Monday, August 17, 2009

Memaknakan konvokesyen dan segulung ijazah.




Detik 12 Ogos 2009 menjadi saksi penulis dinobatkan sebagai graduan sah oleh pihak Universiti Malaya setelah 3 tahun mengenal dan menjerumuskan diri dalam dunia akademia di kampus untuk peringkat ijazah sarjana muda. Tahniah diucapkan kepada kawanan yang bergraduasi pada istiadat konvokesyen kali ini.



Banyak pengalaman yang ditempuh oleh penulis bersama kawanan yang lain dan sahabat satu fakulti, satu persatuan dan satu kolej serta rakan rumah sewa. Buat semua pensyarah dan tenaga pengajar yang telah mencurah bakti ucapan syabas diucapkan atas kerja buat mulia ini. Kesemua pengalaman ini melengkapkan lagi puzzle kehidupan yang masih banyak berbaki dan perjalanan menjejaki kepingan-kepingan puzzle lain akan terus diusahakan untuk memaknakan kehidupan yang penuh harapan. Sepanjang 3 tahun berstatus mahasiswa di kampus perdana, penulis cuba untuk memahami erti sebuah kehidupan meliputi faham agama sebenar, faham berinteraksi dan membina rangkaian yang luas sebagai prasyarat untuk jaringan sosial yang lebih luas dan kebolehfungsian persatuan dalam mencitra pemikiran dalam masyarakat. Lebih dari itu, epistemologi (kajian tentang asal ilmu) ilmu untuk mencelikkan minda berbekalkan gedung sarat ilmu 14 fakulti tersedia yang hanya sedikit sahaja dicerapi penulis dan nilai persahabatan utuh yang sentiasa diingati.



Laluan untuk bergelar seorang graduan sebenarnya mudah asalkan semua syarat-syarat dipenuhi dan kaedah keperluan yang digazetkan Universiti ditepati dengan sempurna. Jubah konvokesyen dan segala aksesori pakaian ketika menerima skrol mesti dipakai untuk menghormati nilai kelimuan dan etika profeionalisme yang kita junjung. Dan transkrip dan sijil ijazah diberi tanda rasmi berakhirnya pengajian kita. Tapi, ini bukan noktah yang segala-galanya. Segulung ijazah yang hanya asalnya kertas tidak akan bernilai jika tidak dimaknakan oleh graduan pasca konvokesyen. Sijil atau sebarang transkrip akademia kini telah dipandang masyrakat dalam konteks yang membimbangkan pabila melihat ia sebagai alat atau nilai ekonomi atau tempat duduknya martabat sosial seseorang. Memberi makna adalah dalam erti kata lain iaitu bertindak secara pro aktif sebagai anggota komuniti dalam memberi sumbangan tenaga berasaskan ilmu yang dipelajari. Semua punyai potensi tersendiri untuk beraksi dalam masyarakat tanpa menggadaikan maruah ilmu yang kita sanjung. Pengganguran sebenarnya tidak sepatutnya berlaku kerana graduan tidak boleh terlalu bergantung kepada tahap gaji yang setaraf dengan kelayakan mereka atau berkehendak kepada jawatan tinggi dalam kerajaan tetapi bekerja membina karier sendiri atau jadi usahawan NGO sosial.



Jika ditelusuri sejarah tamadun ilmu terdahulu, Aristotle, Plato antara yang menggunakan penilaian pedagogi pemikiran dalam menentukan tahap penguasaan ilmu dan sehingga dikatakan didakwa 'meracuni' pemikiran generasi muda kerana berfikir perkara yang 'radikal' dan bersifat kontradiksi dengan situasi ketika itu. Bukan menidakkan kepentingan prestasi akademik tetapi perlu diseiringkan dengan kemahiran untuk berfikir analitikal (inductive reasoning). Socrates sendiri pernah berkata' " Pendidikan adalah proses pencerahan manusia dan membuatkan mereka sedar tentang kehidupan serta membantu meluahkan pendapat". Tradisi pemikiran Socrates yang lebih menumpukan kepada pertanyaan sebagai sumber mencari kebenaran dengan guru berperanan sebagai koordinator untuk mencapi kata sepakat dan kesimpulan terhadap persoalan yang diajukan. melalui ini, mampu melatih pelajar berdikari dlam berfikir dan mencabar kebiasaan. Berkata tentang memaknakan konvokesyen pula, konvokesyen juga menjadi himpunan cendikiawan yang agung dan sepatutnya diraikan dengan segala aktiviti berunsurkan kelimuan. Terima kasih kepada tenaga penggerak FESKUM ’09 kerana membawa kelainan yang dinanti-nantikan.



Beberapa tindakn susulan dan cadangan bagi memaknakan nilai ijazah dan konvokesyen

  • Sambung pengajian dan berusaha jadi pemuka dalam bidang yang dikuasai serta memulangkan manfaat apa yang dipelajari kepada ummah.
  • Raikan konvokesyen dengan sambutan raksasa menjulang tradisi kecemerlangan dan kelimuan seperti perhebatkan wacana dan seminar.
  • Belajar mengenal ketertiban ilmu. Dalam epistemolgi Islam sendiri menekankan hierarki ilmu dan tidak pelik ilmuwan terdahulu dapat menguasai pelbagai lapangan ilmu hasil menuruti tertib hierarki ilmu. Jangan kerana terlalu ghairah dalam berilmu sehingga apa yang dipelajari tidak tahu hujung pangkalnya.
  • Pilih kerjaya yang sesuai dengan peranan khalifah. Anda yang menentukannya.


Akhirnya, doa penulis panjatkan buat peringatn diri dan sahabat:

”Ya Allah, ampunkanlah segala dosa ku dan dosa ibu bapaku yang telah berusaha membentuk diriku menjadi insan yang baik serta rahmatilah pensyarah yang telah mengajarku sepanjang pengajian di universiti ini. Halalkan ilmu yang telah dicurahkan dan ampunkan ketelanjuranku dalam pengajian baik dari kelambatan menghadiri kuliah, assingment yang tidak siap, culas dan ’mintak tolong sign kehadiran’ serta permudahkan perjalananku selepas ini dalam urusan duniawi dan akhirat. Amin...”

No comments:

Post a Comment