Tuesday, September 29, 2009

Pandang sisi bela nasib pekerja tertindas




Penulis berkesempatan untuk menonton rancangan Perspektif Kita terbitan Astro Awani beberapa hari lalu yang membariskan tokoh-tokoh pimpinan dalam masyarakat sekitar membincangkan tentang gaji pekerja dan perihal menggaji warga asing untuk diserah tugas membesarkan anak-anak mereka yang sibuk bekerjaya. Penulis mula dilambung gelisah memikirkan nasib pekerja memandangkan diri ini sudah berjinak-jinak dalam dunia kerjaya. Maka, amat patut dibincang sedikit dengan ceteknya ilmu didada. Amat menarik dan timbul rasa minat untuk mengulas beberapa rinci perbincangan berkaitan tentang perihal buruh atau pekerja dalam ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu pasang surutnya.

  1. Gaji minimum

Di Malaysia, belum ada suatu penetapan khusus berhubung dengan gaji minimum untuk golongan pekerja awam dan swasta. Kadar gaji minimum banyak bergantung kepada keadaan ekonomi dan sosial semasa sesebuah negara dan sekiranya diteliti penerimaan sistem kapitalisme sebagai dogma ekonomi global banyak menguntungkan golongan kapitalis bagi meraih keuntungan maksimum dengan menggadaikan pekerja dengan upah yang rendah. Kesan kini dapat dilihat lambakan tenaga kerja asing di negara kerana kos operasi dan gaji yang diberikan rendah berbanding dengan pekerja tempatan. Akibatnya, upah yang rendah boleh membantutkan ekonomi sesebuah negara dengan mengurangkan kuasa beli dek kerana gaji yang hanya mencukupi untuk menampung keperluan yang terhad. Di Malaysia melalui MTUC, perjuangan menggesa kerajaan menetapkan gaji minimum RM 900 dan menggubal Akta Pekerja 1955 untuk sektor awam terus dinafikan kerelevenannya oleh pihak pemerintah dengan beralasan bahawa pasaran melalui permintaan dan penawaran yang akan menentukan kadar gaji pekerja. Tapi penulis hairan dengan pemerintah Malaysia apabila timbul isu kerajaan Indonesia yang ingin membawa pulang amah mereka kembali, segera ditetapkan gaji minimum amah RM 800 yang dilihat sebagai cubaan menyelamatkan hubungan dua hala menanti rentak yang kini bergolak dengan beberapa isu panas serantau melibatkan pencerobohan di Ambalat, Manohara, isu ganyang Malaysia. Pada masa sama, nasib golongan pekerja tempatan terus menerus tidak mendapat pembelaan sepatutnya dalam konteks penetapan gaji minima. Penguatkuasaan gaji minima harus berteraskan dasar yang melindungi hak pekerja dengan penguatkuasaan yang adil dan telus.

  1. Mengkaji pendapatan garis kemiskinan (PGK)

Persoalan kemiskinan sering dibincangkan terutamanya dalam gelombang kelumpuhan sistem yang mendokong ekonomi global mulai rapuh. Apakah kesannya kepada golongan miskin tegar dan miskin relatif yang bergantung kepada tangga gaji yang boleh dipersoalkan kesesuaiannya dalam taraf hidup yang tinggi dan harga pasaran khususnya harga petrol yang kian melambung. Berdasarkan kos sara hidup terkini, pendapatan bulanan di bawah RM 2000 di kawasan bandar boleh digolongkan sebagai miskin dan kategori mereka yang berpendapatan tersebut mencakupi 24% jumlah penduduk negara. Pemerintah juga silap dalam menakrif pendapatan garis kemiskinan apabila membuat generalisasi buta bagi kawasan bandar dan luar bandar serta Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mengggunakan garis kemiskinan tunggal ini mengandaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah sama antara kawasan bandar dan luar bandar. Atas inisiatif untuk memewahkan rakyat disamping mengecapi kekayaan negeri, kerajaan Selangor telah menaikkan pendapatan garis kemiskinan daripada RM 731 kepada RM 1500 sebagai langkah usaha mengurangkan golongan miskin. Pengkajian semula pendapatn garis kemiskinan perlu disegerakan memandangkan keprluan sara hidup yang meningkat melibtakn sewa rumah, pengangkutan, tahap kesihatan global, tenaga dan pendidikan.

  1. Elak eksploitasi tenaga manusia

Dalam konteks pekerja asing umpamanya, pelaksanaan gaji minimum dapat mengelakkan eksploitasi majikan yang memberikan kadar upah yang amat rendah kepada pekerja asing seperti yang berlaku pada masa ini. Secara tidak langsung, gaji yang adil dan saksama juga menjamin seseorang pekerja itu dapat memenuhi tuntutan keperluan asasnya yang lain seperti hak terhadap tempat kediaman yang wajar, hak untuk berehat dan berekreasi serta hak kepada kemudahan kesihatan dan jaminan sekuriti sosial. Ini semua merupakan hak asasi setiap individu yang harus dijamin serta dilindungi oleh sesebuah negara. SUHAKAM atau kesatuan-kesatuan sekerja perlu sentiasa membuat pantauan terhadap nasib golongan pekerja terutamanya pada ketika ekonomi stabil gaji mereka ditekan hingga paras rendah dan apabila ekonomi gawat mereka dikorbankan demi keuntungan pemodal dan menyelamatkan nyawa syarikat. Golongan pekerja asing khususnya punyai hak berkehidupan manusiawi yang wajar dipenuhi. Abraham Maslow dalam teorinya mengatakan keperluan yang tinggi tidak dapat dipenuhi sekiranya keperluan yang di bawah diabaikan. Peringkat keprluan yang tinggi adalah self actualization, suatu peringkat kita mengiktiraf keberadaan diri insan iaitu pekerja bukan menilai mereka seperti orang suruhan.

Buat akhirnya, golongan pekerja adalah tulang belakang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Keazaman politik (political will) dan kebijaksanaan politik (political wisdom) harus dijalinkan bersama dalam membuahkan hasil yang menguntungkan semua pihak termasuk pekerja dan majikan. Giatkan perbincangan bersama tokoh ekonomi dan intelektual untuk resolusi penetapan gaji minima. Bersekutu dalam membuat perubahan bersma.

2 comments:

  1. salam.. berkaitan dengan pekerja asing.. saya ingin mempersoalkan tntg gaji pekerja asing. bila kite fikirkan, memang lah pekerja asing menerima gaji pada tahap minimum dan mereka juga dikategorikan sebagai golongan miskin. tetapi pekerja asing ini datang bersendirian ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. pada pandangan saya, gaji yang mereka terima adalah cukup untuk menampung keperluan untuk diri mereka sendiri. jika tidak, masakan mereka mampu mengirimkan wang kepada keluarga mereka di negara asal. nilai mata wang Malaysia adalah besar jika dibandingkan mata wang di negara asal mereka. kita juga dapat melihat, pekerja asing ini juga mampu untuk membeli telefon bimbit yang lebih canggih dari rakyat di negara kita. inikan pula pekerja amah yang mahu diberi gaji sebulan rm800. sedangkan mereka hanya pekerja luar. dengan kata lain, mereka tidak perlu hidup mewah di Malaysia kerana mereka kaya di negara asal mereka. oleh itu, wajarkan mereka digolong sebagai pekerja miskin? mengapa pula kadar kemiskinan di Malaysia perlu mengambil kira pekerja asing pula? sedangkan ramai lagi rakyat Malaysia yang masih miskin. walaupun negara berjaya mengurangkan kadar kemiskinan dengan berkesan melalui dasar-dasar yang dilancarkan, kita bukan sahaja mahu membasmi, tetapi kita mahu menghapuskan terus kemiskinan di Malaysia. jika kite fikir lebih jauh, ia akan memberi kesan jangka panjang kepada negara kita. pekerja asing terutama di sekitar Asia Tenggara akan semakin bertambah. apabila timbul isu yang mampu menggugat hak mereka, mereka akan memberontak. saya tidak akan hairan jika suatu hari nanti mereka akan menuntut hak untuk diwujudkan wakil rakyat pendatang asing di Parlimen untuk menjaga hak asasi mereka. mereka mampu menggugat hak kita. mereka akan mempertikaikan apa yang kita lakukan kepada mereka. sedangkan mereka hanya pendatang yang datang ke negara kita untuk menumpang, mencari rezeki dan sentiasa mewujudkan masalah sosial. fikirkanlah.

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas komen

    mmg dasar kerajaan sehingga kini gagal utk menetapkn gaji minimum bagi gologan pekerja dan beberapa tuntutan seolah2 tidak dilayan. dan lebih teruk lagi dalam zamn globalisasi yang lebih mengutamakn eko gologan pemodal dan kapitalis yang hanya memmkirkan soal keuntungan dan mengabaikan hak asasi pekerja serta menidakkan kewujudann badan kesatuan yng melindungi pekerja..
    bukn soal mengukur kpada kemiskinan kpda warga asing tetapi warga rakyat tempatn pun masih tidak mendapat nikmat kekayaan negra yang pasti mencukupi utnk menyara individu daripda kemiskinan tegar..

    ReplyDelete