Friday, August 21, 2009

Fasa memalaikatkan diri dalam bulan Quran




Syed Waliyullah Al-Dahlawi dalam kitabnya Hujah al-Balighah ketika mengungkapkan bulan Ramadhan sebagai untuk memalaikatkan diri kita setelah mana segolongan manusia telah berjaya diibliskan atau terperangakap dalam belenggu kesyaitanan. Walaupun istilah ini jarang digunakan untuk menerangkan bulan Quran ini tetapi Syeikh cuba memaksudkan supaya unsur-unsur kemalaikatan itu disemai dan dicerapi sebaik mungkin semasa berada dalam madrasah agung anugerah Allah. Satu pakej untuk hidup dalam pola zuhud. Juga, peluang beribadah dibuka seluas-luasnya kerana pintu syurga terbuka dan syaitan dalam tahanan. Unsur-unsur yang dimaksudkan adalah tidak makan minum dan patuh setia menjalankan ibadah malah jauh daripada melakukan apa-apa yang terlarang. Ini jelas diterangkan Allah dalam firmanNya untuk menjelaskan sifat-sifat malaikat dalam surah Al-Tahrim ayat 6:



Sesetengah kelompok manusia beranggapan bulan ini sebagai pesta untuk ibadah kerana segala pahala dilipatgandakanNya dan ada berpendapat bagi golongan peniagan bazaar Ramadhan bahawa bulan ini adalah bulan mencurahnya rezeki dan keuntungan dek kerana ramainya umat manusia membanjiri pondok gerai mereka. Ada juga yang ambil kesempatan untuk bercuti atau kurang bekerja kerana tiada tenaga mencukupi kerana kebiasaannya sarapan pagi dijamu sebelum berangkat bekerja seharian. Walaubagaimanapun tanggapan yang datang di benak masing-masing, yang pasti bulan ini telah dijanjikan sebagai hadiah akhirnya adalah taqwa sepertimana dalam surah Al-Baqarah ayat 183:



Sebagai peringatan, puasa kita bukan sekadar ritual agama yang kosong penghayatan yang hanya untuk menahan lapar dahaga tetapi lebih daripada itu. Sebab itu, tokoh ulama terkemuka tanah air Tuan Guru Nik Abdul Aziz berpendapat bahawa bukan bulan puasa yang sepatutnya diberi nama kerana nanti masyarakat umum hanya menyempitkan erti kata puasa hanya menahan lapar dahaga sahaja tetapi dengan mengekalkan identiti asal iaitu bulan ramadhan. Ini kerana bulan ramadhan padanya puasa di siang hari, bertarawih di malam hari dan peluang bertemu malam yang lebih baik daripada 83 tahun 4 bulan (lailatul qadr). Dalam catatan sejarah juga bulan ini telah menyaksikan kemenangan tentera Islam dalam Badr, pembukaan Fath Makkah, pembebasan Kota Baitul Maqdis daripada cengkaman tentera Salibiyah 700 tahun dan pembukaan kota Sepanyol, Andalusia pada peta umat Eropah. Namun, apa yang perlu disingkapi adalah umat Islam bukan hanya cemerlang dalam Ramadhan sahaja dan kurang produktivitinya dalam bulan-bulan yang lain tetapi rahsia mereka terkandung dalam istiqamah dalam beramal punca kemenangan atas kebathilan. Musim ramadhan menuntut kita muncul sebagai muslim yang punyai pendirian dalam beramal dan jangan sampai kita dimusimkan juga dek kerana Ramadhan yang hanya kunjung tiba setahun sekali.



Rebut peluang yang ada selagi hayat dikandung badan kerana bonus pahala yang dijanjikan dalam pesta durian runtuh yang pada 10 awalnya rahmat, di pertengahannya keampunan dan pengakhirannya pelepasan daripada api neraka yang merupakan kemerdekaan hakiki. Semuanya akan dapat dicapai sekiranya ibadah dilakukan dalam penuh pengharapan dan keimanan. Yang penting, puasa juga dapat membentuk sifat kepedulian social yang tinggi terhadap mereka yang kuarang bernasib baik. Tetapi yang silapnya budaya masyrakat kita yang hanya merai anak yatim atau hafiz al quran sebulan sahaja dan membiarkan mereka di baki bulan lain yang sepatutnya mereka amat memerlukan anda..

No comments:

Post a Comment