Tuesday, July 28, 2009

Konsensus Honduras dan Perak dalam Politik



“Sejarah tidak akan berulang tetapi perangai dan perilaku manusia di setiap zaman yang berulang”

Menarik untuk diulas tentang ungkapan Buya Hamka ini dan penulis rasa terpanggil untuk berkongsi pandangan berkenaan tentang dua siri episod kudeta yang terpisah dari segi geografi tetapi terangkum dalam satu demografi politik. Mudah-mudahan penguasa di Malaysia dapat memahami bagaimana Honduras, sebuah negara pengeksport nanas cuba menyelesaikan konflik ketidaktentuan negara mereka dengan jalan demokrasi.



Hari ini kudeta di Perak masih lagi menemui jalan buntu yang menyaksikan perlawanan YB Ir Hj Nizar Jamaluddin dan YB Dr Zambry Abd Kadir untuk bergelar status MB yang mempunyai legatimasi sah dalam struktur kepimpinan negeri. Tragedi ini mencalitkan satu lagi kekotoran hitam dalam politik tanah air malah menempangkan beberapa institusi penting dalam negara. Mana tidaknya, kuasa eksekutif telah bercampur aduk dengan kuasa legislatif sehingga usul untuk melantik Speaker baru menggantikan Speaker YB V. Sivakumar telah di’lulus’kan tanpa persetujuan beliau sendiri. Akhirnya, usul pun lulus dan operasi usung pun dilakukan dengan campur tangan ‘mereka yang tidak dikenali’ serta kelibat polis yang tidak diundang kehadirannya. Walaupun, kes ini sudah nampaknya reda di mata khalayak tapi arus untuk memacakkan batu nisan kepada si penderhaka demokrasi mesti dilaksanakan.

Honduras pula lain pula sepak terajangnya pabila Zelaya, Presiden yang diiktiraf perlembagaan telah digulingkan oleh Michelitti dan sekutunya menggunakan kuasa militari. Biarpun beberapa cubaan untuk kembali ke tampuk kuasa beliau gagal dengan sekatan yang dibuat oleh kerajaan boneka sementara namun tekad untuk melaksanakan misi kepimpinan mandat rakyat mesti diteruskan. Penulis tersentak tatkala berita yang merekodkan biarpun Zelaya terpaksa berhadapan dengan cubaan dibunuh tetapi beliau mesti menuntut hak ke atasnya seperti yang terjamin dalam perlembagaan. Nekad seorang pimpinan berjiwa rakyat. Rundingan melalui orang tengan pemimpin Costa Rica juga tiada penyelesaian konkrit dan bantuan AS juga seperti jauh panggang dari api. Terbaru apabila Zelaya telah cuba untuk memobilasi golongan marhaen Honduras untuk bersama beliau memastikan keadilan demokrasi dapat disuburkan kembali.(Rujuk http://hondurascrisis.org/)





Penulis yakin walaupun jalan perlembagaan tiada berfungsi lagi tetapi penguasa akan memahami bahasa jalanan akhirnya. Di sini terdapat relasi yang signifikan untuk diperhati bersama supaya perjalanan sebuah negara dapat diperkasakan:

• Pemahaman asas perubahan. Giatkan penerangan dan penerusan tentang dasar kepimpinan teladan yang mesti berteraskan nilai mulia dalam Islam.
Hikayat Aceh mengisahkan bagaimana Raja-Raja dan kadi-kadi juga segala hulubalang bermesyuarat lalu mencapai kata sepakat menurunkan Sultan Seri Alam dari takhta Kerajaan kerana sifat boros Baginda; demikian juga tindakan yang dilakukan kepada Sultan Zainal Abidin apabila Baginda bersifat zalim. Di Melaka, Sultan mengambil keputusan pahit menitahkan putera kesayangan Baginda dikeluarkan dari negeri Melaka apabila Bendahara Paduka Raja berdatang sembah tidak akan bertuankan Raja Muhammad kerana Raja Muhammad telah membunuh anak Bendahara.

• Keberadaan pemimpin bukan kekal kerana kuasa tetapi kerana pengaruh dan influensi mereka dalam membuat tindakan yang arif menghadapi konflik. Contoh jelas, biarpun Presiden Zelaya dan YB Nizar tiada lagi berkuasa secara sah atas kertas tetapi mereka punyai pengaruh yang mendalam untuk menggerakkan kuasa rakyat. Nabi Yusuf a.s. walaupun belum bergelar pimpinan dalam kerajaan Mesir ketika itu tetapi sudah dipandang tinggi kerana pengaruh dan nilai ilmu tafsiran mimpi Baginda.

• Bahasa demontrasi adalah bahasa diam rakyat tertindas yang punyai kuasa maksimum meruntuhkan takhta hegemonik. Magna Carta,(1215) adalah manifestasi pembebasan kuasa monarki yang mencengkam rakyat feudel dan dokumen yang menghadkan kuasa pemerintah iaitu Raja England pada ketika itu selepas pemberontakan daripada bangsawan untuk mengekang kuasa raja.

• Kuasa luar sememangnya ingin campur tangan dalam memperokperandakan kestabilan pentadbiran yang didokoong oleh nilai demokrasi sejati. NED iaitu dana khas untuk mengkudetakan kerajaan yang ditaja sepenuhnya oleh AS telah berjaya secara empirikalnya terhadap konspirasi kudeta Venezeula selama 48 jam dan akhirnya berjaya diselamatkan. Jadi berwaspadalah dengan ancaman musuh luar yang sentiasa ada propaganda mereka.

• Ramai yang berpendapat bahawa jangan melawan pemerintah tapi lupa bahawa kerajaan ini juga didokong dengan adanya rakyat. Jadi, pembelaan hak-hak rakyat mesti diutamakan dalam menjamin situasi win-win situation.

Akhirnya, buat para pemimpin teliti kata
Sultan ‘Alauddin ketika dalam kegeringan sebelum mangkat, bertitah memperingatkan anakanda Baginda

Hai anak ku,ketahuilah oleh mu bahawa dunia ini tiada akan kekal adanya. Hai anak ku, yang hidup ini sedia akan mati jua sudahnya, melainkan iman seperti itulah yang kekal selamanya. Adapun peninggalan ku ini hendaklah anak ku berbuat ibadat sangat-sangat, jangan anak ku mengambil hak segala manusia dengan tiada sebenarnya, kerana segala hamba Allah semuanya terserah kepada mu. Jikalau kesukaran baginya hendaklah segera engkau tolong, jikalau teraniaya ia hendaklah segera kau periksa baik-baik, supaya di akhirat jangan diberatkan Allah atasnya leher mu....

Petikan Sulalat al-Salatin




No comments:

Post a Comment