitmen manusia dalam beragama kepada Allah.!nasihat buat diri ini yang masih jauh meniti kehidupan yang penuh dengan harapan..


No comments:

Post a Comment