Tuesday, September 29, 2009

Pandang sisi bela nasib pekerja tertindas




Penulis berkesempatan untuk menonton rancangan Perspektif Kita terbitan Astro Awani beberapa hari lalu yang membariskan tokoh-tokoh pimpinan dalam masyarakat sekitar membincangkan tentang gaji pekerja dan perihal menggaji warga asing untuk diserah tugas membesarkan anak-anak mereka yang sibuk bekerjaya. Penulis mula dilambung gelisah memikirkan nasib pekerja memandangkan diri ini sudah berjinak-jinak dalam dunia kerjaya. Maka, amat patut dibincang sedikit dengan ceteknya ilmu didada. Amat menarik dan timbul rasa minat untuk mengulas beberapa rinci perbincangan berkaitan tentang perihal buruh atau pekerja dalam ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu pasang surutnya.

  1. Gaji minimum

Di Malaysia, belum ada suatu penetapan khusus berhubung dengan gaji minimum untuk golongan pekerja awam dan swasta. Kadar gaji minimum banyak bergantung kepada keadaan ekonomi dan sosial semasa sesebuah negara dan sekiranya diteliti penerimaan sistem kapitalisme sebagai dogma ekonomi global banyak menguntungkan golongan kapitalis bagi meraih keuntungan maksimum dengan menggadaikan pekerja dengan upah yang rendah. Kesan kini dapat dilihat lambakan tenaga kerja asing di negara kerana kos operasi dan gaji yang diberikan rendah berbanding dengan pekerja tempatan. Akibatnya, upah yang rendah boleh membantutkan ekonomi sesebuah negara dengan mengurangkan kuasa beli dek kerana gaji yang hanya mencukupi untuk menampung keperluan yang terhad. Di Malaysia melalui MTUC, perjuangan menggesa kerajaan menetapkan gaji minimum RM 900 dan menggubal Akta Pekerja 1955 untuk sektor awam terus dinafikan kerelevenannya oleh pihak pemerintah dengan beralasan bahawa pasaran melalui permintaan dan penawaran yang akan menentukan kadar gaji pekerja. Tapi penulis hairan dengan pemerintah Malaysia apabila timbul isu kerajaan Indonesia yang ingin membawa pulang amah mereka kembali, segera ditetapkan gaji minimum amah RM 800 yang dilihat sebagai cubaan menyelamatkan hubungan dua hala menanti rentak yang kini bergolak dengan beberapa isu panas serantau melibatkan pencerobohan di Ambalat, Manohara, isu ganyang Malaysia. Pada masa sama, nasib golongan pekerja tempatan terus menerus tidak mendapat pembelaan sepatutnya dalam konteks penetapan gaji minima. Penguatkuasaan gaji minima harus berteraskan dasar yang melindungi hak pekerja dengan penguatkuasaan yang adil dan telus.

  1. Mengkaji pendapatan garis kemiskinan (PGK)

Persoalan kemiskinan sering dibincangkan terutamanya dalam gelombang kelumpuhan sistem yang mendokong ekonomi global mulai rapuh. Apakah kesannya kepada golongan miskin tegar dan miskin relatif yang bergantung kepada tangga gaji yang boleh dipersoalkan kesesuaiannya dalam taraf hidup yang tinggi dan harga pasaran khususnya harga petrol yang kian melambung. Berdasarkan kos sara hidup terkini, pendapatan bulanan di bawah RM 2000 di kawasan bandar boleh digolongkan sebagai miskin dan kategori mereka yang berpendapatan tersebut mencakupi 24% jumlah penduduk negara. Pemerintah juga silap dalam menakrif pendapatan garis kemiskinan apabila membuat generalisasi buta bagi kawasan bandar dan luar bandar serta Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mengggunakan garis kemiskinan tunggal ini mengandaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah sama antara kawasan bandar dan luar bandar. Atas inisiatif untuk memewahkan rakyat disamping mengecapi kekayaan negeri, kerajaan Selangor telah menaikkan pendapatan garis kemiskinan daripada RM 731 kepada RM 1500 sebagai langkah usaha mengurangkan golongan miskin. Pengkajian semula pendapatn garis kemiskinan perlu disegerakan memandangkan keprluan sara hidup yang meningkat melibtakn sewa rumah, pengangkutan, tahap kesihatan global, tenaga dan pendidikan.

  1. Elak eksploitasi tenaga manusia

Dalam konteks pekerja asing umpamanya, pelaksanaan gaji minimum dapat mengelakkan eksploitasi majikan yang memberikan kadar upah yang amat rendah kepada pekerja asing seperti yang berlaku pada masa ini. Secara tidak langsung, gaji yang adil dan saksama juga menjamin seseorang pekerja itu dapat memenuhi tuntutan keperluan asasnya yang lain seperti hak terhadap tempat kediaman yang wajar, hak untuk berehat dan berekreasi serta hak kepada kemudahan kesihatan dan jaminan sekuriti sosial. Ini semua merupakan hak asasi setiap individu yang harus dijamin serta dilindungi oleh sesebuah negara. SUHAKAM atau kesatuan-kesatuan sekerja perlu sentiasa membuat pantauan terhadap nasib golongan pekerja terutamanya pada ketika ekonomi stabil gaji mereka ditekan hingga paras rendah dan apabila ekonomi gawat mereka dikorbankan demi keuntungan pemodal dan menyelamatkan nyawa syarikat. Golongan pekerja asing khususnya punyai hak berkehidupan manusiawi yang wajar dipenuhi. Abraham Maslow dalam teorinya mengatakan keperluan yang tinggi tidak dapat dipenuhi sekiranya keperluan yang di bawah diabaikan. Peringkat keprluan yang tinggi adalah self actualization, suatu peringkat kita mengiktiraf keberadaan diri insan iaitu pekerja bukan menilai mereka seperti orang suruhan.

Buat akhirnya, golongan pekerja adalah tulang belakang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Keazaman politik (political will) dan kebijaksanaan politik (political wisdom) harus dijalinkan bersama dalam membuahkan hasil yang menguntungkan semua pihak termasuk pekerja dan majikan. Giatkan perbincangan bersama tokoh ekonomi dan intelektual untuk resolusi penetapan gaji minima. Bersekutu dalam membuat perubahan bersma.

Monday, September 28, 2009

Tahniah..anda kembali kepada Fitrah suci Sebenar.




Di kesempatan bulan Syawal yang mulia ini, tidak terlambat lagi penulis ingin mengucapkan salam ‘Idulfitri serta tahniah buat semua muslimin dalam melapsai projeksi Ramadhan dan maaf zahir batin kepada semua yang mengenali diri ini. Buat yang teristimewa kepada keluargaku sendiri khususnya kepada ayahku, Mohd Din Ismail dan bondaku yang dihormati lagi disayangi, Hayati bt Hj. Abd Rahman serta adik beradikku yang disayangi, abang sulungku, Abd Rahman Makrimi dan adik-adik, Nurul Asimah dan Nurul Izzah..Moga keluarga kita terus erat tali perhubungan dan tempat limpah curahnya kasih sayang dan rahmat Nya. Ya Allah, peliharalah keluargaku dari fitnah dunia dan suburkan kasih sayang dan Islam dalam keluargaku..


Dan seluruh keluarga besar PMIUM dan sahabat seperjuangan batch as-soff. Sesungguhnya perjuangan yang ditempuhi di medan kampus dan hasil pengalaman bersama duka suka dapat dijadikan bekalan ampuh untuk meneruskan survival dakwah di luar sana. Maaf sekiranya terdapat kekasarn bahasa dan bicara sepanjang perkenalan yang penuh bermakna dalam catatan diari kehidupan penulis khususnya mereka yang pernah bekerja bersama. Budak-budak ‘nakal’ dan teman serumah BT..minta halal kalau terkurang ajar dan terlebih.


Ramadhan telah berlalu dengan segala kelebihan yang menjanjikan pelepasan maksimum dari azab neraka dan Syawal yang kunjung tiba tidak sepatutnya diratapi dek kerana mendayunya suara takbir tetapi sebagai pembakar semangat untuk terus berkhidmat dengan agamaNya. Rebut peluang yang berbaki dan bersisa ini khususnya bulan Syawal dengn memperbanyakkan amalan ziarah sanak saudara. Penulis sendiri rasa gembira bila berhubungan dengan waris-waris lama yang tidak pernah bersua sebelum ini tetapi punyai talian darah keturunan. Eratkan hubungan dengan mereka dan bantu mereka yang memerlukan. Kemenangan Syawal dirai dengan kesedrhanaan tanpa mengorbankan prinsip asas ibadah dalam Islam. Jangan sampai perkara yang sunat seperti ziarah dilebih-lebihkan dengan meninggalkan amalan wajib solat. Jangan lupa untuk berpuasa enam buat bekalan akhirat dan tanda berjayanya kesinambungan tarbiyah Ramadhan.


Buat akhirnya sepotong doa, penulis nukilkan buat semua dalam bulan kemenangan ini.

‘Ya ALLAH, ampuni diri ini yang penuh dengn noda dan dosa kepdaMu. Juga ampunkan dan rahmatilah ibubapaku dan seluruh sahabatku dan teguhkan pendirian mereka dalam mengharungi zaman fitnah dunia yang semakin mencabar. Terimalah amalan Ramadhan kami yang lalu dan buanglah karat-karat jahiliyah dalam diri kami dan hindarilah kami dari bidaah dan khurafat dalam beramal kepadaMu dalam bulan Syawal ini.’

Wednesday, September 9, 2009

Sisipan untuk semua..


Dokumen ini pernah dikemukakan kepada Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Malaya pada sesi pilihanraya kampus 2008 sebagai usaha untuk memurnikan kebobrokan sistem semasa penulis bertindak sebagai unit penyelidikan Pro Mahasiswa. Menyentuh tentang beberapa persoalan pokok dalam menjamin ketelusan sistem seperti partisipasi mahasiswa, pembuangan undi dan lain-lain. Untuk tujuan rujukan amat dialu-alukan. Sebarang perubahan atau cetakan semula adalah dilarang kecuali mendapat keizinan daripada penulis.





Dokumen Cadangan Penambahbaikan Sistem Perjalanan Pilihanraya Kampus



Pendahuluan


Bermula tahun 2003, politik kampus telah dicabuli dengan penetapan beberapa peraturan yang jelas bercanggah untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik (good governance) dan menggelapkan suara demokrasi yang adil. Diari hitam dalam sejarah politik kampus terus terkubur dan layu dengan beberapa kampus melibatkan campurtangan politik luar secara jelas dalam siri memenangkan kumpulan yang mendakwa memperjuangkan ’aspirasi’ sebenar mahasiswa dan menafikan suara kumpulan lain. Bertanding dalam padang yang tidak sama rata (unlevelled playing ground) dengan jelas memberi kelebihan kepada pihak tertentu dan menampakkan ketidakmatangan politik dalam memperkasakan demokrasi kampus. Kredibiliti mahasiswa telah diperkudakan dan pemilihan kepimpinan mahasiswa yang mewakili mereka tidak dapat dijalankan secara adil lagi telus. Standard sistem yang telus mesti dizahirkan di peringkat kampus sebagai platform menyediakan bakal kepimpinan yang tinggi budi dan tidak korupsi nilai. Menyedari keperluan kepada kehendak kampus sebagai lapangan ilmu yang mengamalkan profesionalisme, penambahbaikan dilihat sangat perlu diambilkira kerana ia menggambarkan wajah elektoral sebenar dan mencerminkan perubahan dinamika kehidupan mahasiswa. Sensitiviti ini bukan bersifat politikal tetapi menunjukkan tahap kesedaran politik yang progresif ke arah suasana baru sistem perjalanan pilihan raya dalam memugar kembali iklim politik kampus yang kian malap.


Aspek penambahbaikan


Dalam bahagian ini perbincangan difokuskan kepada elemen-elemen asas dalam sistem pilihan raya yang dicadangkan untuk penambahbaikan ke arah menjamin demokrasi kampus yang adil. Antara elemen-elemen yang dikenalpasti berhubung dengan perjalanan pilihanraya kampus:


1.0 Partisipasi dalam pilihanraya kampus

Kondisi penglibatan mahasiswa dalam politik kampus melalui medan pilihanraya masih dipandang sepi berikutan sikap konservatif mereka terhadap demokrasi. Malah, boleh dikatakan hanya 30% yang melibatkan diri secara aktif dan selebihnya bersifat non-partisan. Beranggapan bahawa mainan politik adalah budaya keji dan penuh dengan tipu helah menjadi minda mereka lebih tertumpu kepada kecemerlangan akademik yang kosong dengan nilai-nilai pembentukan kendiri. Merujuk kepada The Constitution of The University of Malaya, seksyen 48 (1) yang menyatakan bahawa semua pelajar mestilah menjadi anggota persatuan dengan makna kata lain mesti berpartisipasi secara aktif dalam membina nilai-nilai kemahasiswaaan melalui aktiviti berpersatuan. Pilihanraya kampus kini tidak lagi mendidik mahasiswa mengenal erti sebenar demokrasi apabila ia cuma bersifat ’political appointment’ bagi memenuhi taqwim tahunan universiti semata-mata.


Cadangan penambahbaikan


Justeru, pendidikan politik akan dicadangkan sebagai langkah permulaan untuk memugarkan kembali iklim politik kampus. Ia bertujuan menanam sifat pedulisme (prihatin) terhadap isu-isu berbangkit yang berkait dengan peringkat nasional dan antarabangsa. Kursus pendidikan ini mesti melibatkan semua mahasiswa dalam usaha pemerataan kefahaman dan kesedaran politik yang standard bertepatan dengan misi korprat universiti ”Producing Leaders”. Cadangan ini turut melihat prospek besar yang bakal digalas oleh mahasiswa sebagai pemerhati celik, pengamat teliti dan pemimpin berkarisma dalam mewarnai barisan kepimpinan negara akan datang.


2.0 Penstrukturan semula pusat pembuangan undi


Pusat pembuangan undi yang selama ini diletakkan di falkuti-fakulti dimana dekan-dekan fakulti bertindak selaku Pegawai Pengurus Pilihan raya (Returning Officer) telah dipindahkan ke kolej-kolej kediaman di bawah seliaan Pengetua-pengetua kolej yang berkebetulan turut menjadi Penasihat kepada pihak tertentu di peringkat kolej kediaman. Mood politik mahasiswa seolah-olah dikawal dan mereka mengundi atas dasar terpaksa dan penuh tekanan menyebabkan mereka tidak dapat membuat pilihan yang bebas. Satu undi kepada calon ’bukan aspirasi’, bermakna mereka berdepan dengan risiko disingkirkan dari kolej kediaman atau pun dikenakan tindakan tatatertib.


Cadangan Penambahbaikan


Tindakan memindahkan pengendaliaan pilihan raya ke kolej kediaman dan diletakkan di bawah seliaan Pengetua Kolej telah meruntuhkan idealisme mahasiswa. Pembuangan undi di Fakulti dilihat banyak memberi kemudahan dalam melicinkan perjalanan pilihan raya kampus kerana lebih menjimatkan masa untuk menjumlahkan undi calon fakulti. Fakulti juga hanya menyediakan peti undi pada kadar yang minimum berbanding taburan peti undi yang banyak bergantung kepada mahasiswa dari pelbagai fakulti apabila ia dikendalikan di peringkat kolej kediaman. Secara ringkasnya, kebebasan bersuara dan pilihan lebih terjamin sekiranya pilihan raya dijalankan di peringkat Fakulti berbanding Kolej Kediaman. Tindakan ini juga bertepatan dengan Artikel 48(2)(a) Jadual Pertama, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.


3.0 Pemantau bebas bagi perjalanan pilihanraya kampus


Suruhanjaya pilihan raya kampus yang di bawah pengendalian Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertanggungjawab menyelia dan mengurus perjalanan pilihnaraya supaya dapat dijalankan secara adil dan bebas. Tetapi, beberapa siri ugutan dan ancaman kepada kumpulan yang tidak sebulu dengan mereka memperlihatkan SPR kampus tidak berminat dalam memastikan para mahasiswa menunaikan hak mereka dalam membuat pilihan. Pemantauan perlu konsisten dalam memastikan tiada sebarang salahlaku dan pencabulan peraturan pilihanraya berlaku.


Cadangan Penambahbaikan


Memandangkan pemantauan berkesan amat penting dalam menjamin demokrasi kampus tidak tercalar, sebuah jawantankuasa mesti ditubuhkan khas bertujuan menyelia perjalanan kampus. Jawatankuasa ini mestilah bebas dan non-partisan. Seharusnya yang mengisi jawatankuasa ini adalah di kalangan ahli akademik atau staf universiti yang tiada hubungan langsung dengan kolej kediaman. Ini penting dalam mewujudkan keadaan semak dan imbang dalam pilihanraya kelak sebagai kesinambungan demokrasi tulen. SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia) boleh dikenalpasti sebagai entiti untuk dilibatkan secara aktif dalam pilihanraya kampus.


4.0 Pengemaskinian data pengundi secara berkala


Data pengundi akan memastikan hanya mahasiswa yang sedang mengikuti ijazah sarjana muda yang layak mengundi dalam pemilihan perwakilan MPM (Majlis Perwakilan Mahasiswa). Kebiasaannya data ini akan dipamerkan seminggu sebelum berlangsungnya pilihanraya kampus untuk memeriksa status pengundian masing-masing.


Cadangan Penambahbaikan


Pengemaskinian data pengundi secara berkala sememangnya perlu bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan dalam proses pilihanraya melibatkan soal kebolehan mengundi. Ia dilakukan secara berkala dalam memastikan data yang dikeluarkan oleh pejabat HEP tidak terdapat keraguan dan integriti data dapat dijamin. Data pengundi ini dipamer secara berkala paling tidak dua kali dalam setahun sebelum pilihan raya kampus berlangsung. Wujudkan juga mekanisme bantahan sekiranya data pengundi meragukan. Selain daripada itu, sekiranya pengundian masih dilakukan di kolej kediaman maka dipohon kepada majlis pemilihan perwakilan mahasiswa untuk membenarkan kewujudan PACA bagi meastikan hanya mereka yang layak mengundi sahaja layak mengundi dan tidak timbul kes pengundian kali kedua. Ini bagi menjamin senarai pengundi yang dikemukakan benar-benar bersih dari sebarang bentuk penipuan.


Penutup

Raja Nazrin pernah bertitah dengan menyatakan bahawa produk pendidikan sekarang jangan sampai melahirkan robot, manusia yang hilang sifat-sifat insaniah, bersifat takbur dan berlagak sombong malah perlu diperkukuhkan dengan iman dan takwa supaya menjadi insan yang memiliki integriti diri yang tinggi lagi dihormati, bersifat jujur dan amanah. Justeru, pembentukan masyarakat harus bermula di alam kampus yang ditancap dengan benih komitmen tinggi semata-mata untuk menjadi generasi mengubah daya pemikiran ummah. Dan pilihan raya kampus yang benar-benar bebas dan adil adalah satu aktiviti kemahasiswaan yang paling bermakna bagi menggarap gagasan besar ini.

Sunday, September 6, 2009

Izinkan aku mengagumi Jepun...

Yukio Hatoyama


Diriku teruja bukan kerana kemajuan yang berjaya dicipta oleh sebuah negara bangsa ini sehingga kadangkala Barat terpaksa akur dengan negara matahari terbit. In satu hakikat yang tidak dapat dinafikan kebenarannya sehingga mantan PM, Tun Mahathir sendiri pada awal era kekuasaannya melihat Jepun sebagai model negara yang patut ditauladani baik dari sikap rakyatnya dan kepesatan ekonomi yang memuncak. Malah kaitan pertalian dalam batas geografi Asia menjadikan Jepun lebih berkelayakan berbanding negara-negara maju lain. Dan akhirnya dasar pandang ke Timur digagaskan.


Jepun yang pada ketika dahulu pada pertengahan awal 19 telah menamatkan dasar pemencilan negara (dasar tutup pintu) dan mula menerima pakai budaya dan teknologi Barat tetapi dengan tidak menghilangkan identiti kebudayaan bangsa mereka iaitu dalam konteks acuan mereka sendiri. Tetapi sains dan teknologi bukan sahaja datang sekadar fizikalnya semata-mata malah juga membawa sarat mafsadah kerosakan yang melata sifatnya sehingga budaya dan agama sesuatu bangsa terhakis.


Tetapi apa yang dikagumi adalah sikapnya yang sanggup berubah dalam pilihanraya baru-baru ini yang melihat kepada Parti Demokrat Jepun (DPJ) menguasai lebih 300 kerusi daripada 480 kerusi dewan rendah Parlimen yang dipertandingkan. Sekaligus menafikan pemerintah tradisi dalam politik Jepun Parti Liberal Demokrat (LDP) yang telah berkuasa sejak 1955. Mutakhir ini banyak negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun sendiri telah bangkit membawa perubahan gergasi dalam sistem politik mereka. Kekalahan LDP telah membuka peluang kepada Ketua DPJ, Yukio Hatoyama untuk menggnatikan Aso sebagai perdana menteri. Manifesto yang dicanangkan amat bersifat optimis dan bersifat keperluan yang mendesak tatkala ekonomi dunia menunjukkan tanda-tanda buruk yang berpanjangan dengan kadar pengangguran yang semakin bertambah. Antara janji DPJ adalah untuk memberi 26,000 yen sebulan kepada setiap anak dalam keluarga untuk memudahkan kos menguruskan pendidikan anak-anak. Malah, cadangan untuk menghapuskan tol, tawaran pendidikan tinggi percuma dan pendapatan bantuan kepada petani serta elaun bulanan diberikan kepada pelatih dalam kursus pra pekerjaan.


Tampak apa yang digula-gulakan oleh parti yang bertanding semuanya manis dan masa untuk walk the talk telah bermula bagi meyakinkan rakyat yang menyokong mereka bagi membawa perubahan yang hakiki. Tetapi, rakyat Jepun telah menjadi kayu aras yang jelas bahawa mesej perubahan telah sampai dalam nadi benua Asia. Cuma beberapa indikasi yang mesti ditekankan oleh parti baru memerintah dan government in waiting:
• Rakyat walaupun kadangkala bijak memilih dan sudah well informed tentang kebobrokan parti lama. Ini tidak bermakna mereka tidak akan berpaling kepada yang lama setelah bosan melihat janji parti baru merintah tidak dibumikan. Pemerkasaan untuk menerangkan serta memahamkan asas perjuangan sesuatu kumpulan mesti ditingkat. Apa yang boleh dikatankan, citizen is well informed but not politically connected.
• Malah parti Islam seperti PAS boleh dikatakakn mesti relevan dalam arena politik tanah air apabila sentiasa menunjukkan semnagt kesetiaan dan kebertanggungjawaban dalam membina negara. Ia seharusnya tampil dari inspirasi cita-cita nasional.
• Penonjolan tokoh-tokoh lain yang berkaliber dan berkeyakinan dalam merubah kondisi parah masyarakat hasil tinggalan sisa-sisa parti terdahulu.
• Jangan jadi seperti kumpulan alternatif kepada alternatif. Istilah ini telah diungkapkan oleh YB Mujahid Rawa bahawa harapan dan aspirasi kumpulan alternatif yang menggantikan pemrintah terdahulu mesti dilaksanakan sebaik mungkin. Kalau tidak kemungkinan timbul kumpulan lain yang merelevankan kewujudan mereka untuk mengalternatifkan anda.!