Wednesday, March 10, 2010

Mahinur Ozdemir ,Tudung, Sekularisme



Penampilan Mahinur Ozdemir, 27 apabila menjadi Ahli Parlimen termuda Belgium dan bertudung yang dikenali dengan kelantangannya mengutarakan hujah serta membahaskan isu pengharaman tudung di kebanyakan tempat awam seperti sekolah. Isu pengangguran serta perumahan, larangan rumah penyembelihan untuk tujuan ibadah korban dan sekatan bantuan kewangan untuk aktiviti kebajikan persatuan badan komuniti Muslim turut di jadikan agenda utama perdebatan yang mewakili 2851 undi yang majoritinya daripada masyarakat migran Arab dan Turki. Belgium adalah negara yang mempunyai populasi Muslim beranggaran lebih setengah juta yang kebanyakannya daripada Maghribi dan Turki.


Tertarik dengan pendirian tegas yang diungkapkan oleh Mahinur ketika ditemuramah, "Samada bertudung atau tidak itu tidak menjadi persoalan besar, pandangan saya terhadap masalah negara dan berusaha mencari solusi penyelesaian tetap sama. Bertudung hanya menutup rambut saya dan bukan idea saya dan ia tidak sama sekali menjadi penghalang kepada aktiviti politik". Tambah Mahinur lagi, bertudung adalah hak kebebasan saya sejak berumur 14 tahun dan kenapa persoalan besar tidak dibincangkan yang melibatkan maruah wanita dipergadai tanpa batas. Malah, setelah beliau bersumpah di Parlimen Belgium, tempoh 6 bulan dijanjikan beliau untuk menilai KPI kerja yang sepatutnya menjadi teras perbincangan daripada perbincangan remeh mengenai tudung beliau.

Tragedi tudung di Turki tidak kurang hebatnya bila Abdurrahman Yalcinkaya telah memfailkan tuntutan mahkamah menuntut supaya AKP dibubar atas dakwaan menjadi dalang kepada aktiviti anti sekularisme. AKP telah memenangi 47% undi dalam pilihanraya 2007 yang lalu. Tidak cukup dengan itu, pendakwa juga mendesak supaya larangan bergiat di dalam politik selama 5 tahun, dikenakan ke atas 71 orang jawatankuasa utama AKP meliputi Perdana Menteri Recep Tayyib Erdogan dan Presiden Abdullah Gul. Alasannya mudah, kerana alergi dengan tudung.

Semua idea yang menentang tudung sebagai pemakaian wanita kerana bimbang akan lunturnya sekularisme gagasan Attaturk. Asalnya sekularisme diangkat menjadi falsafah negara untuk memisahkan urusan agama mencampuri pemerintahan tetapi kini ia telah bertukar rupa menjadi agama paksaan terhadap semua individu yang bernaung di bawah perlembagaan Turki Moden sehingga sanggup mencampuri urusan individu dalam beragama.

Ya, tudung juga dijadikan subjek penentangan Barat dalam memusuhi Islam. Malah, persoalan tudung juga menjadi kayu ukur IMAN dan IMPIAN bagi masyarakat Muslim Barat khususnya tetapi di Malaysia tudung dilihat menjadi trend fesyen biasa sesetengah pihak terutama mak menteri kadang-kadang sekadar mencukupkan syarat meletakkan kain di kepala dengan mendedahkan bahagian tubuh yang lain. Malah mendabik dada dengan mengatakan mereka sudah cukup Islam dengan cara berpakaian ala sekular. Sekadar mengingatkan bertudung atau tidak, ia bukan persoalan personaliti dan pilihan diri tetapi adalah ukuran kepercayaan kepada Dia yang Maha Agung.

Beberapa perkongsian bersama berkenaan topik perbincangan :
  1. Di Barat, Islamophobia telah meresap dalam jiwa mereka yang benci kepada Islam. Mlah, penyakit ini telah bertukar menjadi theophobia, iaitu ketakutan luar biasa kepada Tuhan. Apa-apa yang berkaitan dengan Tuhan dan agama akan cuba dilenyapkan. Dunia Islam masih tidak melupakan detik hitam bilamana Marwa Sherbini dibunuh oleh pelampau German di makhamah dengan 18 tikaman setelah hakim memutuskan kes beliau menang dengan pesalah wajib membayar pampasan malu sebanyak 2,800 euro.
  2. Mahinur Ozdemir yang dilantik sebagai perwakilan di Parlimen Belgium telah berhasarat untuk membawa perubahan dalam negara beliau dibesarkan. Reformasi yang akan mengunci rapat mulut-mulut puak sekularis yang dengki akan kebangkitan relevensinya Islam dalam memimpin perubahan. Sekularis sebenrnya cuba memadamkan potensi kepimpinan Islam supaya masyrakat tidak 'terhutang budi' atas jasa dan khidmat terbaik yang ditunjukkan.
  3. Turki versi Ataturk telah menjadikan sekularisme sebagai 'agama' dan Attaturk sebagai 'Tuhan' . Versi asal sekularisme Amerika telah menjamin kebebasan individu beragama. Tetapi Model Sekularisme Turki telah menjamin hak negara untuk mendominasi agama dan menyekat sebarang usaha pengamalan agama dalam kehidupan. Sekularisme sempit fahaman Turki telah membuatkan rakyat mual dengan politik bebal pimpinan sekularis Pro-Kemalis yang telah menyebabkan negara menanggung inflasi tinggi dan situasi ekonomi yang teruk. 'Pejuang' sekularis gagal menafsirkan sekularisme dalam bentuk segar dan sikap malas mereka telah menyebabkan ideologi anutan tersebut tidak relevan dan tercengang-cengang. AKP yang tampil dengan reformasi urustadbir yang baik telah memikat hati rakyat untuk terus selesa dengan kepimpinan Recep Tayyib Erdogan seperti mana yang dinyatakan Mustafa Akyol bahawa kerajaan liberal demokrat yang bersifat moderat antara sekularis dan Islamis totalitarian yang menghormati kebebasan beragama menjadi pilihan rakyat.
  4. Penampilan Mahinur Ozdemir sebagai wakil wanita telah membuktikan kemampuan wanita dalam kepimpinan negara. Tidak timbul wanita tidak layak memimpin asalkan kemampuan dan kebolehupayaan kaum wanita. Isu yang timbul di Malaysia berhubung keluhan CUEPACS tentang pertambahan wanita dalam sektor awam telah hangat dibincangkan sehinggakan timbul suara-suara menafikan potensi yang ada. Dasar yang sedia ada yang bersifat perlindungan dan penaungan telah gagal kerana semata-mata untuk menjaga ekuiti kuota yang lebih menjurus ke arah bias gender dan kronisme. Bertandinglah atas padang rata berdasarkan kebolehan yang dimiliki.
  5. Fahami Form and substance dalam berjuang. AKP bukan mewajibkan tudung tetapi cuba membenarkan tudung dikenakan tanpa sekatan. Kerana ia, kebebasan individu dalam prinsip demokrasi tulen yang menjamin hak rakyatnya sepenuhnya. Nilai Islam mesti diterapkan dalam setiap denyut nadi sistem pemerintahan daripada membuat paksaan penerimaan Islam secara diktator. Penolakan mentah-mentah rakyat akan berlaku. Biarkan kita bekerja dalam ruang demokrasi yang ada untuk memahamkan mereka. DAP yang menjunjung tinggi prinsip demokrasi akan akur sekiranya masyrakat bersedia untuk menrima Islam sebagai perlembagaan di Malaysia. Sama-sama kita nantikan saat manis tersebut.



No comments:

Post a Comment