Monday, May 31, 2010

Gaza:Apa peranan kita?


Tindakan biadap rejim Zionis Israel Laknatullah telah merampas dan menyerang kapal 'Mavi Marmara' serta mengakibatkan kematian dan syahidnya 16 orang aktivis dan cederanya lebih 32 orang atas misi untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan bagi penduduk GAZA terus mendapat perhatian dunia. Perbuatan terkutuk ini telah mendapat Sebagaimana yang dimaklumi 7 buah kapal yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza sedang belayar menuju ke perairan Gaza melalui Laut Mediterranean. Konvoi ini diketuai oleh sebuah NGO daripada Turki iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH). Israel Laknatullah tidak teragak-agak dan bertindak kejam untuk menggagalkan segala bentuk usaha 'talian hayat' kepada penduduk bumi Palestin yang terkurung dalam penjara di bumi sendiri.

Konvoi kapal Freedom Flotilla dalam perjalanan membawa lebih 10,000 tan bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Seramai lebih 540 orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk ahli parlimen, ahli akademik, petugas media, ulamak, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada 80 tahun. Jelas menunjukkan mereka yang datang hanya untuk misi keamanan bukan meniup api keganasan dan aksi terrorisme.

Tatkala Resolusi 1860 (2009) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang disepakati bersama sehingga seluruh dunia menyatakan pendirian bulat untuk membantu dan memberi akses sepenuhnya bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, dunia Arab diam seribu bahasa tanpa sebarang suara responsif terhadap isu yang timbul. Malah lebih malang lagi apabila kerajaan Mesir sendiri telah menyekat pintu masuk ke Gaza melalui jalan Rafah. Tiada sebarang usaha dan tindakan bersepadu daripada platform OIC sendiri dalam bertindak tegas dalam merungkai kemelut kehidupan rakyat Gaza yang berkapasiti 1.4 juta padat sarat dalam wilayah kecil Gaza.

Sekarang Israel sudah lali dengan setiap kali kutukan yang diterima tatkala mereka mengetatkan lagi serangan terhadap wilayah Gaza semata-mata melumpuhkan kerajaan pimpinan Hamas. Malah serangan ke atas kapal konvoi Lifeline 4 Gaza ini merupakan misi nekad dan walk the talk yang mesti dizahirkan oleh jutaan lagi penduduk Bumi untuk menghalau kependudukan haram tanah Israel. Ada beberapa usaha yang mesti digerakkan untuk menunjukkan konsistensi kita dalam berhadapan dengan isu yang membabitkan sensitiviti kita terhadp kiblat pertama umat Islam:

  • Nyatakan pendirian anda melalui tindakan bantahan samada menyertai himpunan untuk menyerahkan memorandum di setiap pejabat konsul Israel dan kedutaan Amerika. Menulis surat kepada Perdana Menteri Malaysia selaku Penaung kepada Tabung Bantuan Kemanusiaan Palestin berhubung dengan tindakan lanun menyerang kapal konvoi supaya memanggil sidang trgempar OIC dan mengheret Israel ke muka pengadilan. Terbaru dilaporkan bahwa rakyat Turki telah keluar beramai-ramai di hadapan bangunan konsul Israel dan bertindak mengepung dan cuba menghalau wakil konsul Israel di Taskin Square, Istanbul.
  • Anak muda mesti bangkit dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk survival mereka untuk mempertahankan tanah air dan hak mereka. Ini soal kemanusiaan yang harus kita dokong bersama. Penulis ingin membawa pembaca meneliti usaha seorang aktivis kemanusiaan daripada Amerika, Rachel Corrie, 23 tahun. pada 6 tahun lepas. Anak muda yang nekad meninggalkan Amerika dalam misi untuk membantu Gaza dan akhirnya mati dibunuh ketika beliau nekad menghalang bulldozer rejim Zionis daripada meroboh rumah-rumah Palestin. Malah, satu yayasan telah ditubuhkan iaitu Rachel Corrie Foundation for Peace & Justice (rujuk). Rachel Corrie hadir di tengah medan konflik panjang Israel-Palestin untuk membela mereka yang tertindas. Bukan saja dia, bahkan ramai lagi warga Amerika, malah Yahudi yang berkongsi sikap yang serupa. Corrie tidak pernah kenal patriotisme yang buta. NGO anak muda dan seluruh pertubuhan non partisan mesti menjiwai semangat anak muda ini.
  • Menggesa supaya Parlimen membuat sidang khas berhubung dengan isu serangan tentera rejim Zionis supaya resolusi dapat dikeluarkan. Bukan masanya hanya sekadar mengutuk serangan dan mengeluarkan pernytaan yang tipikal dan bosan setiap kali peluru membunuh nyawa rakyat yang tidak berdosa di bumi Palestin. Teringat kata Wendra, Perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata. Justeru, zahirkan kata anda dengan walk the talk..!
  • Teruskan derma dan bantuan kemanusiaan anda dengan menyokong sebarang usaha yang dibuat oleh Viva Palestin. Sekiranya berkemampuan, sertai konvoi yang dianjurkan! Penyertaan rakyat dan pelajarMalaysia dalam konvoi Viva Plaestin pada Disember 2009 lpas perlu dicontohi walaupun telah digagalkan daripada memasuki Gaza atas maksud kemanusiaan.
Akhirnya, sama-sama kita mendoakan konvoi ini dapat menruskan misi mulia untuk membntu penduduk Gaza. Penulis terkesan dengan kata-kata ketua konvoi yang menyatakan bahwa misi ini akan diteruskan walaupun kami terpksa berenang untuk sampai ke Gaza. Malah pernah terfikir juga nilaian hadis Rasulullah s.a.w terhadap diri kita selaku bergelar muslim,"Tidaklah sempurna iman kamu sehingga kamu telah mencintai mereka yang lain sebagaimana kamu mencintai diri kamu sendiri”. Mana nilai iman kita berbnading rkan-rkan kita yang bukan non muslim yang lebih bersemngat dan bersungguh-sungguh dalam menegaskan pendirian mereka.

p/s:Kehadiran dan kematian Corrie untuk penulis membawa beberapa mesej penting bahawa sempadan geografi, agama, bangsa, usia dan gender jangan sampai berupaya memisahkan kita daripada tanggungjawab kemanusiaan. Presiden Venuezuela juga, Hugo Chavez yang berfahaman sosialis pun turut serta menyatakan sokongn terhadap misi perjuangan bantuan kemanusiaan ini. Anda bila lagi??

Sunday, May 9, 2010

Selamat Hari Ibu 2010





2 buah lagu ditujukan khas buat semua ibu.

Selamat Hari Ibu diucapkan kepada semua insan yang bergelar ibu dan bonda yang tersayang. Jasa kalian dalam mendidik generasi masa depan amat dihargai. Tiada kata yang dapat diungkapkan dan tiada galang gantinya jasa yang dicurahkan oleh kalian. Kami dan anakanda ini bersyukur atas kurniaan Ilahi atas hadirnya mu, Bonda...Teruskan bakti anda kepada mereka yang telah membesarkan anda dan diri penulis..

p/s: Penulis akan terus berdoa :1)" Ya ALLAH, ampunilah aku, ibu bapaku dan kasihilah mereka keduanya sepertimana mereka mengasihi ku sewaktu masih kecil" dan 2) Ya ALLAH, ilhamkanlah aku supaya aku terus bersyukur atas nikmatmu yang dikurniakan kepadaku dan kepada kedua ibubapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engaku redhai, dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu dan sesungguhnya aku daripada orang-orang yang tunduk patuh akan perintahMu. Amin...

Saturday, May 8, 2010

Belajar daripada 'Baju merah'




Krisis kecelaruan politik Thailand yang berlarutan lebih daripada sebulan lepas telah mengakibatkan negara jiran kita lumpuh kegiatan ekonominya berikutan gelombang 'Red Shirt'. Mereka dikenali sebagai Pergerakan Baju Merah dikenali secara rasmi sebagai Barisan Bersatu Untuk Demokrasi Menentang Diktator (UDD) dan kebanyakannya dianggotai penyokong kuat perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra yang menentang rampasan kuasa tentera pada tahun 2006. Dalam rampasan kuasa itu, kerajaan pimpinan parti Thaksin dibatalkan kemenangannya kerana dituduh melakukan kegiatan rasuah dalam kempen pilihan raya dan digantikan dengan parti pimpinan perdana menteri sekarang, Abhisit Vijajiva atas perintah mahkamah.

Namun penulis beranggapan bahawa episod tunjuk perasaan yang berlaku di Thailand tidak akan surut padam sekirany kerajaan pimpinan Abhisit menunaikan permintaan pihak antikerajaan itu. Soalnya, adakah pilihan raya baru boleh menamatkan semua krisis? Apakah kumpulan ‘Baju Merah’ boleh menerima hakikat jika parti mereka diisytihar kalah dalam pilihan raya baru itu? Apakah mereka boleh menerima dengan lapang dada hakikat kemenangan parti-parti lain yang bertanding termasuk parti campuran Abhisit dan tidak berdemonstrasi lagi? Apa tujuan sebenar di sebalik siri-siri aksi demontsran Baju Merah yang dilihat sebagai anarkis yang mahu menggulingkan Abhisit?Adakah di pihaknya terdapat galang ganti yang lebih baik dalam mengembalikan situasi tenang politik Thailand?

Demokrasi sememangnya membenarkan rakyat untuk berekspresi dan berhak untuk bersuara dalam landasan undang-undang dan selagi mana tidak mengugat keselamatan awam dan menjunjung tinggi nilai kepelembagaan negara. Tetapi, ia tidak bermakna dijadikan tiket untuk bertindak sesuka hati atas nama kebebasan. Sesetengah pihak cuba memanipulasikan istilah kebebasan ini dengan cuba mencabar sepakat perlembagaan yang dipersetujui bersama dalam membina negara bangsa. Bersuara pun telah ditentukan limitasinya dalm Al-Quran supaya tidak boleh mencerca Tuhan kaum agama lain dan tidak berhujah sehingga melewati batas sempadan aqidah.

Namun, apa yang penulis dapat perihati dengan daya analisis cetek ini dalam krisis negara tetangga, Thailand:

  • Mobilasi massa yang begitu mengujakan penulis sehingga kumpulan kawanan ini sanggup 'berkampung' malah berpesta setelah penat berdemonstrasi melawan fraksi pemerintah . Keupayaan massa dalam menggerakkan kesedaran untuk menunjukkan aksi mereka bertujuan untuk memenuhi kpentingan politik tertentu. Namun, mobilasi tulen lahir daripada literasi politik yang tinggi yang melangkaui dorongan manipulatif yang ditaja oleh pihak berkepntingan dalam menggerakkan idea politik peribadi. Mantan Presiden Thailand, Thaksin Shinawatra dikatakan telah membiayai kumpulan Baju Merah disifatkan penulis politikus yang pentingkan diri sendiri. Dorongan kuat dan gergasi sfiatnya yang sebetulnya dinamakan people power atau kuasa rakyat iaitu apabila yang melakukan demontasri dan penunjuk persaaan kerana inginkan perubahan sejati. Jangan sampai aksi demontrasi yang mulia yang lahir daripada cita-cita rakyat yang sayangkan perubahan dinodai oleh tangan-tangan berkepentingan.
  • Pentingnya pungutan suara dalam menjayakan misi dan hasrat pemerintah. Hilangnya ruang awam dan saluran untuk menyalurkan pendapat rakyat bawahan dan hanya mengutamakan mereka yang sealiran dan 'satu kem' mengakibatkan berlaku ketidakpuasan yang boleh disalurkan melalui suara undi atau aksi demonstrasi yang melampau batas demokrasi. Perlu adanya saluran komunikasi yang dibuka secara lebih luas oleh pemerintah, antara lain dengan membuka wadah partisipasi masyarakat untuk merespons isu berbangkit di samping memperkukuhkan daya literasi dan partipatif rakyat bawahan. Jangan sampai rakyat muak dengan dasar pemerintah autokratik dan bngkit menentang.
  • Dalam menyatakan ketidakpuasan hati berhubung sesuatu isu, pastikan anda bersedia dengan hujahan balas yang konkrit. Mengikut kaedah Imam Ghazali yang tidak menyetujui idea falsafah pada zaman nya, beliau sendiri mengkritik dengan menukilkan kitab Tahafut Al-Falasifah dalam 'serangan' hujah balas kepada golongan filosof. Malah, idea Imam Ghazali juga mendapat tentangan ilmiah daripada Ibnu Rusyd yang diabadikan dalm kitab Tahafut at-Tahafut al-Falasifah. Budaya mengkritik secara sihat mesti dijadikan amalan dalam negara kita bukannya hanya beremosi dan melakukan demonstrasi yang kosong nilai perjuangannya.
  • Dalam politik ada moral dan akhlaknya seperti yang diperlihatkan oleh Baginda Junjungan Besar, Nabi Muhammad s.a.w. Jangan sampai merosakkan harta awam dan berlaku penyalhgunaan kuasa malah hidup dalam najis rasuah sehingga mengakibatkan harta negara berlegar dalam kelompok tertentu. Politik dalam Islam merupakan salah satu cara untuk beribadah kepada Allah, sehingga dalam pandangan ini politik memiliki nilai-nilai kerohanian. Dalam kitab, Al Iqtishod fi Al I’tiqod Imam Ghazali menyebut bahawa “Dikatakan bahwa agama dan kekuasaan adalah dua saudara kembar. Dikatakan pula bahwa agama adalah asas dan kekuasaan adalah penjaganya. Segala sesuatu yang tidak berasaskan prinsip dan nilai ini, pastikan akan binasa dan segala sesuatu yang tidak berpenjaga pasti akan hilang lenyap”.Jangan berpolitik seperti Machiavelli yang berpendapat bahawa kekejaman, keganasan serta kekerasan adalah institusi sah dalam mempertahankan kekuasaan. Nauzibillah min zalik..!
p/s: Lihat semangat Baju Merah dalam video ini. Ambil yang baik dan buruk tak payah nak bawak amal..

Friday, May 7, 2010

Aminul Rasyid dan Reformasi PDRM




Baru-baru ini Malaysia digemparkan dengan tragedi yang meragut nyawa remaja berusia 15 tahun, adik Aminulrasyid Amzah. Sugul dan sedih melihat peristiwa hitam seumpama ini berulang yang membabitkan kematian insan di tangan anggota pihak polis sepertimana yang pernah terjadi kepada Norizan Salleh , 30 dan Tawfiq Noorzan, 22. Nampaknya perilaku polis sekarang seakan-akan telah melebihi bidang tugas asasi iaitu daripada menjaga keselamatan orang awam kepada menimbulkan fenomena takut kepada masyarakat awam. Orang awam sepatutnya mendapat manfaat daripada PDRM supaya ruang lingkup pesekitaran mereka terjamin tetapi hakikatnya PDRM telah rela diperlakukan umpama kuda tunggangan 'sesetengah pihak' berkepentingan guna untuk mewujudkan suasana bersifat totalitarian.
Imej dan persepsi terhadap polis banyak sudah tercalar mutakhir ini dek kerana tindak tanduk sesetengah anggota polisnya dan repons KPN sendiri berhubung dengan isu Aminul Rasyid baru-baru ini. Seolah-olah beliau defensif dan tidak mengutamakan perasaaan keluarga arwah adik Aminul Rasyid dalam mengemukakan jawapan balas kepada wartawan. Bukan semua anggota polis yang bersikap sedemikian malah ada yang jujur dalm melaksanakan tugas mereka untuk mengurangkan kadar jenayah dan membanteras aktiviti subversif nasional. Penulis menghargai sebilangan anggota polis yang tekun dan amanah menjalankan tugas. Tetapi kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Penulis bukan menentang PDRM malah sangat memahami kepentingan serta keperluan PDRM bagi menjaga keselamatan negara dan rakyat. Dan yang penulis lawan adalah penyalahgunaan kuasa atau tindakan yang tidak menepati undang - undang dan peraturan . Jika benar ia tetap benar namun jika salah maka perlu diambil tindakan.
Ramai yang bagi respons berkenaan dengan isu Aminul Rasyid dan jelas menunjukkan semua masyarakat perihatin tentang integriti nyawa yang telah dikorbankan atas sebab 'kenakalan'nya yang dihukumkan dengan pengakhiran yang penuh tragis. Ibu arwah pun menegaskan bahawa anaknya bukan pengganas dan beliau amat mengetahui arwah itu siapa berbanding orang lain.
Ada persoalan asas yang berlegar dalam benak penulis yang hendak dikongsi bersama buat para pembaca:
  • Pihak PDRM khususnya IGP dan Ketua Polis Selangor,Datuk Khalid Abu Bakar perlulah memahami kehendak dan rasa hati masyarakat Malaysia serta peka apakah sebenarnya yang menjadi punca kemarahan rakyat terhadap mereka. Rakyat mahu PDRM bertegas dalam soal imej dan kredibiliti mereka sebagai satu jentera yang begitu berjasa kepada masyarakat.
  • Langkah untuk memaksa masyarakat mengikut setiap tindak tanduk PDRM adalah langkah kurang bijak buat masa ketika rakyat sudah hilang nilai keprcayaan mereka terhadap badan penguatkuasa tersebut. Teringat Steven Covey dalam prinsipnya, Seek first to understand then to be understood. Peluang untuk mengembalikan keyakinan dan integriti PDRM telah terbentang luas dengan menghukum pesalah yang terlibat,iaitu anggota polis yang menembak dalam kejadian tersebut bukannya menukar bidang tugasnya yang langsung memperlihatkan ketidaksungguhan PDRM dalam memperbaiki persepsi negatif.
  • Penubuhan panel khas yang diketuai oleh Timbalan Menteri dalam Negeri seolah-olah menafikan tertubuhnya Suruhanjaya Diraja yang dipohon oleh keluarga arwah dan peguam keluarga serta rakyat amnya. Malah lebih malang lagi, penolakan untuk membahaskn usul adik Aminul Rasyid ini telah ditolak mentah-mentah oleh Dewan Negara. Ini berhubung tentang soal ketelusan dalam membuat penghakiman dan keputusan bersabit kesalahan. Alber Einstein pernah mengungkapkan "We can’t solve problems by using the same kind of thinking we used when we created them.” Tindakan pemerintah dalam menyelesaikan masalah ini hanya tipikal dan sama seperti kes-kes terdhulu.
  • Reformasi menyeluruh terhadap pasukan PDRM mesti disegerakan. Hnya dengan cara ini imej dapat diperbaiki. Sehubungan itu, mewujudkan IPCMC (Suruhanjaya Bebas Pengaduan dan Salah Laku Polis/Independent Police Complaint and Misconduct Commission ) yang dicadangkan dahulu pada tahun 2006 perlu disokong walaupun pernah dibakulsampah kerana mendapat tentangan keras daripda pihak PDRM untuk ditubuhkan.
  • Rakyat di negara ini masih lagi menghormati perjalanan undang-undang asalkan tiada penipuan dan agenda tersendiri untuk menyelamatkan mereka yang benar-benar bersalah. Tindakan menulis surat kepada KPN sendiri dan menghantar memorandum kepada SUHAKAM boleh dizahirkan dan melambangkan keperihatinan tinggi dalam menegakkan keadilan Mlaysia yang kian dibatunisankan..Kuasa desakan boelh dicetuskan dan pemerintah mesti memberi laluan kepada aktivis penegak keadilan dan jangan menganggap mereka sebagai agen anarki untuk menjatuhkan anda sebaliknya memperbaiki perjalanan sebuah negara demokratik.
  • Doakan bersama buat arwah dan keselamatan rakyat Malaysia terus dipelihara dan benih-benih keadilan dapat disuburkan di bumi Mlaysia. STRIVE FOR JUSTICE AND PEACE FOR MALAYSIA ..!Alfatihah buat arwah dan salam takziah buat kelurga mangsa.