Saturday, January 22, 2011

IPMM:Optimumkan Makmal Institut Halal Malaysia



Ucapan tahniah dan syabas kepada Kerajaan khususnya Datuk Seri Jamil Khir Baharom juga kesungguhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam usaha menubuhkan Makmal Institut Halal Malaysia yang pertama sebagai langkah proaktif untuk memartabatkan industri halal di peringkat global.

Sememangnya usaha murni ini amat disokong oleh Institut Pemikir Muda Malaysia (IPMM) ke arah mempromosikan produk halal melalui kajian analitikal diharap dapat membantu pengeluar dan pengusaha industri produk makanan agar lebih berhati-hati terhadap sebarang penggunaan bahan makan yang diragui status halalnya. Bangunan yang bernilai RM 23.7 juta ini bakal dibina di Bandar Enstek , Nilai dijangkakan dapat meningkatkan kredibiliti dan keupayaan perkhidmatan pensijilan halal selaras untuk menjadikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai rujukan utama dalam pensijilan dunia yang diperakui oleh 23 negara lain.

Namun, disebalik cadangan penubuhan institut penyelidikan ini timbul beberapa persoalan yang seharusnya ditangani dengan bijak dan ia semestinya memerlukan komitmen baik daripada kerajaan dan rakyat. Sehingga kini, ketiadaan akta khusus berkenaan penguatkuasaan dan pendakwaan kepada penyalahgunaan dan pensijilan logo halal. Malah amat merumitkan lagi, apabila sijil Islamic Food Reseach Centre Malaysia & Asia Region (IFRC Asia), yang dimiliki Bahtera Lagenda Sdn Bhd turut sama mengeluarkan pensijilan halal kepada pengusaha makanan. Bukan untuk menafikan kredibiliti yang ada padanya, tetapi seharusnya pemusatan kuasa untuk mengeluarkan pensijilan halal hendaklah melalui satu badan yang diiktiraf oleh pihak kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan umat Islam. Isu ini kelihatan amat mudah dan mengundang pertikaian daripada pelbagai pihak.,

Dari sudut penguatkuasaan, sudah tiba masanya Dewan Rakyat melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan JAKIM untuk merangka akta Halal bagi mengekang sebarang usaha penyelewengan logo dan sijil halal. Insititusi seperti JAKIM semestinya harus menjalinkan kerjasama kerja yang lebih efektif dengan agensi kerajaan dengan menyediakan sijil Good Manufacturing Practices (GMP) atau Amalan Pengilangan Baik (APB) berasaskan syariah. Kami sebagai golongan anak muda menyokong penuh usaha seperti ini.

Kesedaran masyarakat berkenaan mengenalpasti status produk halal juga harus dipertingkatkan dengan sebaran maklumat yang lebih mudah diakses dan mesra pengguna melalui rangkain media bersepadu. Malah tidak keberatan juga untuk memperkenalkan subjek teras seperti Pendidikan Halal di peringkat sekolah mahupun pengajian tinggi kerana aspek pengamalan halal ini sudah diterima umum tanpa mengira agama.. Justeru, Malaysia dapat mengoptimumkan segala kemudahan fasiliti makmal dan hasil kajian kumpulan penyelidik dengan menyediakan insentif bagi membolehkan kajian mereka seperti alat pengesan DNA babi oleh Institut Penyelidkan Produk Halal, UPM dimanfaatkn oleh pengguna muslim terbanyak. Pasaraya di negara juga mesti mengambil inisiatif bertindak memperbanyakkan mesin ini bagi tujuan memastikan status halal produk bebas daripada sebarang bahan meragukan disamping kesahihan logo halal dapat dijamin.

Kesimpulannya, isu halal ini adalah isu bersama dan umat Islam di Malaysia mesti menjadi contoh kepada pengamalan halal di semua pringkat. Bermula daripada sumber, siapa yang terlibat, metod penyediaan dan akhirnya hasil produk semestinya menepati piawaian syariah yang diluluskan oleh sebuah badan berautoriti yang dijamin oleh kerajaan.