Showing posts with label intelek. Show all posts
Showing posts with label intelek. Show all posts

Tuesday, November 24, 2009

Jom Ber'Mat Jenin'...





Merancang kehidupan selepas bergraduasi telah membuat penulis berkira-kira dan memaksa diri ini meletakkan beberapa garis besar matlamat jangka panjang yang mesti dicapai dalam kehidupan. Bila melihat penting urusan kewangan perlu diuruskan sehabis baik supaya nilaian keluar masuk wang dapat diagihkan kepada jalan yang sepatutnya tanpa mengabaikan keperluan peribadi. Bukan bermaksud ingin terlalu mengejar keduniaan tetapi merancang supaya dunia ini terurus dengan sistem aturan Tuhan.

Bercerita tentang perancangan, hikayat Mat Jenin sangat sinonim dalam masyarakat Melayu dan mempunyai konotasi yang sering ditempelkan bersama iaitu angan-angan. Dan akhirnya, karekter Mat Jenin dibunuh dengan matinya Mat Jenin dek kerana jatuh daripada pokok sebab kuat berangan dan bermimpi yang bukan-bukan. Kuasa imperialis telah berjaya membenamkan kekuatan potensi orang Melayu dan mendoktrinkan persepsi negatif supaya terus terkebelakang dalam memajukan diri serta menanamkan rasa puas hati atas kejayaan yang ada. Asalnya Mat Jenin yang kerja rutinnya mendapat upah daripada mengutip buah kelapa bercita-cita besar untuk menjadi tauke kepada perusahaan besar penternakan ayam dan akhirnya memperolehi laba keuntungan besar sebagai galang ganti untuk bernikah dengan puteri anak raja.

Hakikatnya, jika dinilai dari sudut positif dari naratif Mat Jenin, ia menggambarkan daya perancangan yang jitu yang bermula dengan angan-angan yang begitu strategis. Mat Jenin punyai kebebasan untuk merancang dan masih berpeluang untuk meneruskan impiannya dalam frame work yang lebih tersusun jika cerita ini tidak dimatikan kesudahannya yang bersifat membunuh daya kreativiti dan imaginasi. Perancangna tidak wujud sekiranya tidak bermula dengan angan-angan. Hidup Mat Jenin penuh dengan matlamat jelas yang ingin dicapai .Sebenarnya Mat Jenin berjiwa besar dan punyai impian besar yang telah menjadi sumber inspirasinya untuk bergerak merealisasikannya. Teringat kepada kata-kata Zig Ziglar :

You don’t have to be great to start, but you have to start to be great.

Sekiranya benar pengakhiran cerita dengan matinya Mat Jenin, ia telah menjadi helaian-helaian pengalaman yang tidak akan dapat diubah tetapi kita mampu untuk mengawal tindakan kita pada masa sekarang kerana ia akan menjadi catatan pengalaman kita pada masa akan datang. Jangan disebabkan pengalaman lampau atau jalan cerita Mat Jenin yang sebegitu rupa menjadikan kita terus berkekalan berkarekter negatif. Kita mempunyai kawalan terhad terhadap apa yang kita lalui. Tetapi kita mempunyai kawalan penuh terhadap sikap kita. Segalanya bergantung kepada sikap kita untuk melihat hikayat ini sebagai sekadar hikayat atau sesuatu yang membimbing ke arah masa depan yang lebih optimis yang mesti dirancang.

Perubahan tidak akan berlaku jika hanya sekadar berfikir dan tindakan mesti digerakkan sedaya mampu. Dunia khayalan tidak membawa kita ke mana-mana, tetapi kita yang bertindak atas keinginan supaya benar-benar mencapai impian yang telah diputuskan. Umar Al-Khattab juga berimpian jika berpeluang supaya lahirnya ramai pemuda seperti Mus’ab bin Umair, Abu Ubaidah al Jarrah di bumi Tuhan untuk penerusan dakwah yang lebih berenergetik. Malah tokoh terkenal seperti Martin Luther Jr. dalam ucapan keramatnya pada 28 Ogos 1963 untuk memastikan kesamarataan hak dalam kaum menyatakan, I Have a Dream..!

Saturday, October 10, 2009

Angels & Demons..Kecelaruan Barat Memahami Agama dan Sains


Angels and Demons adalah filem sekuel Hollywood kepada filem Da Vinci Code yang diarahkan oleh pengarah yang sama, Ron Howard mengisahkan tentang pertentangan sains dan agama Barat pada zaman pertengahan atau zaman yang disebut sebagai zaman Renaissance, iaitu zaman kebangkitan sains dan berkembangnya aliran positivisme dan rationalisme. Dalam filem ini, Galileo dijadikan subjek penentangan sains terhadap agama.


Mengikut sejarah, Galileo, pengamal fahaman Copernicus adalah seorang ahli astonomi yang telah dituduh menyeleweng daripada ajaran Bible serta dianggap bidaah sesat yang nyata oleh gereja katolik apabila mengemukakan teori sains fizik dan astronomi yang berkaitan tentang matahari sebagi pusat kosmos. Maka timbullah kumpulan Illuminati, kumpulan rahsia yang terdiri daripada ahli sains yang ditindas oleh pihak gereja kerana kajian saintifik mereka yang dianggap bleh menggugat autoriti dan legitimasi gereja sebagai sumber rujukan. Bermula naratif dan plot filem ini yang agak provokatif yang melibatkan kontroversi yang diada-adakan antara gereja Vatican dan golongan Illuminati yang cuba membalas dendam atas Galileo.


Penulis tidak mahu mencerita lanjut tentang kesudahan yang berlaku dalam filem Ron Howard ini kerana ramai sudah menyaksikannya. Tapi cuba mengambil intipati penting yang boleh dikongsi bersama:


  • Promosi filem barat yang anti agama.

Kebanyakan filem Hollywood kini sarat memperjuangkan temanya yang pasca moden sehingga terhasilnya karya perfileman yang penuh dengan fiksyen sains yang melampau realitinya untuk dijelmakan dan mesej yang menyerang semua agama termasuk Kristian sendiri. Keghairahan pasca moden ialah memporak-perandakan apa yang sedia ada dalm struktur masyarakat seperti ketenteraman sosial dan keperluan beragama dan pada masa memunculkan premis-premis baru yang ‘radikal’ sifatnya yang sepatutnya dijadikan norma baru dalam hidup moden kini. Maka tidak pelik melihat filem Angels & Demons, memaparkan naratif kontroversi yang sengaja diada-adakan terhadap pihak gereja yang pada mata Barat sudah primitif sifatnya dan tiada fungsi dalam menentukan tujuan hidup dan menganggap sains adalah segala-galanya jawapan permasalahan hidup. Malah, mereka cuba memadamkan unsur keagamaan di dunia ini untuk mewujudkan dunia yang anti tuhan (atheisme) berpaksikan new world order.


  • Usaha berterusan protes kewujudan realiti Tuhan

Barat sememangnya telah memaksakan pensekularan berlaku dan membina tembok pemisah antara pihak gereja dan saintis sebagi usaha mengelak daripada terbantutnya kajian mereka dan usaha melepaskan diri daripada keterikatan nilai-nilai ‘lapuk’ yang mengongkong mereka. Filem direka untuk menghalalkan tindakan mereka terhadap agama dan Tuhan. Kajian-kajian mereka sekarang bukan dilihat sebagai pemudahcara kepada kehidupan manusiawi kini malah menjadi racun berbahaya kepada alam jagat. Munculnya saintisme dan doktrin darwinisme yang masih menjadi tunjang kewujudan sains moden dan penafian Tuhan. Alam yang menjadi bukti nyata ciptaan Allah (ayat musawwarah-al-Quran terbuka) sepatutnya dijadikan medan berfikir secara rasional tentang kewujudan Allah yang bersifat al-Hayy (Maha Hidup), al-Muhyi (Maha menghidupkan), al-Khaliq (Maha pencipta).


  • Pentingnya mengetahui susur galur dan kepntingan agama serta zaman gerhananya di Barat sepanjang kelahiran, perkembangan modenisasi Barat.

Syed Hossein Nasr pernah berkata Barat telah ramai melahirkan orientalis yang berjaya menfasirkan sumber-sumber khazanah Islam daripada perspektif mereka sehingga banyak mengelirukan umat Islam tetapi umat Islam kini kurang melahirkan oksidentalis (lawan kpd orientalis), mereka yang mengkaji sumber dan sejarah ilmu Barat untuk difahami dengan piawaian Islam. Cabaran menanti kita untuk berhadapan dengan mereka untuk mengemukakan alternatif yang menyakinkan kepada dunia bahawa Islam adalah penyelesaian kepada semua masalah. Saranan yang mesti diambil adalah kaji tentang akar umbi sejarah sains, nilai dalam kerangka pandang hidup Islam dan terapkan nilai-nilai kebaikan dalam pengajaran sains kembali. Setelah penulis melihat sendiri filem Da Vinci Code dan Angels & Demons, betapa pentingnya bagi kita untuk meneliti kembali sejarah kenapa barat mengenepikan agama dalam kehidupan mereka dan bagaimana dunia moden yang begitu kompleks ini berkembang dalam lipatan sejarah yang mesti dirungkai. Ideologi-ideologi dunia yang sepatutnya dikaji untuk memahami dunia ini berubah.


  • Sains dan agama bukan dua entiti yang asing.

Hanya Barat yang memesongkan fahaman bahawa sains dan agama tidak layak duduk sekali. Malah sains mesti dipimpin oleh agama sesuai dengan tanggungjwab manusia sebagai Khalifah yang mengurustadbir alam sesuai dengan kehendak alam serta sains dijadikan alat untuk kenal Tuhan. Sebab itu, ilmu mengurus diri berkenaan dengan akidah dan asas fardhu ain mesti disempurnakan sebelum terjun dalam ilmu fardhu kifayah atau ilmu mengurus sistem alam iaitu sains.


Thursday, October 1, 2009

Berbaloikah F1 1 Malaysia?



Ketika terdengar kali pertama usaha Malaysia untuk menyertai Kejohanan Dunia Formula Satu (F1) pada tahun 2010 melalui Proton atau Lotus dengan menggunapakai tema gagasan 1 Malaysia, penulis berasa kagum dan tkjub sebentar melihat kesungguhan pemerintah dalam menaikkan imej negara dalam industri automatif negara. Namun bila difikir untuk lapis kedua dan setrusnya menampakkan kedangkalan yang nyata terutamanya manfaat yang rakyat dapat hasil daripada penyertaan ini dan manfaat yang diterima oleh Proton dalm memajukan bidang penyelidikan dan pembangunan (R & D) yang seharusnya menjadi teraju utama dalam memperkasakn industri automatif serta menyimpangnya konsep slogan ratib harian Perdana Menteri dalam 1 Malaysia iaitu rakyat didahulukan.


Penulis bukanlah golongan ‘yes sir man’ sentiasa dan setiap warganegara Mlaysia berhak bersuara menyatakan luahan mereka bukan kerana untuk menjatuhkan sesiapa tetapi atas dasar untuk melihat Malaysia ini membangun dengan lebih progresif tanpa mengabaikan prinsip asas kenegaraan dan negara ini untuk milik semua bukan untuk diswastakan untuk tujuan golongan tertentu.


Pada pengamatan penulis, ada beberapa intipati penting untuk dikongsi bersama apabila pasukan lumba F1 1 Malaysia diilhamkan.


• Kos operasi dan permulaan (initial cost) yang tinggi
Peruntukan sebanyak RM 57 juta bakal dilaburkan pada peringkat permulaan untuk meningkatkan mutu enjin yang sesuai buat memenuhi syarat paling asas dalam dunia pemotoran F1. Ketua Pasukan F1 1 Malaysia, Tony Fernandez juga memaklumkan bahawa bajet tahunan projek ini ialah RM 308 juta, dengan RM 168 juta sebagai kos permulaan dengan masing-masing mendapat dana suntikan terus daripada rakan kongsi projeksi gergasi ini, Air Asia dan Naza Motor. Kos operasi juga dijangka tinggi dengan penyediaan siaran langsung dan iklan yang menelan belanja yang tinggi untuk tujuan promosi. Tatkala keadaan ekonomi negara yang kembang kuncup, pemerintah mesti punya keutamaan yang mesti diutamakan dan berfikir untuk berusaha meningkatkan taraf hidup rakyat bawahan yang mesti menjadi perbincangan rutin harian seorang pemerintah. Biar berapa banyak dana yang disediakan, seharusnya pemerintah mesti berani untuk menzahirkan aliran keluar masuk dan perbelnjaan yang jelas tentang perjalanan untuk diakses oleh rakyat. Dalam memastikan konsep good governance dicapai, pemerintah mesti telus dan bersikap transparensi untuk memastikan manfaat F1 1M pulang kepada rakyat. Dan pada masa sama, rakyat tidak boleh mengharapkan semua yang dipinta dipenuhi dalm terma lain, up-bottom iaitu pelunasan tugas pemrintah untuk kehendak rakyatnya tetapi bottom-up juga bagi pihak rakyat adalah untuk menjadi pengguna yang berhemah dalam setiap kemudahan yang disediakan disamping berusaha untuk memaksimakan akses maklumat yang tepat.


• Populariti di gelanggang F1 tidak berkadar langsung dengan penjualan kereta di pasaran.
Generalisasi yang dangkal melihat tatkala sesebuah syarikat automatif menang beberapa siri perlumbaan maka secara automatik berlakunya peningkatan penjualan produk kenderaannya sebagai kesan berkadar langsung. Malah, jangkaan ini meleset dan buktinya dapat dibawa ialah Toyota yang merupakan juara pengeluar berjaya automatif biarpun tidak pernah menjuarai kejohanan F1 dalam tempoh tujuh tahun berbanding General Motor yang merupakan handalan di gelanggang F1. Malah, Hyundai dari Korea yang telah mencecah rekod penjualan tinggi dipasarn global tidak mempunyai pasukan F1. Inikan pula Malaysia yang jauh ketinggalan dari sudut teknologi automatifnya berkepingin mencuba nsib yang tidak tentu berhasil dek kerana negara kita bukan jagoan sukan permotoran F1.


• F1 kurang sesuai sebagai gelanggang terbaik untuk promosi Proton.
Sekiranya benar ramalan pemerintah dan Tony Fernandez yang mengatakan bahawa gelanggang F1 hanya satu-satu medan untuk mengubah persepsi dunia terhadap kereta nasional maka pasukan lumba F1 1 Malaysia mesti menang siri-siri perlumbaan yang disertainya. Tetapi, pasukan F1 1 Malaysia ini berkemungkinan tipis peluangnya kerana kurangnya pengalaman. Malah tidak keterlaluan dikatakan niat asal utuk mempromosi Proton di mata global menjadi bahan lawak dan sia-sia kerana tampil muncul sebagai mereka yang mengisi lorong-lorong belakang di setiap perlumbaan. Dan sekiranya penggabungan dengan Lotus yang dikatakan syarikat automatif yang punyai pengaruh dalam dunia pemotoran F1 maka Proton tidak tersilap langkah. Namun, sekiranya jangkaan Tony Fernandez yang mengandaikan Air Asia akan untung berlipatkali ganda dek kerana ramainya peminat tegar datang ke Litar Sepang mungkin ia agak logik untuk dipertimbangkan. Tetapi, pada akhirnya ia tidak mengubah persepsi global terhadap Proton. Malaysia sendiri bukan negara besar dalam dunia pemotoran F1 dan iklan promosi boleh dijadikan alternatif kepada penyertaan F1 yang tiada titik kepastian.


• Masa depan proton dipergadaikan
Proton bukan sahaja menerima persepsi negatif di peringkat global malah regional tempatan juga proton menerima nasib yang sama. Proton juga tidak boleh gah untuk berdiri menyatakan dirinya adalah kereta nasional dan selama-lamanya terus bergantung kepada kerajaan untuk terus mengorak langkah. Persaingan dengan beberapa syarikat automatif tempatan khususnya Perodua telah menyebabakan ramai pengguna mengalih pandangan kepada Perodua. Kereta Proton pernah berada di puncak pasaran tempatan, dengan menguasai lebih 60% pasaran pada tahun 2002, jatuh merudum hingga 28% pada tahun 2008. Dan naik sedikit sehingga 30% pada tahun 2009 kerana pengeluaran model baru yang lebih kompetitif dan affordable. Kos yang dilaburkan kepada F1 seharusnya dilaburkan kepada bidang R & D Proton kerana selama ini kereta ini tidak lari daripada bayang model kereta produk Mitsubishi dan hanya berkulitkan Proton sedangkan isinya Mitsubishi. Tiada identiti sebenar dalam penjelmaan imej penampilan Proton dan sudah tiba masanya Proton membina jatidiri yang lebih menyakinkan. Perkongsian pintar dengan beberapa syrikat automatif mesti berasaskan lebih tertumpu kepada penyelidikan dan pembangunan. Kita warganegara yang cintakan Proton tidak mahukan industri Proton menerima nasib yang sama seperti Lehman Brother yang akhirnya diisytihar bankrap kerana lambakan kereta dan tiada nilai dalam pasaran ketika dunia berhadapan dengan krisis ekonomi.


Kesimpulannya, benar bahawa menganjurkan acara kejohanan F1 dapat menarik pelancongan dan memperkenalkan imej Malaysia kerana sukan tersebut diikuti oleh seramai lebih daripada 2 billon peminat di seluruh dunia. Tetapi memadailah dengan menganjurkan sukan tersebut di litar kita sendiri. Tak perlulah kita menghabis ratusan juta (dan akhirnya berbilion) ringgit hanya untuk memaparkan imej - imej yang tidak mencerminkan isi sebenar). Sudah tiba masanya Proton serius dalam menaikkan imejnya dan menentukan masa depannya dengan pembangunan enjin yang tersendiri dan punyai nilai tambah yang menepati citarasa pengguna.

Tuesday, September 29, 2009

Pandang sisi bela nasib pekerja tertindas




Penulis berkesempatan untuk menonton rancangan Perspektif Kita terbitan Astro Awani beberapa hari lalu yang membariskan tokoh-tokoh pimpinan dalam masyarakat sekitar membincangkan tentang gaji pekerja dan perihal menggaji warga asing untuk diserah tugas membesarkan anak-anak mereka yang sibuk bekerjaya. Penulis mula dilambung gelisah memikirkan nasib pekerja memandangkan diri ini sudah berjinak-jinak dalam dunia kerjaya. Maka, amat patut dibincang sedikit dengan ceteknya ilmu didada. Amat menarik dan timbul rasa minat untuk mengulas beberapa rinci perbincangan berkaitan tentang perihal buruh atau pekerja dalam ketika keadaan ekonomi yang tidak menentu pasang surutnya.

  1. Gaji minimum

Di Malaysia, belum ada suatu penetapan khusus berhubung dengan gaji minimum untuk golongan pekerja awam dan swasta. Kadar gaji minimum banyak bergantung kepada keadaan ekonomi dan sosial semasa sesebuah negara dan sekiranya diteliti penerimaan sistem kapitalisme sebagai dogma ekonomi global banyak menguntungkan golongan kapitalis bagi meraih keuntungan maksimum dengan menggadaikan pekerja dengan upah yang rendah. Kesan kini dapat dilihat lambakan tenaga kerja asing di negara kerana kos operasi dan gaji yang diberikan rendah berbanding dengan pekerja tempatan. Akibatnya, upah yang rendah boleh membantutkan ekonomi sesebuah negara dengan mengurangkan kuasa beli dek kerana gaji yang hanya mencukupi untuk menampung keperluan yang terhad. Di Malaysia melalui MTUC, perjuangan menggesa kerajaan menetapkan gaji minimum RM 900 dan menggubal Akta Pekerja 1955 untuk sektor awam terus dinafikan kerelevenannya oleh pihak pemerintah dengan beralasan bahawa pasaran melalui permintaan dan penawaran yang akan menentukan kadar gaji pekerja. Tapi penulis hairan dengan pemerintah Malaysia apabila timbul isu kerajaan Indonesia yang ingin membawa pulang amah mereka kembali, segera ditetapkan gaji minimum amah RM 800 yang dilihat sebagai cubaan menyelamatkan hubungan dua hala menanti rentak yang kini bergolak dengan beberapa isu panas serantau melibatkan pencerobohan di Ambalat, Manohara, isu ganyang Malaysia. Pada masa sama, nasib golongan pekerja tempatan terus menerus tidak mendapat pembelaan sepatutnya dalam konteks penetapan gaji minima. Penguatkuasaan gaji minima harus berteraskan dasar yang melindungi hak pekerja dengan penguatkuasaan yang adil dan telus.

  1. Mengkaji pendapatan garis kemiskinan (PGK)

Persoalan kemiskinan sering dibincangkan terutamanya dalam gelombang kelumpuhan sistem yang mendokong ekonomi global mulai rapuh. Apakah kesannya kepada golongan miskin tegar dan miskin relatif yang bergantung kepada tangga gaji yang boleh dipersoalkan kesesuaiannya dalam taraf hidup yang tinggi dan harga pasaran khususnya harga petrol yang kian melambung. Berdasarkan kos sara hidup terkini, pendapatan bulanan di bawah RM 2000 di kawasan bandar boleh digolongkan sebagai miskin dan kategori mereka yang berpendapatan tersebut mencakupi 24% jumlah penduduk negara. Pemerintah juga silap dalam menakrif pendapatan garis kemiskinan apabila membuat generalisasi buta bagi kawasan bandar dan luar bandar serta Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Mengggunakan garis kemiskinan tunggal ini mengandaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah sama antara kawasan bandar dan luar bandar. Atas inisiatif untuk memewahkan rakyat disamping mengecapi kekayaan negeri, kerajaan Selangor telah menaikkan pendapatan garis kemiskinan daripada RM 731 kepada RM 1500 sebagai langkah usaha mengurangkan golongan miskin. Pengkajian semula pendapatn garis kemiskinan perlu disegerakan memandangkan keprluan sara hidup yang meningkat melibtakn sewa rumah, pengangkutan, tahap kesihatan global, tenaga dan pendidikan.

  1. Elak eksploitasi tenaga manusia

Dalam konteks pekerja asing umpamanya, pelaksanaan gaji minimum dapat mengelakkan eksploitasi majikan yang memberikan kadar upah yang amat rendah kepada pekerja asing seperti yang berlaku pada masa ini. Secara tidak langsung, gaji yang adil dan saksama juga menjamin seseorang pekerja itu dapat memenuhi tuntutan keperluan asasnya yang lain seperti hak terhadap tempat kediaman yang wajar, hak untuk berehat dan berekreasi serta hak kepada kemudahan kesihatan dan jaminan sekuriti sosial. Ini semua merupakan hak asasi setiap individu yang harus dijamin serta dilindungi oleh sesebuah negara. SUHAKAM atau kesatuan-kesatuan sekerja perlu sentiasa membuat pantauan terhadap nasib golongan pekerja terutamanya pada ketika ekonomi stabil gaji mereka ditekan hingga paras rendah dan apabila ekonomi gawat mereka dikorbankan demi keuntungan pemodal dan menyelamatkan nyawa syarikat. Golongan pekerja asing khususnya punyai hak berkehidupan manusiawi yang wajar dipenuhi. Abraham Maslow dalam teorinya mengatakan keperluan yang tinggi tidak dapat dipenuhi sekiranya keperluan yang di bawah diabaikan. Peringkat keprluan yang tinggi adalah self actualization, suatu peringkat kita mengiktiraf keberadaan diri insan iaitu pekerja bukan menilai mereka seperti orang suruhan.

Buat akhirnya, golongan pekerja adalah tulang belakang kepada pembangunan ekonomi sesebuah negara. Keazaman politik (political will) dan kebijaksanaan politik (political wisdom) harus dijalinkan bersama dalam membuahkan hasil yang menguntungkan semua pihak termasuk pekerja dan majikan. Giatkan perbincangan bersama tokoh ekonomi dan intelektual untuk resolusi penetapan gaji minima. Bersekutu dalam membuat perubahan bersma.

Wednesday, September 9, 2009

Sisipan untuk semua..


Dokumen ini pernah dikemukakan kepada Timbalan Naib Canselor (HEP) Universiti Malaya pada sesi pilihanraya kampus 2008 sebagai usaha untuk memurnikan kebobrokan sistem semasa penulis bertindak sebagai unit penyelidikan Pro Mahasiswa. Menyentuh tentang beberapa persoalan pokok dalam menjamin ketelusan sistem seperti partisipasi mahasiswa, pembuangan undi dan lain-lain. Untuk tujuan rujukan amat dialu-alukan. Sebarang perubahan atau cetakan semula adalah dilarang kecuali mendapat keizinan daripada penulis.





Dokumen Cadangan Penambahbaikan Sistem Perjalanan Pilihanraya Kampus



Pendahuluan


Bermula tahun 2003, politik kampus telah dicabuli dengan penetapan beberapa peraturan yang jelas bercanggah untuk mewujudkan sebuah pentadbiran yang baik (good governance) dan menggelapkan suara demokrasi yang adil. Diari hitam dalam sejarah politik kampus terus terkubur dan layu dengan beberapa kampus melibatkan campurtangan politik luar secara jelas dalam siri memenangkan kumpulan yang mendakwa memperjuangkan ’aspirasi’ sebenar mahasiswa dan menafikan suara kumpulan lain. Bertanding dalam padang yang tidak sama rata (unlevelled playing ground) dengan jelas memberi kelebihan kepada pihak tertentu dan menampakkan ketidakmatangan politik dalam memperkasakan demokrasi kampus. Kredibiliti mahasiswa telah diperkudakan dan pemilihan kepimpinan mahasiswa yang mewakili mereka tidak dapat dijalankan secara adil lagi telus. Standard sistem yang telus mesti dizahirkan di peringkat kampus sebagai platform menyediakan bakal kepimpinan yang tinggi budi dan tidak korupsi nilai. Menyedari keperluan kepada kehendak kampus sebagai lapangan ilmu yang mengamalkan profesionalisme, penambahbaikan dilihat sangat perlu diambilkira kerana ia menggambarkan wajah elektoral sebenar dan mencerminkan perubahan dinamika kehidupan mahasiswa. Sensitiviti ini bukan bersifat politikal tetapi menunjukkan tahap kesedaran politik yang progresif ke arah suasana baru sistem perjalanan pilihan raya dalam memugar kembali iklim politik kampus yang kian malap.


Aspek penambahbaikan


Dalam bahagian ini perbincangan difokuskan kepada elemen-elemen asas dalam sistem pilihan raya yang dicadangkan untuk penambahbaikan ke arah menjamin demokrasi kampus yang adil. Antara elemen-elemen yang dikenalpasti berhubung dengan perjalanan pilihanraya kampus:


1.0 Partisipasi dalam pilihanraya kampus

Kondisi penglibatan mahasiswa dalam politik kampus melalui medan pilihanraya masih dipandang sepi berikutan sikap konservatif mereka terhadap demokrasi. Malah, boleh dikatakan hanya 30% yang melibatkan diri secara aktif dan selebihnya bersifat non-partisan. Beranggapan bahawa mainan politik adalah budaya keji dan penuh dengan tipu helah menjadi minda mereka lebih tertumpu kepada kecemerlangan akademik yang kosong dengan nilai-nilai pembentukan kendiri. Merujuk kepada The Constitution of The University of Malaya, seksyen 48 (1) yang menyatakan bahawa semua pelajar mestilah menjadi anggota persatuan dengan makna kata lain mesti berpartisipasi secara aktif dalam membina nilai-nilai kemahasiswaaan melalui aktiviti berpersatuan. Pilihanraya kampus kini tidak lagi mendidik mahasiswa mengenal erti sebenar demokrasi apabila ia cuma bersifat ’political appointment’ bagi memenuhi taqwim tahunan universiti semata-mata.


Cadangan penambahbaikan


Justeru, pendidikan politik akan dicadangkan sebagai langkah permulaan untuk memugarkan kembali iklim politik kampus. Ia bertujuan menanam sifat pedulisme (prihatin) terhadap isu-isu berbangkit yang berkait dengan peringkat nasional dan antarabangsa. Kursus pendidikan ini mesti melibatkan semua mahasiswa dalam usaha pemerataan kefahaman dan kesedaran politik yang standard bertepatan dengan misi korprat universiti ”Producing Leaders”. Cadangan ini turut melihat prospek besar yang bakal digalas oleh mahasiswa sebagai pemerhati celik, pengamat teliti dan pemimpin berkarisma dalam mewarnai barisan kepimpinan negara akan datang.


2.0 Penstrukturan semula pusat pembuangan undi


Pusat pembuangan undi yang selama ini diletakkan di falkuti-fakulti dimana dekan-dekan fakulti bertindak selaku Pegawai Pengurus Pilihan raya (Returning Officer) telah dipindahkan ke kolej-kolej kediaman di bawah seliaan Pengetua-pengetua kolej yang berkebetulan turut menjadi Penasihat kepada pihak tertentu di peringkat kolej kediaman. Mood politik mahasiswa seolah-olah dikawal dan mereka mengundi atas dasar terpaksa dan penuh tekanan menyebabkan mereka tidak dapat membuat pilihan yang bebas. Satu undi kepada calon ’bukan aspirasi’, bermakna mereka berdepan dengan risiko disingkirkan dari kolej kediaman atau pun dikenakan tindakan tatatertib.


Cadangan Penambahbaikan


Tindakan memindahkan pengendaliaan pilihan raya ke kolej kediaman dan diletakkan di bawah seliaan Pengetua Kolej telah meruntuhkan idealisme mahasiswa. Pembuangan undi di Fakulti dilihat banyak memberi kemudahan dalam melicinkan perjalanan pilihan raya kampus kerana lebih menjimatkan masa untuk menjumlahkan undi calon fakulti. Fakulti juga hanya menyediakan peti undi pada kadar yang minimum berbanding taburan peti undi yang banyak bergantung kepada mahasiswa dari pelbagai fakulti apabila ia dikendalikan di peringkat kolej kediaman. Secara ringkasnya, kebebasan bersuara dan pilihan lebih terjamin sekiranya pilihan raya dijalankan di peringkat Fakulti berbanding Kolej Kediaman. Tindakan ini juga bertepatan dengan Artikel 48(2)(a) Jadual Pertama, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.


3.0 Pemantau bebas bagi perjalanan pilihanraya kampus


Suruhanjaya pilihan raya kampus yang di bawah pengendalian Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni bertanggungjawab menyelia dan mengurus perjalanan pilihnaraya supaya dapat dijalankan secara adil dan bebas. Tetapi, beberapa siri ugutan dan ancaman kepada kumpulan yang tidak sebulu dengan mereka memperlihatkan SPR kampus tidak berminat dalam memastikan para mahasiswa menunaikan hak mereka dalam membuat pilihan. Pemantauan perlu konsisten dalam memastikan tiada sebarang salahlaku dan pencabulan peraturan pilihanraya berlaku.


Cadangan Penambahbaikan


Memandangkan pemantauan berkesan amat penting dalam menjamin demokrasi kampus tidak tercalar, sebuah jawantankuasa mesti ditubuhkan khas bertujuan menyelia perjalanan kampus. Jawatankuasa ini mestilah bebas dan non-partisan. Seharusnya yang mengisi jawatankuasa ini adalah di kalangan ahli akademik atau staf universiti yang tiada hubungan langsung dengan kolej kediaman. Ini penting dalam mewujudkan keadaan semak dan imbang dalam pilihanraya kelak sebagai kesinambungan demokrasi tulen. SUHAKAM (Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia) boleh dikenalpasti sebagai entiti untuk dilibatkan secara aktif dalam pilihanraya kampus.


4.0 Pengemaskinian data pengundi secara berkala


Data pengundi akan memastikan hanya mahasiswa yang sedang mengikuti ijazah sarjana muda yang layak mengundi dalam pemilihan perwakilan MPM (Majlis Perwakilan Mahasiswa). Kebiasaannya data ini akan dipamerkan seminggu sebelum berlangsungnya pilihanraya kampus untuk memeriksa status pengundian masing-masing.


Cadangan Penambahbaikan


Pengemaskinian data pengundi secara berkala sememangnya perlu bagi mengelakkan sebarang ketidakadilan dalam proses pilihanraya melibatkan soal kebolehan mengundi. Ia dilakukan secara berkala dalam memastikan data yang dikeluarkan oleh pejabat HEP tidak terdapat keraguan dan integriti data dapat dijamin. Data pengundi ini dipamer secara berkala paling tidak dua kali dalam setahun sebelum pilihan raya kampus berlangsung. Wujudkan juga mekanisme bantahan sekiranya data pengundi meragukan. Selain daripada itu, sekiranya pengundian masih dilakukan di kolej kediaman maka dipohon kepada majlis pemilihan perwakilan mahasiswa untuk membenarkan kewujudan PACA bagi meastikan hanya mereka yang layak mengundi sahaja layak mengundi dan tidak timbul kes pengundian kali kedua. Ini bagi menjamin senarai pengundi yang dikemukakan benar-benar bersih dari sebarang bentuk penipuan.


Penutup

Raja Nazrin pernah bertitah dengan menyatakan bahawa produk pendidikan sekarang jangan sampai melahirkan robot, manusia yang hilang sifat-sifat insaniah, bersifat takbur dan berlagak sombong malah perlu diperkukuhkan dengan iman dan takwa supaya menjadi insan yang memiliki integriti diri yang tinggi lagi dihormati, bersifat jujur dan amanah. Justeru, pembentukan masyarakat harus bermula di alam kampus yang ditancap dengan benih komitmen tinggi semata-mata untuk menjadi generasi mengubah daya pemikiran ummah. Dan pilihan raya kampus yang benar-benar bebas dan adil adalah satu aktiviti kemahasiswaan yang paling bermakna bagi menggarap gagasan besar ini.

Sunday, September 6, 2009

Izinkan aku mengagumi Jepun...

Yukio Hatoyama


Diriku teruja bukan kerana kemajuan yang berjaya dicipta oleh sebuah negara bangsa ini sehingga kadangkala Barat terpaksa akur dengan negara matahari terbit. In satu hakikat yang tidak dapat dinafikan kebenarannya sehingga mantan PM, Tun Mahathir sendiri pada awal era kekuasaannya melihat Jepun sebagai model negara yang patut ditauladani baik dari sikap rakyatnya dan kepesatan ekonomi yang memuncak. Malah kaitan pertalian dalam batas geografi Asia menjadikan Jepun lebih berkelayakan berbanding negara-negara maju lain. Dan akhirnya dasar pandang ke Timur digagaskan.


Jepun yang pada ketika dahulu pada pertengahan awal 19 telah menamatkan dasar pemencilan negara (dasar tutup pintu) dan mula menerima pakai budaya dan teknologi Barat tetapi dengan tidak menghilangkan identiti kebudayaan bangsa mereka iaitu dalam konteks acuan mereka sendiri. Tetapi sains dan teknologi bukan sahaja datang sekadar fizikalnya semata-mata malah juga membawa sarat mafsadah kerosakan yang melata sifatnya sehingga budaya dan agama sesuatu bangsa terhakis.


Tetapi apa yang dikagumi adalah sikapnya yang sanggup berubah dalam pilihanraya baru-baru ini yang melihat kepada Parti Demokrat Jepun (DPJ) menguasai lebih 300 kerusi daripada 480 kerusi dewan rendah Parlimen yang dipertandingkan. Sekaligus menafikan pemerintah tradisi dalam politik Jepun Parti Liberal Demokrat (LDP) yang telah berkuasa sejak 1955. Mutakhir ini banyak negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Jepun sendiri telah bangkit membawa perubahan gergasi dalam sistem politik mereka. Kekalahan LDP telah membuka peluang kepada Ketua DPJ, Yukio Hatoyama untuk menggnatikan Aso sebagai perdana menteri. Manifesto yang dicanangkan amat bersifat optimis dan bersifat keperluan yang mendesak tatkala ekonomi dunia menunjukkan tanda-tanda buruk yang berpanjangan dengan kadar pengangguran yang semakin bertambah. Antara janji DPJ adalah untuk memberi 26,000 yen sebulan kepada setiap anak dalam keluarga untuk memudahkan kos menguruskan pendidikan anak-anak. Malah, cadangan untuk menghapuskan tol, tawaran pendidikan tinggi percuma dan pendapatan bantuan kepada petani serta elaun bulanan diberikan kepada pelatih dalam kursus pra pekerjaan.


Tampak apa yang digula-gulakan oleh parti yang bertanding semuanya manis dan masa untuk walk the talk telah bermula bagi meyakinkan rakyat yang menyokong mereka bagi membawa perubahan yang hakiki. Tetapi, rakyat Jepun telah menjadi kayu aras yang jelas bahawa mesej perubahan telah sampai dalam nadi benua Asia. Cuma beberapa indikasi yang mesti ditekankan oleh parti baru memerintah dan government in waiting:
• Rakyat walaupun kadangkala bijak memilih dan sudah well informed tentang kebobrokan parti lama. Ini tidak bermakna mereka tidak akan berpaling kepada yang lama setelah bosan melihat janji parti baru merintah tidak dibumikan. Pemerkasaan untuk menerangkan serta memahamkan asas perjuangan sesuatu kumpulan mesti ditingkat. Apa yang boleh dikatankan, citizen is well informed but not politically connected.
• Malah parti Islam seperti PAS boleh dikatakakn mesti relevan dalam arena politik tanah air apabila sentiasa menunjukkan semnagt kesetiaan dan kebertanggungjawaban dalam membina negara. Ia seharusnya tampil dari inspirasi cita-cita nasional.
• Penonjolan tokoh-tokoh lain yang berkaliber dan berkeyakinan dalam merubah kondisi parah masyarakat hasil tinggalan sisa-sisa parti terdahulu.
• Jangan jadi seperti kumpulan alternatif kepada alternatif. Istilah ini telah diungkapkan oleh YB Mujahid Rawa bahawa harapan dan aspirasi kumpulan alternatif yang menggantikan pemrintah terdahulu mesti dilaksanakan sebaik mungkin. Kalau tidak kemungkinan timbul kumpulan lain yang merelevankan kewujudan mereka untuk mengalternatifkan anda.!

Monday, July 27, 2009

Menyemarakkan intelektualisme anak muda.




PM Malaysia, Datuk Seri Najib dalam ucapan penutupnya di Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Islam telah mengingatkan semua peringkat mahasiswa untuk tidak terpengaruh dengan anasir-anasir fitnah dan cuba memahami nilai ilmu dalam kepimpinan mahasiswa.(Rujuk Berita Harian,27/7/09). Seolah-olah amaran keras yang bersulamkan kata-kata manis si penguasa kepada golongan yang diperintah supaya tidak menjadikan sejarah agung kebangkitan mahasiswa rujukan pendirian sikap. Takut dipergunakan oleh pihak tertentu atau perjuangan parti pemerintah sudah tidak relevan dengan zaman menjadi persoalan di benak pemikiran pemerintah. Tiananmen, 1989 (Rujuk) dan Trisakti, 1998 (Rujuk) dan Tehran, 1979 (Rujuk) menjadi bukti lambang kuasa mahasiswa dalam menentukan sikap mereka berhubung sesuatu isu pada ketika berlakunya memoir tersebut. Mahasiswa boleh berkata mereka non partisan tetapi kini seolah-olah mendongak tinggi tanda hormat dek kerana seorang insan itu bergelar YB dan terpaksa ikut membuta tuli tanpa research. Memang benar mahasiswa mesti berdiri atas kebenaran dan menolak kebatilan tetapi prinsip kebenaran itu mesti jujur dan ada asasnya.

Kampus kini sudah malap dan suram serta ketidakbolehfunsgsian (disfunction) untuk berperanan sebagai medan ilmu berpencak dan gudang berekperimentasi intelektual untuk diadunkan dengan pengalaman sebenar realiti bermasyarakat. Universiti Malaya telah menjadi saksi dimana aparat-aparat mahasiswa memobilasi massa untuk membuktikan suara mereka juga berhak menjadi hakim untuk rakyat tertindas. Peristiwa Baling pada 1974 cukup melegitmasikan kuasa mahasiswa sebagai kuasa kelima dalam menuntut perubahan. Memang benar apa yang dikatakan oleh Ust Taib bahawa hanya perubahan yang tetap berlaku dan pasti berlaku cuma mekanisme dan wasilahnya yang menentukan. Penulis cuba membawa video di bawa untuk diteliti betapa darah muda mahasiswa Indonesia bersumpahsetia.



Teringat kata Bunya Hamka ‘Anak laki-laki tidak boleh dihirau panjang, hidupnya adalah buat berjuang kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah, mana sisa boleh berpaling meski besar mana gelombang datang. Biar kemudi patah, biarkan layarnya robek itu lebih mulia daripada berbalik haluan pulang'. Penulis beranggapan kampus sebagai garis pemula untuk kelangsungan tanpa menafikan segelintirnya untuk bergerak dalam bentuk mikro untuk kesan makro. Hari ini biarpun tiada perkumpulan raksasa mahasiswa menyatakan sebarang keluhan dan pendirian walaupun ada suara-suara halus mereka yang bangkit tetapi keterpaksaan disengajakan oleh pelakon aktivis biarpun takuk kefahaman isu yang diperjuangkan tidak dimengertikan. Penguasa sebenarnya bukan risaukan mahasiswa berjaya mobilasi kelompok mereka tetapi apa yang dirisaukan tatkala kesedaran itu sampai kepada setiap lapisan masyarakat bermula daripada jutawan dan marhean.Ala kulli hal, teruskan niat tulus ini.



Apa yang cuba diketengahkan dalam tulisan kali ini adalah usaha konsisten dalam memugar kembali budaya intelek di kampus yang bukan terhad untuk tujuan formaliti belajar, makan dan tempat cari jodoh. Ruh intelek mesti dikembalikan sesegera mungkin dan istilah lesu untuk gerakan mahasiswa zaman kini mesti cuba dimaknakan dengan aktiviti rancak percambahan ilmu yang sihat sesuai dengan kapasiti kampus yang kaya sarjana ilmuan. Penulis khuatir gejala bebalisme seperti yang diutarakan oleh Syed Hussein Al Attas dalam Intelektual Masyarakat Membangun bakal mengambil tempat dalam kampus iaitu ketidakupayaan untuk menghubungkaitkan sesuatu dalam konteks waqie serta terpenjara dalam dunia sendiri dalam membuat tindakan. Antara cadangan untuk menyemarakkan intelektualiti anak muda:

· Persatuan mahasiswa di kampus perlu menggerakan kembali aktiviti pembudayaan ilmu dan perbincangan isu yang konstruktif. Dalam situasi ini, penulis melihat PMIUM perlu merancakkan aspek ini dengan jelas bahawa outcome program ini berpaksikan untuk menyelesaikan isu dan polisi yang bersifat kenegaraan dan antarabangsa. Wacana, seminar atau kolokium boleh dibuat tanpa halangan pihak tertentu dan ini baru dinamakan kebebasan akademik terjamin. Usrah mesti diberi nafas baru dengan perbincangan yang membina daripada terus menancapkan dogma perjuangan. Buku yang universal karya agung negarawan mesti dijadikan bacaan tambahan selain buku dakwah.

· Mengatasi kelemahan diri secara proaktif dengan melibatkan diri dengan perkumpulan perkongsian pintar yang dilatari oleh mereka yang berpengalaman aktif dalam masyarakat dan punyai disipilin pengetahuan yang diverse.

· Minda anak muda mesti digerakkan untuk terlibat dalam membuat dasar penting negara. Sehubungan itu, persiapan mesti dicukupkan dan kesediaan pemerintah untuk melihat anak muda terlibat aktif dalam mana-mana suruhanjaya mesti direalisasikan.

· Keusahawanan sosial anak muda iaitu penglibatan anak muda dalam aktiviti sosial yang dapat meningkat kualiti hidup. Penubuhan NGO atas aspirasi mereka wajar digalakkan. Nilai intelektual bukan bergantung kepada nilaian akademik sahaja tetapi kemampuan berfikir dan faham pokok perbahasan.

· Alternatif relevan suatu permasalahan dapat diketengahkan daripada kelompok mereka. Bukan sekadar membantah yang sifatnya dekstrutif tetapi konstruktif.

Memang benar zaman muda hanya sekali dan dengan sekali juga itulah punca jatuh bangun mereka. Nabi sendiri mempersiapkan anak muda untuk mereka faham perjuangan Baginda dan Saidina Umar juga mengimpikan beberapa pemuka seperti pemuda sahabat Nabi untuk menguasai dunia.