Dokumen ini pernah dikemukakan kepada Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Malaya pada sesi pilihanraya kampus 2008 sebagai usaha untuk memurnikan kebobrokan sistem semasa penulis bertindak sebagai unit penyelidikan Pro Mahasiswa. Menyentuh tentang beberapa persoalan pokok dalam menjamin ketelusan sistem seperti partisipasi mahasiswa, pembuangan undi dan lain-lain. Untuk tujuan rujukan amat dialu-alukan. Sebarang perubahan atau cetakan semula adalah dilarang kecuali mendapat keizinan daripada penulis.
Dokumen Cadangan Penambahbaikan Sistem Perjalanan Pilihanraya Kampus
Pendahuluan
Bermula tahun 2003, politik kampus telah dicabuli dengan penetapan beberapa peraturan yang jelas bercanggah untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik (good governance) dan menggelapkan suara demokrasi yang adil. Diari hitam dalam sejarah politik kampus terus terkubur dan layu dengan beberapa kampus melibatkan campurtangan politik luar secara jelas dalam siri memenangkan kumpulan yang mendakwa memperjuangkan ’aspirasi’ sebenar mahasiswa dan menafikan suara kumpulan lain. Bertanding dalam padang yang tidak sama rata (unlevelled playing ground) dengan jelas memberi kelebihan kepada pihak tertentu dan menampakkan ketidakmatangan politik dalam memperkasakan demokrasi kampus. Kredibiliti mahasiswa telah diperkudakan dan pemilihan kepimpinan mahasiswa yang mewakili mereka tidak dapat dijalankan secara adil lagi telus. Standard sistem yang telus mesti dizahirkan di peringkat kampus sebagai platform menyediakan bakal kepimpinan yang tinggi budi dan tidak korupsi nilai. Menyedari keperluan kepada kehendak kampus sebagai lapangan ilmu yang mengamalkan profesionalisme, penambahbaikan dilihat sangat perlu diambilkira kerana ia menggambarkan wajah elektoral sebenar dan mencerminkan perubahan dinamika kehidupan mahasiswa. Sensitiviti ini bukan bersifat politikal tetapi menunjukkan tahap kesedaran politik yang progresif ke arah suasana baru sistem perjalanan pilihan raya dalam memugar kembali iklim politik kampus yang kian malap.
Aspek penambahbaikan
Dalam bahagian ini perbincangan difokuskan kepada elemen-elemen asas dalam sistem pilihan raya yang dicadangkan untuk penambahbaikan ke arah menjamin demokrasi kampus yang adil. Antara elemen-elemen yang dikenalpasti berhubung dengan perjalanan pilihanraya kampus:
1.0 Partisipasi dalam pilihanraya kampus
Kondisi penglibatan mahasiswa dalam politik kampus melalui medan pilihanraya masih dipandang sepi berikutan sikap konservatif mereka terhadap demokrasi. Malah, boleh dikatakan hanya 30% yang melibatkan diri secara aktif dan selebihnya bersifat non-partisan. Beranggapan bahawa mainan politik adalah budaya keji dan penuh dengan tipu helah menjadi minda mereka lebih tertumpu kepada kecemerlangan akademik yang kosong dengan nilai-nilai pembentukan kendiri. Merujuk kepada The Constitution of The University of Malaya, seksyen 48 (1) yang menyatakan bahawa semua pelajar mestilah menjadi anggota persatuan dengan makna kata lain mesti berpartisipasi secara aktif dalam membina nilai-nilai kemahasiswaaan melalui aktiviti berpersatuan. Pilihanraya kampus kini tidak lagi mendidik mahasiswa mengenal erti sebenar demokrasi apabila ia cuma bersifat ’political appointment’ bagi memenuhi taqwim tahunan universiti semata-mata.
Cadangan penambahbaikan
Justeru, pendidikan politik akan dicadangkan sebagai langkah permulaan untuk memugarkan kembali iklim politik kampus. Ia bertujuan menanam sifat pedulisme (prihatin) terhadap isu-isu berbangkit yang berkait dengan peringkat nasional dan antarabangsa. Kursus pendidikan ini mesti melibatkan semua mahasiswa dalam usaha pemerataan kefahaman dan kesedaran politik yang standard bertepatan dengan misi korprat universiti ”Producing Leaders”. Cadangan ini turut melihat prospek besar yang bakal digalas oleh mahasiswa sebagai pemerhati celik, pengamat teliti dan pemimpin berkarisma dalam mewarnai barisan kepimpinan negara akan datang.
2.0 Penstrukturan semula pusat pembuangan undi
Pusat pembuangan undi yang selama ini diletakkan di falkuti-fakulti dimana dekan-dekan fakulti bertindak selaku Pegawai Pengurus Pilihan raya (Returning Officer) telah dipindahkan ke kolej-kolej kediaman di bawah seliaan Pengetua-pengetua kolej yang berkebetulan turut menjadi Penasihat kepada pihak tertentu di peringkat kolej kediaman. Mood politik mahasiswa seolah-olah dikawal dan mereka mengundi atas dasar terpaksa dan penuh tekanan menyebabkan mereka tidak dapat membuat pilihan yang bebas. Satu undi kepada calon ’bukan aspirasi’, bermakna mereka berdepan dengan risiko disingkirkan dari kolej kediaman atau pun dikenakan tindakan tatatertib.
Cadangan Penambahbaikan
Tindakan memindahkan pengendaliaan pilihan raya ke kolej kediaman dan diletakkan di bawah seliaan Pengetua Kolej telah meruntuhkan idealisme mahasiswa. Pembuangan undi di Fakulti dilihat banyak memberi kemudahan dalam melicinkan perjalanan pilihan raya kampus kerana lebih menjimatkan masa untuk menjumlahkan undi calon fakulti. Fakulti juga hanya menyediakan peti undi pada kadar yang minimum berbanding taburan peti undi yang banyak bergantung kepada mahasiswa dari pelbagai fakulti apabila ia dikendalikan di peringkat kolej kediaman. Secara ringkasnya, kebebasan bersuara dan pilihan lebih terjamin sekiranya pilihan raya dijalankan di peringkat Fakulti berbanding Kolej Kediaman. Tindakan ini juga bertepatan dengan Artikel 48(2)(a) Jadual Pertama, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.
3.0 Pemantau bebas bagi perjalanan pilihanraya kampus
Suruhanjaya pilihan raya kampus yang di bawah pengendalian Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertanggungjawab menyelia dan mengurus perjalanan pilihnaraya supaya dapat dijalankan secara adil dan bebas. Tetapi, beberapa siri ugutan dan ancaman kepada kumpulan yang tidak sebulu dengan mereka memperlihatkan SPR kampus tidak berminat dalam memastikan para mahasiswa menunaikan hak mereka dalam membuat pilihan. Pemantauan perlu konsisten dalam memastikan tiada sebarang salahlaku dan pencabulan peraturan pilihanraya berlaku.
Cadangan Penambahbaikan
Memandangkan pemantauan berkesan amat penting dalam menjamin demokrasi kampus tidak tercalar, sebuah jawantankuasa mesti ditubuhkan khas bertujuan menyelia perjalanan kampus. Jawatankuasa ini mestilah bebas dan non-partisan. Seharusnya yang mengisi jawatankuasa ini adalah di kalangan ahli akademik atau staf universiti yang tiada hubungan langsung dengan kolej kediaman. Ini penting dalam mewujudkan keadaan semak dan imbang dalam pilihanraya kelak sebagai kesinambungan demokrasi tulen. SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia) boleh dikenalpasti sebagai entiti untuk dilibatkan secara aktif dalam pilihanraya kampus.
4.0 Pengemaskinian data pengundi secara berkala
Data pengundi akan memastikan hanya mahasiswa yang sedang mengikuti ijazah sarjana muda yang layak mengundi dalam pemilihan perwakilan MPM (Majlis Perwakilan Mahasiswa). Kebiasaannya data ini akan dipamerkan seminggu sebelum berlangsungnya pilihanraya kampus untuk memeriksa status pengundian masing-masing.
Cadangan Penambahbaikan
Pengemaskinian data pengundi secara berkala sememangnya perlu bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan dalam proses pilihanraya melibatkan soal kebolehan mengundi. Ia dilakukan secara berkala dalam memastikan data yang dikeluarkan oleh pejabat HEP tidak terdapat keraguan dan integriti data dapat dijamin. Data pengundi ini dipamer secara berkala paling tidak dua kali dalam setahun sebelum pilihan raya kampus berlangsung. Wujudkan juga mekanisme bantahan sekiranya data pengundi meragukan. Selain daripada itu, sekiranya pengundian masih dilakukan di kolej kediaman maka dipohon kepada majlis pemilihan perwakilan mahasiswa untuk membenarkan kewujudan PACA bagi meastikan hanya mereka yang layak mengundi sahaja layak mengundi dan tidak timbul kes pengundian kali kedua. Ini bagi menjamin senarai pengundi yang dikemukakan benar-benar bersih dari sebarang bentuk penipuan.
Penutup
Raja Nazrin pernah bertitah dengan menyatakan bahawa produk pendidikan sekarang jangan sampai melahirkan robot, manusia yang hilang sifat-sifat insaniah, bersifat takbur dan berlagak sombong malah perlu diperkukuhkan dengan iman dan takwa supaya menjadi insan yang memiliki integriti diri yang tinggi lagi dihormati, bersifat jujur dan amanah. Justeru, pembentukan masyarakat harus bermula di alam kampus yang ditancap dengan benih komitmen tinggi semata-mata untuk menjadi generasi mengubah daya pemikiran ummah. Dan pilihan raya kampus yang benar-benar bebas dan adil adalah satu aktiviti kemahasiswaan yang paling bermakna bagi menggarap gagasan besar ini.
No comments:
Post a Comment