Wednesday, October 21, 2009

Bahasa..Martabatkan dan Beri laluan..



Jika hendak mengenal orang berbangsa,

Lihatlah pada budi dan bahasa


Jika hendak mengenal orang yang berilmu,

Bertanya dan belajar tiadalah jemu.



Beberapa rangkap gurindam yang dikaryakan oleh tokoh pemikir Johor-Riau abad 19. Nampak bersahaja tetapi terkandung makna yang mendalam untuk diperhatikan beberapa intisari penting sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2009 yang diumumkan oleh TPM Malaysia baru-baru ini di Kuching, Sarawak. Mungkin ramai yang tidak menyedari kehadiran malah gelombang menyemarakkan penggunaan bahasa Melayu sempena bulan promosi bahasa ini tenggelam timbul dan berbaki beberapa hari sahaja sebelum menutup tirai yang masih kelabu. Suka atau tidak suka elemen peneguhan negara bangsa menuntut supaya kita mencintai bahasa kebangsaan tetapi ini tidak menjadikan lesen besar untuk menidakkkan bahsa asing lain.


Bahasa Melayu dahulunya pernah menjadi lingua franca dalm dunia perdagangan dan dakwah Alam Melayu dan beberapa peruntukan dalm perlembgaan juga telah dirangka khusus supaya bahasa ini mesti dituturkan malah diamalkan dalam system tadbiran dan urusan rasmi kerajaan. Institusi seperti Dewan Bhasa dan Pustaka, Universiti Kebangsaan Mlaysia dan Institut Terjemahan Negara Malaysia adalah beberapa tanda aras kesungguhan dalam memartabtkan bahasa Melayu sebagi bahasa ilmu malah hasrat untuk menjadi bahasa tuturan global dalam sains teknologi pernah diilhamkn oleh cendiakawan bahasa dan sastera.



Namun, bebrapa hambatan mesti ditangani dengan bijaksana sebelum nasib bahasa yang menjadi nadi jiwa pengenalan bangsa Melayu di kuburkan :

  • Kemerosotan dan ‘hilang sengat’ bahasa ibunda

Beberapa peruntukan dan institusi kadangkala dilihat kurang berperanan dalam memperkasakan bahsa ini. Malah timbul percampuran istilah sehingga menghasilkan bahsa ‘rojak’ yang menghilangkan mutu ketulenan identiti bahasa. Bidang pembudayaan masyarakat seperti pendidkan,pentadbiran dan penyiaran kurang mengambil bahagian secara aktif dalm memartabatkan bahasa.



  • Promosi bahasa Inggeris yang keterlaluan.

Golablisasi sememngnya telah mencipta small global village dan anggapan yang berlebihan bahawa bahsa Inggeris adalah survival weapon dalam dunia moden telah memangsakan bahsa kebangsaan. Malah bahsa asing diberi tempat dalam pengiklanan dan pemasaran sehinggakan seseorang yang bertutur dalam bahsa Melayu dianggap tidak bersifat updated. Tanpa perlu iklan, bahsa Inggeris tetap dijadikan tatapan harian dan promosi tidak langsung dalam segenap ruang lingkup masyarakat Mlaysia.



  • Tiada keselarasan antara pasaran industri dan pendidikan

Bahsa hari ini dilihat sebagai penentuan taraf sosial dan pulangan ekonomi dalam masyrakat. Malah dunia pendidkan tidak terlepas terkena sindrom ini apabila melihat potensi bahasa Melayu malap dengan men’transformasi’kan secara revolusi bahsa pengantar mereka. Dunia industri telah menukar landskapnya untuk menerima modal insan daripada ekonomi berasaskan pengeluran kepada ekonomi berasakan pengetahuan. Secara tidak langsung, dunia pendidkan negara terpaksa akur dan tunduk akan kehendak globalisasi.



  • Kaitan budaya dan bahasa dalam mencorak jatidiri.

Ada kolerasi positif kerana pembudayaan bahsa Melayu yang akan menentukan budi bangsa. Pengaruh budaya murni terhadap budaya pabila bahasa yang tulen dituturkan tetap ada kerana Islam yang dianuti oleh penduduk alam Nusantara terdahulu telah memberi nilai budi yang mulia dan kosa kata yang indah sesuai dengan Islam. Islam yang telah mengubah struktur pemikiran orang Melayu sehingga menghasilkan tulisan jawi. Malah amat malang kerana segelintir masyrakat yang menggerhanakan bahasa. Inilah bahayanya apabila kita kehilangan “makna diri” kita sebagai bangsa Melayu sehingga sanggup meremehkan tunjang kebudayaan dan tamadun yang penting, iaitu bahasanya sendiri.



Universalnya Islam dengan menjadi beberapa item seperti bahasa Arab yang menjadi bahasa Al-quran untuk penyatuan umat nya dan pada masa sama membenarkan umatnya menguasai beberapa bahasa sebagi alat komunikasi dan perantraan dakwah yang efektif dalm dunia tanpa sempadan. Sebab itu, kata-kata hikmah ada menyebutkan bahawa ‘Bertutur kepada mereka (kelompok yang didakwah) menggunakan bahasa mereka. Namun, persolan bahasa ini masih merangkumi perkara yang hajjiyat (keperluan) dalam kehidupan seorang insan. Tetapi, bahsa menjadi asas kepada cita-cita sosial, iaitu sikap terhadap kehidupan bermasyrakat dan tangga awal untuk berinteraksi serta bermuamalah sesama insan. Kuasai bahsa asing dengan tidak taksub dan jangan meremehkan bahsa sendiri!

Friday, October 16, 2009

Bahasa baru




Hari ini, semua tampil dengan berbagai istilah dan bahasa yang baru dalam kehidupan mereka bagi mengambarkan bahawa mereka akan terus menjadi juara dalam memenangi hati golongan sasarannya. Dalam dunia politik, Islam melihat ia bukanlah segala-galanya dan bukan ibadah khusus tetapi politik dilihat sebagai satu sendi dalam menentukan tanggungjawab manusia untuk melaksanakan misi Hirasah al-Deen wa Siasatu ad-Duniya bihi serta memandu kehidupan yang lebih berperaturan. Sekiranya peniaga ingin menjual produk atau perkhidmatannya, semestinya mereka akan berfikir cara baru untuk mempromosikan produknya dalam kadar yang boleh menguntungkan tanpa meninggalkan asas-asas penting dalam akhlak perniagaan.


Hari ini, kebanyakan rakyat kadangkala terlalu alergik bila disebut tentang politik dan tatkala seseorang berbicara persoalan politik maka ia dianggap jumud dan bodoh lagi dungu apabila sekarang orang berbicara tentang hal-hal yang lebih dinamik. Ini adalah golongan tiada langsung kepedulian terhadap politik malah politik baginya adalah kotor dan jijik dan mereka ini mengisytiharkan bahwa mereka berlepas diri daripada terlibat direct and indirect dalam dunia politik. Malah politik sebenarnya mengajar kita cara disiplin berorganisasi, hidup dengan lebih berperaturan dan bertindak dalam kerangka yang tersusun. Malah tidak menjadi kesalahan, sekiranya penolakan nilai-nilai negatif yang kian mengakar dalam masyrakat kini hasil tempias ombak ganas globalisasi seperti penyelewengan kuasa, pencabulan hak asasi, amalan rasuah dan pecah amanah ditanam dan diajar pada anak-anak yang masih kecil sesuai dengan pendekatan mereka. Yang penting, pendidilkan politik harus diterapkan dan semangat benci terhadap amalan-amalan kotor tersebut harus ditanam sedari kecil.


Mungkin penulis sedang cuba memberi sedikit kefahaman berdasarkan ceteknya ilmu yang ada berkenaan tentang cadangan untuk memudahkan pemahaman bahasa baru dalam politik:
• Output yang menjadi teras perbincangan
Kini, semua berbicara soal perubahan baik dalam BN atau PR dan sememangnya politik adalah seni untuk mencipta kehidupan yang baik untuk rakyat kebanyakan. Sebab itu, Islam tidak menganggap politik dan Deen sebagai dikotomi sebagaimana Barat cuba memustahilkan penyatuan dua unsur ini berdasarkan sejarah hitam teokrasi kuasa gereja yang memanipulasikan kuasanya untuk memaksa kehidupan terus mundur. Nabi Muhammad s.a.w. bukan sekadar penyampai risalah semata-mata tetapi bertindak sebagai civilizing force yang berfikir, berdakwah dan bernegara untuk merubah nilai pemikran songsang kepada teras tauhid yang agung. PAS di Malaysia yang pada dahulunya lantang bersuara untuk negara Islam telah mengambil langkah yang bijak dalam menerangkan output yang lebih berkesan daripada bertelagah dalam konteks isu yang sempit iaitu cuba menawarkan bentuk kenegaraan dan Islam yang boleh memperbaiki dan membantu umat masyarakat. Perubahan yang lebih yakin dan diterima rakyat apabila berdiri teguh atas perjuangan dan penawaran kehidupan yang terbaik untuk dinikmati rakyat.


• Pemahaman mendasar pada semua peringkat
UMNO telah melakukan transformasi yang begitu 'drastik' pada perhimpunan khas baru-baru ini malah menggunakan istilah dan bahasa baru dalam dunia mereka berpolitik seperti wehadatul fikr, wehdatul amal, tarbiyah dan lain-lain. yang kdangkala membingungkan pemahaman ahli mereka trhadap istilah gharib tersebut. PAS juga pada muktamarnya terus mmberi keyakinan akan terus bersma memperteguhkan PR dan kurang bercakap tentang persoaln provokatif daripada musuh politiknya, iaitu negara Islam. Akan tetapi, masing-masing pastinya punya keazaman politik yang tinggi apabila bercakap tentang gagasan idea tetapi kebijaksanaan politik harus direncanakan dalam memahamkan kepada rakyat tentang idea kebaikan masing-masing. UMNO dan PAS pada peringkat pusat telah mengorak langkah yang pragmatik tetapi adakah perubahan impian telah sampai ke peringakt bawahan atau rakyat yang buta politik. UMNO masih terbelenggu dengan krisis kepimpinan dan politik wang dan ahli PAS masih langi melaungkan slogan-slogan keras era PAS 80-an dan 90-an iaitu kafir bagi mereka tidak menyokong mereka. Kemungkinan masing-masing tidak boleh duduk slesa dan pastinya penggembelengan tenaga dalm penerangan akar umbi harus giat dilaksanakan. Dan kuasa perubahan tidak terhenti dalam dewan kita berkumpul dan mesti sampai kepada semua.


• Pendidikan politik
Seorang pemikir kulit hitam di Amerika, Carter Wood son mengatakan ’If you can control a man’s thinking you do not to worry about his action’. Pendidikan mesti dimulakan diperingkat bawah dan pemrintah harus berani malah NGO mesti terlibat dalam mnerapkan pendidkan politik kepada generasi muda. Nilai kepimpinan, soal integriti dan berucap di hadapan khalyak ramai, berwacana ilmiah tentang soal kenegraaan dan ajakan kepada penyertaan serta penubuhan badan persatuan adalah elemen dalam pendidikan politik. Generasi tidak boleh berselindung daripada mengetahui asas tunjang dan pemahaman kasar tentang garis panduan berorganisasi mesti telus tanpa kepentingan parti. Sekiranya tidak diterapkan, maka generasi yang alah kepada politik dan terus menghukum dengan keadaan politik yang ada akan terus bertambah dan menjadi satu ancaman kepada kestabilan sesebuah negara. Adalah menjadi salah dan dosa sekiranya kita mensekularkan diri kita sendiri dan membiarkan hanya orang-orang tertentu menentukan nasib kita dan kita tidak mengambil peduli tentang kerja buat kebaikan dan perubahan yang dianjurkan. Dan lebih malang lagi sekiranya kita menjad penyumbang kepada kekalnya kekuasaan yang zalim. Kita boleh mencadangkan pendidikan sukan dan seks tetapi dangkal dalam idea ini semat-mata ingin menjaga status quo pemerintah. Penulis hanya ingin bangkitkan sense of ummah consciusness . Wallahu'alam..

Saturday, October 10, 2009

Angels & Demons..Kecelaruan Barat Memahami Agama dan Sains


Angels and Demons adalah filem sekuel Hollywood kepada filem Da Vinci Code yang diarahkan oleh pengarah yang sama, Ron Howard mengisahkan tentang pertentangan sains dan agama Barat pada zaman pertengahan atau zaman yang disebut sebagai zaman Renaissance, iaitu zaman kebangkitan sains dan berkembangnya aliran positivisme dan rationalisme. Dalam filem ini, Galileo dijadikan subjek penentangan sains terhadap agama.


Mengikut sejarah, Galileo, pengamal fahaman Copernicus adalah seorang ahli astonomi yang telah dituduh menyeleweng daripada ajaran Bible serta dianggap bidaah sesat yang nyata oleh gereja katolik apabila mengemukakan teori sains fizik dan astronomi yang berkaitan tentang matahari sebagi pusat kosmos. Maka timbullah kumpulan Illuminati, kumpulan rahsia yang terdiri daripada ahli sains yang ditindas oleh pihak gereja kerana kajian saintifik mereka yang dianggap bleh menggugat autoriti dan legitimasi gereja sebagai sumber rujukan. Bermula naratif dan plot filem ini yang agak provokatif yang melibatkan kontroversi yang diada-adakan antara gereja Vatican dan golongan Illuminati yang cuba membalas dendam atas Galileo.


Penulis tidak mahu mencerita lanjut tentang kesudahan yang berlaku dalam filem Ron Howard ini kerana ramai sudah menyaksikannya. Tapi cuba mengambil intipati penting yang boleh dikongsi bersama:


  • Promosi filem barat yang anti agama.

Kebanyakan filem Hollywood kini sarat memperjuangkan temanya yang pasca moden sehingga terhasilnya karya perfileman yang penuh dengan fiksyen sains yang melampau realitinya untuk dijelmakan dan mesej yang menyerang semua agama termasuk Kristian sendiri. Keghairahan pasca moden ialah memporak-perandakan apa yang sedia ada dalm struktur masyarakat seperti ketenteraman sosial dan keperluan beragama dan pada masa memunculkan premis-premis baru yang ‘radikal’ sifatnya yang sepatutnya dijadikan norma baru dalam hidup moden kini. Maka tidak pelik melihat filem Angels & Demons, memaparkan naratif kontroversi yang sengaja diada-adakan terhadap pihak gereja yang pada mata Barat sudah primitif sifatnya dan tiada fungsi dalam menentukan tujuan hidup dan menganggap sains adalah segala-galanya jawapan permasalahan hidup. Malah, mereka cuba memadamkan unsur keagamaan di dunia ini untuk mewujudkan dunia yang anti tuhan (atheisme) berpaksikan new world order.


  • Usaha berterusan protes kewujudan realiti Tuhan

Barat sememangnya telah memaksakan pensekularan berlaku dan membina tembok pemisah antara pihak gereja dan saintis sebagi usaha mengelak daripada terbantutnya kajian mereka dan usaha melepaskan diri daripada keterikatan nilai-nilai ‘lapuk’ yang mengongkong mereka. Filem direka untuk menghalalkan tindakan mereka terhadap agama dan Tuhan. Kajian-kajian mereka sekarang bukan dilihat sebagai pemudahcara kepada kehidupan manusiawi kini malah menjadi racun berbahaya kepada alam jagat. Munculnya saintisme dan doktrin darwinisme yang masih menjadi tunjang kewujudan sains moden dan penafian Tuhan. Alam yang menjadi bukti nyata ciptaan Allah (ayat musawwarah-al-Quran terbuka) sepatutnya dijadikan medan berfikir secara rasional tentang kewujudan Allah yang bersifat al-Hayy (Maha Hidup), al-Muhyi (Maha menghidupkan), al-Khaliq (Maha pencipta).


  • Pentingnya mengetahui susur galur dan kepntingan agama serta zaman gerhananya di Barat sepanjang kelahiran, perkembangan modenisasi Barat.

Syed Hossein Nasr pernah berkata Barat telah ramai melahirkan orientalis yang berjaya menfasirkan sumber-sumber khazanah Islam daripada perspektif mereka sehingga banyak mengelirukan umat Islam tetapi umat Islam kini kurang melahirkan oksidentalis (lawan kpd orientalis), mereka yang mengkaji sumber dan sejarah ilmu Barat untuk difahami dengan piawaian Islam. Cabaran menanti kita untuk berhadapan dengan mereka untuk mengemukakan alternatif yang menyakinkan kepada dunia bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah. Saranan yang mesti diambil adalah kaji tentang akar umbi sejarah sains, nilai dalam kerangka pandang hidup Islam dan terapkan nilai-nilai kebaikan dalam pengajaran sains kembali. Setelah penulis melihat sendiri filem Da Vinci Code dan Angels & Demons, betapa pentingnya bagi kita untuk meneliti kembali sejarah kenapa barat mengenepikan agama dalam kehidupan mereka dan bagaimana dunia moden yang begitu kompleks ini berkembang dalam lipatan sejarah yang mesti dirungkai. Ideologi-ideologi dunia yang sepatutnya dikaji untuk memahami dunia ini berubah.


  • Sains dan agama bukan dua entiti yang asing.

Hanya Barat yang memesongkan fahaman bahawa sains dan agama tidak layak duduk sekali. Malah sains mesti dipimpin oleh agama sesuai dengan tanggungjwab manusia sebagai Khalifah yang mengurustadbir alam sesuai dengan kehendak alam serta sains dijadikan alat untuk kenal Tuhan. Sebab itu, ilmu mengurus diri berkenaan dengan akidah dan asas fardhu ain mesti disempurnakan sebelum terjun dalam ilmu fardhu kifayah atau ilmu mengurus sistem alam iaitu sains.


Thursday, October 1, 2009

Berbaloikah F1 1 Malaysia?



Ketika terdengar kali pertama usaha Malaysia untuk menyertai Kejohanan Dunia Formula Satu (F1) pada tahun 2010 melalui Proton atau Lotus dengan menggunapakai tema gagasan 1 Malaysia, penulis berasa kagum dan tkjub sebentar melihat kesungguhan pemerintah dalam menaikkan imej negara dalam industri automatif negara. Namun bila difikir untuk lapis kedua dan setrusnya menampakkan kedangkalan yang nyata terutamanya manfaat yang rakyat dapat hasil daripada penyertaan ini dan manfaat yang diterima oleh Proton dalm memajukan bidang penyelidikan dan pembangunan (R & D) yang seharusnya menjadi teraju utama dalam memperkasakn industri automatif serta menyimpangnya konsep slogan ratib harian Perdana Menteri dalam 1 Malaysia iaitu rakyat didahulukan.


Penulis bukanlah golongan ‘yes sir man’ sentiasa dan setiap warganegara Mlaysia berhak bersuara menyatakan luahan mereka bukan kerana untuk menjatuhkan sesiapa tetapi atas dasar untuk melihat Malaysia ini membangun dengan lebih progresif tanpa mengabaikan prinsip asas kenegaraan dan negara ini untuk milik semua bukan untuk diswastakan untuk tujuan golongan tertentu.


Pada pengamatan penulis, ada beberapa intipati penting untuk dikongsi bersama apabila pasukan lumba F1 1 Malaysia diilhamkan.


• Kos operasi dan permulaan (initial cost) yang tinggi
Peruntukan sebanyak RM 57 juta bakal dilaburkan pada peringkat permulaan untuk meningkatkan mutu enjin yang sesuai buat memenuhi syarat paling asas dalam dunia pemotoran F1. Ketua Pasukan F1 1 Malaysia, Tony Fernandez juga memaklumkan bahawa bajet tahunan projek ini ialah RM 308 juta, dengan RM 168 juta sebagai kos permulaan dengan masing-masing mendapat dana suntikan terus daripada rakan kongsi projeksi gergasi ini, Air Asia dan Naza Motor. Kos operasi juga dijangka tinggi dengan penyediaan siaran langsung dan iklan yang menelan belanja yang tinggi untuk tujuan promosi. Tatkala keadaan ekonomi negara yang kembang kuncup, pemerintah mesti punya keutamaan yang mesti diutamakan dan berfikir untuk berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat bawahan yang mesti menjadi perbincangan rutin harian seorang pemerintah. Biar berapa banyak dana yang disediakan, seharusnya pemerintah mesti berani untuk menzahirkan aliran keluar masuk dan perbelnjaan yang jelas tentang perjalanan untuk diakses oleh rakyat. Dalam memastikan konsep good governance dicapai, pemerintah mesti telus dan bersikap transparensi untuk memastikan manfaat F1 1M pulang kepada rakyat. Dan pada masa sama, rakyat tidak boleh mengharapkan semua yang dipinta dipenuhi dalm terma lain, up-bottom iaitu pelunasan tugas pemrintah untuk kehendak rakyatnya tetapi bottom-up juga bagi pihak rakyat adalah untuk menjadi pengguna yang berhemah dalam setiap kemudahan yang disediakan disamping berusaha untuk memaksimakan akses maklumat yang tepat.


• Populariti di gelanggang F1 tidak berkadar langsung dengan penjualan kereta di pasaran.
Generalisasi yang dangkal melihat tatkala sesebuah syarikat automatif menang beberapa siri perlumbaan maka secara automatik berlakunya peningkatan penjualan produk kenderaannya sebagai kesan berkadar langsung. Malah, jangkaan ini meleset dan buktinya dapat dibawa ialah Toyota yang merupakan juara pengeluar berjaya automatif biarpun tidak pernah menjuarai kejohanan F1 dalam tempoh tujuh tahun berbanding General Motor yang merupakan handalan di gelanggang F1. Malah, Hyundai dari Korea yang telah mencecah rekod penjualan tinggi dipasarn global tidak mempunyai pasukan F1. Inikan pula Malaysia yang jauh ketinggalan dari sudut teknologi automatifnya berkepingin mencuba nsib yang tidak tentu berhasil dek kerana negara kita bukan jagoan sukan permotoran F1.


• F1 kurang sesuai sebagai gelanggang terbaik untuk promosi Proton.
Sekiranya benar ramalan pemerintah dan Tony Fernandez yang mengatakan bahawa gelanggang F1 hanya satu-satu medan untuk mengubah persepsi dunia terhadap kereta nasional maka pasukan lumba F1 1 Malaysia mesti menang siri-siri perlumbaan yang disertainya. Tetapi, pasukan F1 1 Malaysia ini berkemungkinan tipis peluangnya kerana kurangnya pengalaman. Malah tidak keterlaluan dikatakan niat asal utuk mempromosi Proton di mata global menjadi bahan lawak dan sia-sia kerana tampil muncul sebagai mereka yang mengisi lorong-lorong belakang di setiap perlumbaan. Dan sekiranya penggabungan dengan Lotus yang dikatakan syarikat automatif yang punyai pengaruh dalam dunia pemotoran F1 maka Proton tidak tersilap langkah. Namun, sekiranya jangkaan Tony Fernandez yang mengandaikan Air Asia akan untung berlipatkali ganda dek kerana ramainya peminat tegar datang ke Litar Sepang mungkin ia agak logik untuk dipertimbangkan. Tetapi, pada akhirnya ia tidak mengubah persepsi global terhadap Proton. Malaysia sendiri bukan negara besar dalam dunia pemotoran F1 dan iklan promosi boleh dijadikan alternatif kepada penyertaan F1 yang tiada titik kepastian.


• Masa depan proton dipergadaikan
Proton bukan sahaja menerima persepsi negatif di peringkat global malah regional tempatan juga proton menerima nasib yang sama. Proton juga tidak boleh gah untuk berdiri menyatakan dirinya adalah kereta nasional dan selama-lamanya terus bergantung kepada kerajaan untuk terus mengorak langkah. Persaingan dengan beberapa syarikat automatif tempatan khususnya Perodua telah menyebabakan ramai pengguna mengalih pandangan kepada Perodua. Kereta Proton pernah berada di puncak pasaran tempatan, dengan menguasai lebih 60% pasaran pada tahun 2002, jatuh merudum hingga 28% pada tahun 2008. Dan naik sedikit sehingga 30% pada tahun 2009 kerana pengeluaran model baru yang lebih kompetitif dan affordable. Kos yang dilaburkan kepada F1 seharusnya dilaburkan kepada bidang R & D Proton kerana selama ini kereta ini tidak lari daripada bayang model kereta produk Mitsubishi dan hanya berkulitkan Proton sedangkan isinya Mitsubishi. Tiada identiti sebenar dalam penjelmaan imej penampilan Proton dan sudah tiba masanya Proton membina jatidiri yang lebih menyakinkan. Perkongsian pintar dengan beberapa syrikat automatif mesti berasaskan lebih tertumpu kepada penyelidikan dan pembangunan. Kita warganegara yang cintakan Proton tidak mahukan industri Proton menerima nasib yang sama seperti Lehman Brother yang akhirnya diisytihar bankrap kerana lambakan kereta dan tiada nilai dalam pasaran ketika dunia berhadapan dengan krisis ekonomi.


Kesimpulannya, benar bahawa menganjurkan acara kejohanan F1 dapat menarik pelancongan dan memperkenalkan imej Malaysia kerana sukan tersebut diikuti oleh seramai lebih daripada 2 billon peminat di seluruh dunia. Tetapi memadailah dengan menganjurkan sukan tersebut di litar kita sendiri. Tak perlulah kita menghabis ratusan juta (dan akhirnya berbilion) ringgit hanya untuk memaparkan imej - imej yang tidak mencerminkan isi sebenar). Sudah tiba masanya Proton serius dalam menaikkan imejnya dan menentukan masa depannya dengan pembangunan enjin yang tersendiri dan punyai nilai tambah yang menepati citarasa pengguna.

Tuesday, September 29, 2009

Pandang sisi bela nasib pekerja tertindas




Penulis berkesempatan untuk menonton rancangan Perspektif Kita terbitan Astro Awani beberapa hari lalu yang membariskan tokoh-tokoh pimpinan dalam masyarakat sekitar membincangkan tentang gaji pekerja dan perihal menggaji warga asing untuk diserah tugas membesarkan anak-anak mereka yang sibuk bekerjaya. Penulis mula dilambung gelisah memikirkan nasib pekerja memandangkan diri ini sudah berjinak-jinak dalam dunia kerjaya. Maka, amat patut dibincang sedikit dengan ceteknya ilmu didada. Amat menarik dan timbul rasa minat untuk mengulas beberapa rinci perbincangan berkaitan tentang perihal buruh atau pekerja dalam ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu pasang surutnya.

  1. Gaji minimum

Di Malaysia, belum ada suatu penetapan khusus berhubung dengan gaji minimum untuk golongan pekerja awam dan swasta. Kadar gaji minimum banyak bergantung kepada keadaan ekonomi dan sosial semasa sesebuah negara dan sekiranya diteliti penerimaan sistem kapitalisme sebagai dogma ekonomi global banyak menguntungkan golongan kapitalis bagi meraih keuntungan maksimum dengan menggadaikan pekerja dengan upah yang rendah. Kesan kini dapat dilihat lambakan tenaga kerja asing di negara kerana kos operasi dan gaji yang diberikan rendah berbanding dengan pekerja tempatan. Akibatnya, upah yang rendah boleh membantutkan ekonomi sesebuah negara dengan mengurangkan kuasa beli dek kerana gaji yang hanya mencukupi untuk menampung keperluan yang terhad. Di Malaysia melalui MTUC, perjuangan menggesa kerajaan menetapkan gaji minimum RM 900 dan menggubal Akta Pekerja 1955 untuk sektor awam terus dinafikan kerelevenannya oleh pihak pemerintah dengan beralasan bahawa pasaran melalui permintaan dan penawaran yang akan menentukan kadar gaji pekerja. Tapi penulis hairan dengan pemerintah Malaysia apabila timbul isu kerajaan Indonesia yang ingin membawa pulang amah mereka kembali, segera ditetapkan gaji minimum amah RM 800 yang dilihat sebagai cubaan menyelamatkan hubungan dua hala menanti rentak yang kini bergolak dengan beberapa isu panas serantau melibatkan pencerobohan di Ambalat, Manohara, isu ganyang Malaysia. Pada masa sama, nasib golongan pekerja tempatan terus menerus tidak mendapat pembelaan sepatutnya dalam konteks penetapan gaji minima. Penguatkuasaan gaji minima harus berteraskan dasar yang melindungi hak pekerja dengan penguatkuasaan yang adil dan telus.

  1. Mengkaji pendapatan garis kemiskinan (PGK)

Persoalan kemiskinan sering dibincangkan terutamanya dalam gelombang kelumpuhan sistem yang mendokong ekonomi global mulai rapuh. Apakah kesannya kepada golongan miskin tegar dan miskin relatif yang bergantung kepada tangga gaji yang boleh dipersoalkan kesesuaiannya dalam taraf hidup yang tinggi dan harga pasaran khususnya harga petrol yang kian melambung. Berdasarkan kos sara hidup terkini, pendapatan bulanan di bawah RM 2000 di kawasan bandar boleh digolongkan sebagai miskin dan kategori mereka yang berpendapatan tersebut mencakupi 24% jumlah penduduk negara. Pemerintah juga silap dalam menakrif pendapatan garis kemiskinan apabila membuat generalisasi buta bagi kawasan bandar dan luar bandar serta Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mengggunakan garis kemiskinan tunggal ini mengandaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah sama antara kawasan bandar dan luar bandar. Atas inisiatif untuk memewahkan rakyat disamping mengecapi kekayaan negeri, kerajaan Selangor telah menaikkan pendapatan garis kemiskinan daripada RM 731 kepada RM 1500 sebagai langkah usaha mengurangkan golongan miskin. Pengkajian semula pendapatn garis kemiskinan perlu disegerakan memandangkan keprluan sara hidup yang meningkat melibtakn sewa rumah, pengangkutan, tahap kesihatan global, tenaga dan pendidikan.

  1. Elak eksploitasi tenaga manusia

Dalam konteks pekerja asing umpamanya, pelaksanaan gaji minimum dapat mengelakkan eksploitasi majikan yang memberikan kadar upah yang amat rendah kepada pekerja asing seperti yang berlaku pada masa ini. Secara tidak langsung, gaji yang adil dan saksama juga menjamin seseorang pekerja itu dapat memenuhi tuntutan keperluan asasnya yang lain seperti hak terhadap tempat kediaman yang wajar, hak untuk berehat dan berekreasi serta hak kepada kemudahan kesihatan dan jaminan sekuriti sosial. Ini semua merupakan hak asasi setiap individu yang harus dijamin serta dilindungi oleh sesebuah negara. SUHAKAM atau kesatuan-kesatuan sekerja perlu sentiasa membuat pantauan terhadap nasib golongan pekerja terutamanya pada ketika ekonomi stabil gaji mereka ditekan hingga paras rendah dan apabila ekonomi gawat mereka dikorbankan demi keuntungan pemodal dan menyelamatkan nyawa syarikat. Golongan pekerja asing khususnya punyai hak berkehidupan manusiawi yang wajar dipenuhi. Abraham Maslow dalam teorinya mengatakan keperluan yang tinggi tidak dapat dipenuhi sekiranya keperluan yang di bawah diabaikan. Peringkat keprluan yang tinggi adalah self actualization, suatu peringkat kita mengiktiraf keberadaan diri insan iaitu pekerja bukan menilai mereka seperti orang suruhan.

Buat akhirnya, golongan pekerja adalah tulang belakang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Keazaman politik (political will) dan kebijaksanaan politik (political wisdom) harus dijalinkan bersama dalam membuahkan hasil yang menguntungkan semua pihak termasuk pekerja dan majikan. Giatkan perbincangan bersama tokoh ekonomi dan intelektual untuk resolusi penetapan gaji minima. Bersekutu dalam membuat perubahan bersma.

Monday, September 28, 2009

Tahniah..anda kembali kepada Fitrah suci Sebenar.




Di kesempatan bulan Syawal yang mulia ini, tidak terlambat lagi penulis ingin mengucapkan salam ‘Idulfitri serta tahniah buat semua muslimin dalam melapsai projeksi Ramadhan dan maaf zahir batin kepada semua yang mengenali diri ini. Buat yang teristimewa kepada keluargaku sendiri khususnya kepada ayahku, Mohd Din Ismail dan bondaku yang dihormati lagi disayangi, Hayati bt Hj. Abd Rahman serta adik beradikku yang disayangi, abang sulungku, Abd Rahman Makrimi dan adik-adik, Nurul Asimah dan Nurul Izzah..Moga keluarga kita terus erat tali perhubungan dan tempat limpah curahnya kasih sayang dan rahmat Nya. Ya Allah, peliharalah keluargaku dari fitnah dunia dan suburkan kasih sayang dan Islam dalam keluargaku..


Dan seluruh keluarga besar PMIUM dan sahabat seperjuangan batch as-soff. Sesungguhnya perjuangan yang ditempuhi di medan kampus dan hasil pengalaman bersama duka suka dapat dijadikan bekalan ampuh untuk meneruskan survival dakwah di luar sana. Maaf sekiranya terdapat kekasarn bahasa dan bicara sepanjang perkenalan yang penuh bermakna dalam catatan diari kehidupan penulis khususnya mereka yang pernah bekerja bersama. Budak-budak ‘nakal’ dan teman serumah BT..minta halal kalau terkurang ajar dan terlebih.


Ramadhan telah berlalu dengan segala kelebihan yang menjanjikan pelepasan maksimum dari azab neraka dan Syawal yang kunjung tiba tidak sepatutnya diratapi dek kerana mendayunya suara takbir tetapi sebagai pembakar semangat untuk terus berkhidmat dengan agamaNya. Rebut peluang yang berbaki dan bersisa ini khususnya bulan Syawal dengn memperbanyakkan amalan ziarah sanak saudara. Penulis sendiri rasa gembira bila berhubungan dengan waris-waris lama yang tidak pernah bersua sebelum ini tetapi punyai talian darah keturunan. Eratkan hubungan dengan mereka dan bantu mereka yang memerlukan. Kemenangan Syawal dirai dengan kesedrhanaan tanpa mengorbankan prinsip asas ibadah dalam Islam. Jangan sampai perkara yang sunat seperti ziarah dilebih-lebihkan dengan meninggalkan amalan wajib solat. Jangan lupa untuk berpuasa enam buat bekalan akhirat dan tanda berjayanya kesinambungan tarbiyah Ramadhan.


Buat akhirnya sepotong doa, penulis nukilkan buat semua dalam bulan kemenangan ini.

‘Ya ALLAH, ampuni diri ini yang penuh dengn noda dan dosa kepdaMu. Juga ampunkan dan rahmatilah ibubapaku dan seluruh sahabatku dan teguhkan pendirian mereka dalam mengharungi zaman fitnah dunia yang semakin mencabar. Terimalah amalan Ramadhan kami yang lalu dan buanglah karat-karat jahiliyah dalam diri kami dan hindarilah kami dari bidaah dan khurafat dalam beramal kepadaMu dalam bulan Syawal ini.’

Wednesday, September 9, 2009

Sisipan untuk semua..


Dokumen ini pernah dikemukakan kepada Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Malaya pada sesi pilihanraya kampus 2008 sebagai usaha untuk memurnikan kebobrokan sistem semasa penulis bertindak sebagai unit penyelidikan Pro Mahasiswa. Menyentuh tentang beberapa persoalan pokok dalam menjamin ketelusan sistem seperti partisipasi mahasiswa, pembuangan undi dan lain-lain. Untuk tujuan rujukan amat dialu-alukan. Sebarang perubahan atau cetakan semula adalah dilarang kecuali mendapat keizinan daripada penulis.





Dokumen Cadangan Penambahbaikan Sistem Perjalanan Pilihanraya Kampus



Pendahuluan


Bermula tahun 2003, politik kampus telah dicabuli dengan penetapan beberapa peraturan yang jelas bercanggah untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik (good governance) dan menggelapkan suara demokrasi yang adil. Diari hitam dalam sejarah politik kampus terus terkubur dan layu dengan beberapa kampus melibatkan campurtangan politik luar secara jelas dalam siri memenangkan kumpulan yang mendakwa memperjuangkan ’aspirasi’ sebenar mahasiswa dan menafikan suara kumpulan lain. Bertanding dalam padang yang tidak sama rata (unlevelled playing ground) dengan jelas memberi kelebihan kepada pihak tertentu dan menampakkan ketidakmatangan politik dalam memperkasakan demokrasi kampus. Kredibiliti mahasiswa telah diperkudakan dan pemilihan kepimpinan mahasiswa yang mewakili mereka tidak dapat dijalankan secara adil lagi telus. Standard sistem yang telus mesti dizahirkan di peringkat kampus sebagai platform menyediakan bakal kepimpinan yang tinggi budi dan tidak korupsi nilai. Menyedari keperluan kepada kehendak kampus sebagai lapangan ilmu yang mengamalkan profesionalisme, penambahbaikan dilihat sangat perlu diambilkira kerana ia menggambarkan wajah elektoral sebenar dan mencerminkan perubahan dinamika kehidupan mahasiswa. Sensitiviti ini bukan bersifat politikal tetapi menunjukkan tahap kesedaran politik yang progresif ke arah suasana baru sistem perjalanan pilihan raya dalam memugar kembali iklim politik kampus yang kian malap.


Aspek penambahbaikan


Dalam bahagian ini perbincangan difokuskan kepada elemen-elemen asas dalam sistem pilihan raya yang dicadangkan untuk penambahbaikan ke arah menjamin demokrasi kampus yang adil. Antara elemen-elemen yang dikenalpasti berhubung dengan perjalanan pilihanraya kampus:


1.0 Partisipasi dalam pilihanraya kampus

Kondisi penglibatan mahasiswa dalam politik kampus melalui medan pilihanraya masih dipandang sepi berikutan sikap konservatif mereka terhadap demokrasi. Malah, boleh dikatakan hanya 30% yang melibatkan diri secara aktif dan selebihnya bersifat non-partisan. Beranggapan bahawa mainan politik adalah budaya keji dan penuh dengan tipu helah menjadi minda mereka lebih tertumpu kepada kecemerlangan akademik yang kosong dengan nilai-nilai pembentukan kendiri. Merujuk kepada The Constitution of The University of Malaya, seksyen 48 (1) yang menyatakan bahawa semua pelajar mestilah menjadi anggota persatuan dengan makna kata lain mesti berpartisipasi secara aktif dalam membina nilai-nilai kemahasiswaaan melalui aktiviti berpersatuan. Pilihanraya kampus kini tidak lagi mendidik mahasiswa mengenal erti sebenar demokrasi apabila ia cuma bersifat ’political appointment’ bagi memenuhi taqwim tahunan universiti semata-mata.


Cadangan penambahbaikan


Justeru, pendidikan politik akan dicadangkan sebagai langkah permulaan untuk memugarkan kembali iklim politik kampus. Ia bertujuan menanam sifat pedulisme (prihatin) terhadap isu-isu berbangkit yang berkait dengan peringkat nasional dan antarabangsa. Kursus pendidikan ini mesti melibatkan semua mahasiswa dalam usaha pemerataan kefahaman dan kesedaran politik yang standard bertepatan dengan misi korprat universiti ”Producing Leaders”. Cadangan ini turut melihat prospek besar yang bakal digalas oleh mahasiswa sebagai pemerhati celik, pengamat teliti dan pemimpin berkarisma dalam mewarnai barisan kepimpinan negara akan datang.


2.0 Penstrukturan semula pusat pembuangan undi


Pusat pembuangan undi yang selama ini diletakkan di falkuti-fakulti dimana dekan-dekan fakulti bertindak selaku Pegawai Pengurus Pilihan raya (Returning Officer) telah dipindahkan ke kolej-kolej kediaman di bawah seliaan Pengetua-pengetua kolej yang berkebetulan turut menjadi Penasihat kepada pihak tertentu di peringkat kolej kediaman. Mood politik mahasiswa seolah-olah dikawal dan mereka mengundi atas dasar terpaksa dan penuh tekanan menyebabkan mereka tidak dapat membuat pilihan yang bebas. Satu undi kepada calon ’bukan aspirasi’, bermakna mereka berdepan dengan risiko disingkirkan dari kolej kediaman atau pun dikenakan tindakan tatatertib.


Cadangan Penambahbaikan


Tindakan memindahkan pengendaliaan pilihan raya ke kolej kediaman dan diletakkan di bawah seliaan Pengetua Kolej telah meruntuhkan idealisme mahasiswa. Pembuangan undi di Fakulti dilihat banyak memberi kemudahan dalam melicinkan perjalanan pilihan raya kampus kerana lebih menjimatkan masa untuk menjumlahkan undi calon fakulti. Fakulti juga hanya menyediakan peti undi pada kadar yang minimum berbanding taburan peti undi yang banyak bergantung kepada mahasiswa dari pelbagai fakulti apabila ia dikendalikan di peringkat kolej kediaman. Secara ringkasnya, kebebasan bersuara dan pilihan lebih terjamin sekiranya pilihan raya dijalankan di peringkat Fakulti berbanding Kolej Kediaman. Tindakan ini juga bertepatan dengan Artikel 48(2)(a) Jadual Pertama, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.


3.0 Pemantau bebas bagi perjalanan pilihanraya kampus


Suruhanjaya pilihan raya kampus yang di bawah pengendalian Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertanggungjawab menyelia dan mengurus perjalanan pilihnaraya supaya dapat dijalankan secara adil dan bebas. Tetapi, beberapa siri ugutan dan ancaman kepada kumpulan yang tidak sebulu dengan mereka memperlihatkan SPR kampus tidak berminat dalam memastikan para mahasiswa menunaikan hak mereka dalam membuat pilihan. Pemantauan perlu konsisten dalam memastikan tiada sebarang salahlaku dan pencabulan peraturan pilihanraya berlaku.


Cadangan Penambahbaikan


Memandangkan pemantauan berkesan amat penting dalam menjamin demokrasi kampus tidak tercalar, sebuah jawantankuasa mesti ditubuhkan khas bertujuan menyelia perjalanan kampus. Jawatankuasa ini mestilah bebas dan non-partisan. Seharusnya yang mengisi jawatankuasa ini adalah di kalangan ahli akademik atau staf universiti yang tiada hubungan langsung dengan kolej kediaman. Ini penting dalam mewujudkan keadaan semak dan imbang dalam pilihanraya kelak sebagai kesinambungan demokrasi tulen. SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia) boleh dikenalpasti sebagai entiti untuk dilibatkan secara aktif dalam pilihanraya kampus.


4.0 Pengemaskinian data pengundi secara berkala


Data pengundi akan memastikan hanya mahasiswa yang sedang mengikuti ijazah sarjana muda yang layak mengundi dalam pemilihan perwakilan MPM (Majlis Perwakilan Mahasiswa). Kebiasaannya data ini akan dipamerkan seminggu sebelum berlangsungnya pilihanraya kampus untuk memeriksa status pengundian masing-masing.


Cadangan Penambahbaikan


Pengemaskinian data pengundi secara berkala sememangnya perlu bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan dalam proses pilihanraya melibatkan soal kebolehan mengundi. Ia dilakukan secara berkala dalam memastikan data yang dikeluarkan oleh pejabat HEP tidak terdapat keraguan dan integriti data dapat dijamin. Data pengundi ini dipamer secara berkala paling tidak dua kali dalam setahun sebelum pilihan raya kampus berlangsung. Wujudkan juga mekanisme bantahan sekiranya data pengundi meragukan. Selain daripada itu, sekiranya pengundian masih dilakukan di kolej kediaman maka dipohon kepada majlis pemilihan perwakilan mahasiswa untuk membenarkan kewujudan PACA bagi meastikan hanya mereka yang layak mengundi sahaja layak mengundi dan tidak timbul kes pengundian kali kedua. Ini bagi menjamin senarai pengundi yang dikemukakan benar-benar bersih dari sebarang bentuk penipuan.


Penutup

Raja Nazrin pernah bertitah dengan menyatakan bahawa produk pendidikan sekarang jangan sampai melahirkan robot, manusia yang hilang sifat-sifat insaniah, bersifat takbur dan berlagak sombong malah perlu diperkukuhkan dengan iman dan takwa supaya menjadi insan yang memiliki integriti diri yang tinggi lagi dihormati, bersifat jujur dan amanah. Justeru, pembentukan masyarakat harus bermula di alam kampus yang ditancap dengan benih komitmen tinggi semata-mata untuk menjadi generasi mengubah daya pemikiran ummah. Dan pilihan raya kampus yang benar-benar bebas dan adil adalah satu aktiviti kemahasiswaan yang paling bermakna bagi menggarap gagasan besar ini.